Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MTFA rai ulang tahun ke-118; ingin terus perluaskan khidmat dan pendekatan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih banyak pertubuhan dan individu digalak untuk tampil ke hadapan untuk menyokong keluarga-keluarga sempena Tahun Meraikan Keluarga Singapura.

Ini kerana membangunkan keluarga yang kukuh memerlukan usaha semua pihak dalam masyarakat.

Presiden Halimah Yacob berkata demikian dalam ucapannya di majlis makan malam bagi meraikan ulang tahun Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA) yang ke-118 pada Sabtu (29 Okt).

MTFA merupakan antara pertubuhan Muslim yang paling awal dibangunkan di Singapura.

MTFA ditubuhkan pada tahun 1904 dengan tujuan menjaga kebajikan warga Muslim yang memerlukan dan anak-anak yatim.


(Gambar: MTFA)

Majlis 'In Bloom' yang diadakan di Taman di Persisiran itu turut meraikan ulang tahun ke-60 Rumah Anak Yatim Darul Ihsan.

Dalam kesempatan itu, Presiden Halimah memuji usaha MTFA dalam menghulurkan bantuan kepada keluarga dan masyarakat pada waktu-waktu sukar.

"Keperluan masyarakat sudah berlainan dengan landskap global yang kian berubah. Bagaimanapun, MTFA masih kekal setia dalam khidmatnya, terutama sekali semasa tempoh mencabar seperti pandemik COVID-19," ujar Puan Halimah.

Di majlis yang sama, sebuah pokok MTFA turut dilancarkan di mana ia menjadi lambang pertumbuhan badan itu yang disokong oleh para penderma, sukarelawan dan kakitangannya.


(Gambar: MTFA)

Presiden Halimah Yacob dan para tetamu diundang untuk meletakkan kertas-kertas daun yang disertakan dengan mesej dan kata-kata perangsang kepada kakitangan, para penduduk Rumah Anak Yatim Darul Ihsan serta para penerima bantuannya.

LEBIH 1,100 PENERIMA BANTUAN DIBANTU SEPANJANG 118 BERKHIDMAT

Sepanjang 118 tahun berkhidmat, MTFA sudah pun membantu 1,182 penerima bantuan, membiayai rawatan dialisis bagi 35 pesakit ginjal secara purata setiap bulan dan membiayai pendidikan lebih 500 pelajar.

"Kami sudahpun mengembangkan khidmat-khidmat kita kepada masyarakat umum termasuk membantu individu-individu yang memerlukan bantuan dari segi kewangan, termasuk anak-anak muda yang kami jaga dalam dua-dua rumah anak yatim kami, rumah anak yatim lelaki dan juga rumah anak yatim perempuan," kongsi Naib Presiden, Encik Abdul Rahman Mohd Hanipah.

"Kita juga kini ada (program) Ihsan Living iaitu program untuk membantu anak-anak muda yang semakin besar beralih ke era dewasa mereka, tambahnya lagi.

Badan itu juga baru-baru ini memulakan program dipanggil 'Empowerment' untuk membantu individu berpendapatan rendah.

Menerusi program itu, para peserta diajar pelbagai kemahiran hidup termasuk bina keyakinan diri dan membangunkan pelan perniagaan dan kerjaya.

RANCANG BUKA LEBIH BANYAK PUSAT DIALISIS



Di majlis itu, Encik Abdul Rahman juga berkongsi bahawa MTFA merancang untuk membuka lebih banyak pusat dialisis.

"Dalam masa yang paling terdekat, kami ingin membuka beberapa lagi pusat dialisis. Memang waktu kini, pusat dialisis kami cuma ada satu. Jadi kami ingin membesar lagi kerana pusat dialisis kami sudah (capai) tahap kapasiti maksimum," katanya.

Di samping usahanya itu, MTFA juga giat melakukan usaha-usaha untuk menyokong serta memperkasa golongan belia.

Ini termasuk menyokong belia-belia dari Rumah Anak Yatim Darul Ihsan serta menyediakan biasiswa yang ditawarkan bagi bidang sekular dan agama.

"Pendidikan adalah wadah yang penting bagi anak muda kita berjaya dan menyumbang kembali secara bermakna kepada masyarakat," kata Presiden Halimah.

Di majlis yang sama, 27 individu menerima Biasiswa Pengasas MTFA, termasuk 11 yang hadir untuk majlis itu semalam (29 Okt).



Antaranya ialah Ahmad Amirul Ahmad Purnomo, 27 tahun, yang merupakan penuntut peringkat sarjana dalam bidang seni bina.

"Saya amat berbesar hati untuk menjadi antara ramai penerima lain yang layak menerima biasiswa ini untuk diiktirafkan atas kerja keras dan komitmen kami ke arah mencapai impian kami," kongsi Ahmad Amirul.

"Biasiswa ini pastinya akan membantu saya dengan mengurangkan kebimbangan kewangan saya, berada di tahun terakhir sarjana saya dalam bidang seni bina. Jumlah pembiayaan yang besar diperlukan. Jadi demikian, saya amat berterima kasih atas bantuan yang sudah diberikan oleh MTFA kepada saya," tambahnya lagi.

Encik Ahmad Amirul juga memasang niat untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dalam apa cara yang mampu setelah tamat pengajiannya nanti.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan