MTFA hulur S$15,000 biaya naik taraf Masjid Hasanah; S$5,000 untuk Masjid Hajjah Fatimah bantu keluarga bergaji rendah
Cek disampaikan Presiden MTFA (tiga dari kanan), Encik Abdul Rahman Mohd Hanipah kepada Pengerusi Masjid Hasanah (tiga dari kiri), Hj Rafi Eusope. (Gambar: MTFA)
Kerja naik taraf yang dijalani masjid yang terletak di Teban Gardens itu, antara lain termasuk membaiki muka bangunan masjid tersebut, menambah baik sistemnya dan menaik taraf kemudahannya.
"Sokongan ini benar-benar berharga dan akan membantu dalam meneruskan dan meningkatkan inisiatif serta usaha kita, insya-Allah," ujar Encik Mohamad Rafi.
Cek bernilai S$15,000 itu diserahkan Presiden MTFA, Encik Abdul Rahman Mohd Hanipah kepada Pengerusi Eksekutif masjid itu dalam satu majlis yang diadakan Sabtu lalu, sempena pelancaran rasmi inisiatif "Our Community Pantry", kelolaan masjid tersebut.
Mengulas mengenai sumbangan MTFA, Encik Abdul Rahman Mohd Hanipah berkata: "Menjadi satu penghormatan dan kewajipan kami untuk menyokong perbelanjaan dan kos projek naik taraf masjid sedemikian kerana ia adalah sebahagian daripada matlamat Perlembagaan MTFA."
MTFA JUGA SUMBANG S$5,000 KEPADA MASJID HAJJAH FATIMAH, BANTU KELUARGA BERGAJI RENDAH
Seramai 100 penerima bantuan daripada keluarga berpendapatan rendah yang tinggal di sekitar Masjid Hajjah Fatimah meraih manfaat daripada sumbangan MTFA bernilai S$5,000 dengan kerjasama Persatuan India Muslim Bersatu (UIMA).
Sumbangan itu disampaikan dalam satu acara berasingan yang diadakan pada Ahad (29 Dis), yang turut merangkumi majlis Khatam Al-Quran anjuran wakil MTFA Ihsan Aid, sukarelawan masjid dan penerima bantuan UIMA.
Pegawai Agama Masjid Hajjah Fatimah, Ustaz Syaaban Piperdy menyifatkan sokongan MTFA sebagai "bukti perpaduan masyarakat".
"Sumbangan ini, yang diteruskan daripada ikatan yang terjalin lebih 100 tahun antara MTFA dan Masjid Hajjah Fatimah, juga mampu mengukuhkan hubungan yang menyatukan kami dalam berkhidmat dan belas kasihan."
"Kolaborasi ini dengan MTFA dan UIMA membolehkan kami untuk memperluaskan rangkaian dan impak yang kami bawa. Dengan sumbangan MTFA, kami boleh menyediakan lebih banyak sokongan kepada mereka yang memerlukan dalam masyarakat.
SUMBANGAN MTFA KEPADA MASJID TEMPATAN TEKAN KOMITMEN KEPADA MASYARAKAT
Mengulas mengenai sumbangan yang dihulurkan MTFA kepada kedua-dua masjid itu, Ketua Pegawai Eksekutif MTFA, Dr Abdul Qader Al-Aidaroos mengatakan bahawa sumbangan itu sejajar dengan komitmen mereka kepada Ihsan - iaitu berusaha ke arah kecemerlangan dan belas kasihan dalam berkhidmat kepada masyarakat.
"Melalui sokongan yang ikhlas dan bertimbang rasa terhadap golongan yang kurang bernasib baik, kami berhasrat untuk menyuntik semangat, mendampingi dan memperkasa semangat untuk saling menjaga antara satu sama lain, yang telah mentakrifkan pertubuhan kami selama 120 tahun.
"Dengan Ihsan, kami boleh terus mengukuhkan masyarakat kami dan menyediakan bantuan yang bermakna kepada masjid dan jemaah mereka," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.