Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MTFA dan PERGAS sasar perluas program ‘Ulum Ihsan’ untuk manfaat 200 kanak-kanak

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA) berhasrat memperluaskan program ‘Ulum Ihsan’ kepada sehingga 200 kanak-kanak menjelang akhir tahun ini.

Bagi merealisasikan matlamat tersebut, MTFA menjalin kerjasama dengan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS) melalui satu Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani pada Khamis (27 Feb) di PERGAS.

Sejak dilancarkan tahun lalu, program itu telah memadankan para asatizah bertauliah di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) dengan kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah di seluruh negara, menjadikan pendidikan asas Islam lebih mudah diakses.

Program itu merangkumi pengajian Fardhu Ain dan pembacaan Al-Quran, yang ditawarkan secara percuma dan diadakan di rumah penerima bantuan.

Ketua Pegawai Eksekutif MTFA, Dr Abdul Qader Al-aidaroos, menekankan kepentingan sokongan masyarakat dalam menjayakan program ini.

"Sejak setahun lalu, kami telah mendampingi kira-kira 74 kanak-kanak yang datang ke kelas-kelas mingguan. Kita akan lihat bagaimana untuk memperluaskan lagi program ini menerusi kolaborasi-kolaborasi baharu," katanya.

Dr Abdul Qader turut berkongsi bahawa program itu bukan sahaja memberi manfaat kepada kanak-kanak, tetapi juga mengeratkan hubungan sesama jiran dan keluarga.

"Antara aspek utama dalam program ini adalah kami memanfaatkan keluarga-keluarga di dalam masyarakat. Misalnya, keluarga-keluarga menawarkan rumah-rumah mereka untuk kelas-kelas yang diadakan. Dengan cara ini, kita membawa keluarga dan jiran-jiran bersama bukan sekadar untuk beramah mesra, tetapi untuk belajar tentang agama. Kita memberikan sumbangan wang kepada keluarga-keluarga yang menawarkan rumah mereka, untuk menyediakan makanan dan minuman."

SUMBANGAN ASATIZAH PERGAS UNTUK JANGKAU LEBIH RAMAI KELUARGA

Sejak pelancaran program itu, Dr Abdul Qader mengakui cabaran utama adalah mendapatkan asatizah yang komited untuk mengajar dalam program tersebut.

Setakat ini, MTFA hanya bekerjasama dengan tiga orang asatizah bagi menjayakan inisiatif itu.

"Dengan adanya barisan asatizah terlatih daripada PERGAS, kami dapat melaksanakan program ini dengan lebih tersusun di rumah-rumah penerima manfaat. PERGAS sentiasa berada di barisan hadapan dalam melatih dan membimbing asatizah, dan kami percaya kerjasama ini akan memberikan akses kepada tenaga pengajar yang sangat diperlukan bagi menyesuaikan mereka dengan ramai keluarga dan kanak-kanak yang memerlukan pendidikan Islam di rumah," kata beliau.

Ketua Pegawai Eksekutif PERGAS, Ustazah Nurdiana Hanim Abdul Rahman, menekankan bahawa para asatizah yang dipilih untuk menjadi pendamping dalam program itu perlu menjalani beberapa latihan tambahan terlebih dahulu.

"Untuk kita menggembleng dan mengerahkan asatizah agar mereka dapat mendampingi masyarakat yang kurang berupaya, kita perlu melatih mereka, termasuk dalam aspek komunikasi, memahami keadaan mereka, dan sebagainya," ujar beliau.

Beliau menjelaskan bahawa latihan tambahan itu memberi tumpuan kepada aspek sosial, supaya para asatizah dapat menyesuaikan pendekatan pengajaran mereka dengan lebih baik.

"Mereka harus menyesuaikan cara pengajian dan pembelajaran. Kita perlu menarik perhatian mereka mendalami agama dan membuat mereka rasa selesa untuk pergi ke masjid, ke pusat-pusat pendidikan Islam," jelas Ustazah Nurdiana.

Menerusi kerjasama dengan PERGAS, Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA) kini berupaya menyesuaikan pelaksanaan program 'Ulum Ihsan' untuk memastikan sumber-sumber yang ada dapat dipadankan dengan lebih efektif.

"Kami akan meneruskan usaha daripada asas yang telah kami bina. Sekarang ini, kami mempunyai tiga orang asatizah untuk menjalankan program ini untuk 74 kanak-kanak. Dengan kerjasama baharu ini, kami akan menggunakan wadah yang sama, tetapi kami akan mula membahagikan mereka kepada beberapa kumpulan, serta mengenal pasti keluarga-keluarga yang boleh menawarkan rumah mereka," jelas Dr Abdul Qader

Beliau juga menambah bahawa potensi untuk mengembangkan program ini sangat besar.

"Setakat ini, ada kira-kira 700 kanak-kanak yang menjadi penerima bantuan MTFA, yang menantikan untuk memanfaatkan program 'Ulum Ihsan.

Sejak pelancarannya, kita memulakan dengan satu isi rumah. Menjelang akhir tahun lepas, jumlah itu meningkat kepada 10 isi rumah. Tahun ini kami berharap untuk menawarkan program ini kepada lagi 20 isi rumah," kata Dr Abdul Qader.

Bagi mencapai sasaran ini, PERGAS akan menyediakan tenaga pengajar seramai 20 asatizah, menurut Ustazah Nurdiana.

"Program ini dibina untuk menyampaikan pendidikan Islam asas kepada para penerima bantuan. Ramai daripada mereka mempunyai pengetahuan asas, jadi mereka memerlukan bimbingan pada saat ini. Apabila ada kemajuan, kita boleh memanfaatkan program berstruktur PERGAS yang lebih menumpukan kepada golongan belia. Mungkin, mereka akan menerima program yang tahapnya lebih tinggi," tambah beliau.

Selain itu, Dr Abdul Qader turut mendedahkan bahawa MTFA telah memulakan perbincangan dengan kakitangan beberapa masjid tempatan untuk meninjau bagaimana para jemaah juga dapat memanfaatkan program 'Ulum Ihsan.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan