Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

M'sia tarik balik larangan eksport ayam hidup mulai 11 Okt: SFA

Anggaran Waktu Membaca:
01:17 Min
Agensi Makanan Singapura (SFA) menerima "pemberitahuan rasmi" daripada Jabatan Khidmat Veterinari Malaysia berhubung langkah menarik balik larangan eksport ayam hidup.
Diterbitkan : 09 Oct 2022 10:52PM Dikemas Kini : 10 Oct 2022 10:52PM
SINGAPURA: Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Ahad (9 Okt) menyatakan Malaysia akan menarik balik larangan eksport sementara ke atas ayam hidup bermula 11 Oktober.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, agensi itu menyatakan pihaknya menerima "pemberitahuan rasmi" daripada Jabatan Khidmat Veterinari Malaysia berhubung langkah menarik balik larangan tersebut.

"Kami mengalu-alukan penyambungan semula import ayam hidup dan sedang memohon penjelasan berhubung perinciannya," menurut SFA.

Sebelum ini, kerajaan Malaysia melarang eksport sehingga 3.6 juta ayam sejak 1 Jun dalam usahanya menangani isu bekalan dan harga ayam di negara itu.

Larangan tersebut dilaksanakan menyusuli aduan terhadap kekurangan bekalan dan kenaikan harga ayam, dengan sebilangan peniaga menjual ayam melebihi harga siling bagi menampung kos.

Menjelaskan sekatan itu, Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob berkata keutamaan kerajaan adalah rakyatnya sendiri dan pihak berkuasa juga akan menyiasat dakwaan berhubung penetapan harga kartel.

Eksport daging ayam Malaysia bernilai AS$18.9 juta (S$27.1 juta) pada 2020, menjadikannya pengeksport ke-49 terbesar bagi produk itu di dunia.

Pasaran eksport utamanya adalah Thailand, Singapura, Jepun, Hong Kong dan Brunei, menurut data Balai Cerap Kerumitan Ekonomi.

Singapura mengimport sekitar 34 peratus bekalan ayamnya dari Malaysia, dengan hampir kesemuanya adalah ayam hidup, yang kemudian disembelih dan dibekukan di negara ini.

Bagi menangani kurangnya bekalan di tengah-tengah larangan eksport Malaysia, Singapura meningkatkan import daging ayam dari Thailand dan Indonesia.

Malaysia menarik balik sebahagian larangan eksport ayam ke Singapura pada pertengahan Jun bagi membolehkan pengimport di Singapura menyambung semula membawa masuk ayam kampung dan ayam hitam.

Pada Ogos pula, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Malaysia Ronald Kiandee berkata selepas tempoh gangguan bekalan ayam di negara itu, keadaan sudah kembali stabil selepas langkah-langkah diambil pihak kerajaan.

Beliau menambah bahawa Malaysia mempunyai bekalan lebihan dan sudah boleh mengeksport ayam ke negara-negara lain.

Pengerusi pasukan bertindak menangani inflasi Malaysia, Annuar Musa kemudian menambah bahawa sebilangan ladang di Malaysia yang menternak ayam khususnya bagi eksport, kini boleh kembali mengeksport pada bulan Oktober selepas mendapat kelulusan dari Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

"Hanya ladang-ladang tertentu yang dikhususkan untuk menghasilkan ayam boleh mula menternak sekarang bagi tujuan eksport. Namun ia tidak boleh mengurangkan penghasilan atau import sedia ada yang sudah dibenarkan," kata Encik Annuar.

MEMPELBAGAIKAN BEKALAN

Sedang Singapura terus berdepan dengan gangguan bekalan makanan dari semasa ke semasa disebabkan faktor-faktor luaran, SFA menyatakan pihaknya akan terus mendapatkan lebih banyak sumber ayam dan bekerjasama dengan industri untuk mempelbagaikan bekalan.

"Kita menggalak perniagaan untuk menyemak Pelan Kesinambungan Perniagaan dan untuk mempelbagaikan lagi sumber. Ini membantu industri untuk memperluaskan sumber dan mengurangkan risiko gangguan bekalan."

Isi rumah dan individu juga boleh menyumbang kepada daya tahan Singapura dengan menjadi fleksibel dengan pilihan makanan dan bahan, menurut SFA.

Mereka juga boleh menukar kepada produk-produk atau sumber-sumber alternatif apabila perlu.
Sumber : CNA/IM/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa