Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

M'sia hargai hubungan dengan S'pura, harap dapat 'segera' hurai isu eksport ayam, kata Khairy

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia hargai hubungan dengan S'pura, harap dapat 'segera' hurai isu eksport ayam, kata Khairy

(Gambar: Lee Hsien Loong/Facebook/MCI)

SINGAPURA: Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin berkata pada Khamis (2 Jun), negaranya menghargai jalinan hubungan dengan Singapura dan berharap dapat "segera" menghuraikan isu membabitkan larangan eksport ayam. 

Semasa lawatannya ke Singapura, Encik Khairy berkata kepada wartawan: "Kami menghargai hubungan dua hala dengan Singapura. Ia sukar untuk kami membuat keputusan sedemikian," sambil merujuk kepada keputusan Malaysia untuk menghentikan seketika eksport ayam sedang ia bergelut dengan kekurangan bekalan yang menyebabkan kenaikan harga makanan itu. 

Singapura mengimport sepertiga ayamnya dari Malaysia dan hampir kesemua yang dibawa masuk adalah ayam hidup yang disembelih dan dibekukan di Singapura. 

Encik Khairy menambah bahawa beliau harap situasi itu "hanya untuk sementara sahaja" sehingga isu bekalan dan kos kembali stabil. 

"Apabila perkara-perkara tersebut sudah dihuraikan, dan kami harap ia dapat dihuraikan dengan segera, sudah tentu kami berharap untuk mengeksport semula ayam, termasuk ke Singapura," katanya. 

Encik Khairy yang menjelaskan bahawa Malaysia sedang dihimpit "keadaan yang amat sukar" disebabkan oleh masalah rantaian bekalan melibatkan makanan ayam Beliau juga mengaitkan perkara itu kepada "isu perubahan iklim" yang menjejas tempoh yang diperlukan untuk ayam membesar. 

"Kesemua faktor ini bergabung untuk menimbulkan situasi di mana terdapat kekurangan (bekalan) dan harga yang tinggi di Malaysia," ujar Encik Khairy lagi. 

"Negara-negara tentu sekali harus memenuhi permintaan makanan (dalam negara) sendiri. Kami juga sedia maklum bahawa kami bertanggunjawab sebagai pengeksport kepada negara-negara jiran, termasuk Singapura." 

Beliau memberitahu wartawan bahawa situasi "sudah menjadi lebih baik" sedang Malaysia mencari alternatif berpatutan bagi makanan ayam dan juga sedang bekerjasama dengan penternak ayam supaya memastikan mereka boleh meningkatkan jumlah ternakan. 

"HUBUNGAN PERIBADI" ANTARA S'PURA-M'SIA

Menjawab pertanyaan mengenai hubungan dua hala, Encik Khairy berkata, hubungan antara Singapura dengan Malaysia "tidak seharusnya satu hubungan yang bersifat teknikal dan rasmi". 

"Kita sudah tentu boleh lihat persetujuan ini dari segi teknikal. Namun, kita harus melihat lebih jauh. Ia adalah hubungan peribadi, tolak ansur, persefahaman bahawa ya, terdapat perjanjian," kata Encik Khairy, yang bertemu dengan beberapa anggota Kabinet, termasuk Perdana Menteri Lee Hsien Loong, selama lawatannya ke Singapura sepanjang empat hari. 

"Kita terlalu rapat untuk beroperasi tanpa melibatkan perasaan, kita harus mempertimbangkan perasaan satu sama lain," tambahnya. 

Apabila dua negara menjalin hubungan peribadi dan profesional yang baik, ia boleh "dengan begitu sahaja saling membuat panggilan dan mencapai persetujuan", katanya, sambil merujuk kepada keputusan Singapura dan Malaysia untuk membuka semula sempadan pada April. 

"Saya rasa cara kita bekerjasama sewaktu pandemik harus dilanjutkan kepada perkara-perkara lain juga, semua isu yang tertunggak. Kerana kita lebih kuat bersama," ujar Encik Khairy. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan