Skip to main content

Singapura

MSF tangguh langkah perluas sokongan pemulihan bagi pesalah remaja

Anggaran Waktu Membaca:
MSF tangguh langkah perluas sokongan pemulihan bagi pesalah remaja

(Gambar: CNA/Raydza Rahman)

Diterbitkan : 30 Dec 2024 05:27PM Dikemas Kini : 30 Dec 2024 05:29PM
SINGAPURA: Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) Singapura pada Isnin (30 Dis) berkata ia akan menangguhkan pelaksanaan pindaan undang-undang untuk memperluaskan sokongan pemulihan untuk pesalah belia lebih tua, dari 1 Jan 2025 kepada lewat tahun ini.

Pindaan itu berkaitan dengan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (CYPA),yang diluluskan pada 2019 untuk membolehkan pesalah berumur 16 hingga bawah 18 tahun dibicarakan di Mahkamah Belia, dan bukannya dibicarakan sebagai orang dewasa di Mahkamah Negara.

Untuk mengekalkan keselamatan awam dan pencegahan jenayah, kes yang melibatkan belia lebih tua yang berulang kali melakukan jenayah atau melakukan jenayah berat masih harus dipindahkan ke Mahkamah Negara atau Mahkamah Tinggi.

Jenayah berat termasuk kesalahan seksual yang serius, pinjaman wang tanpa lesen dan mengedar dadah.

Semasa persiapan bagi pelaksanakan perubahan itu, MSF dan Kementerian Dalam Negeri "menilai bahawa peruntukan perundangan yang mengawal pemindahan kes dari Mahkamah Belia tidak mencapai sepenuhnya dasar yang dimaksudkan ini", kata MSF dalam satu kenyataan.

"Pindaan itu tidak memberikan fleksibiliti yang mencukupi kepada Mahkamah Negara dan Mahkamah Tinggi untuk mengenakan hukuman yang lebih berat ke atas pesalah belia yang lebih tua di mana pencegahan yang lebih kuat diperlukan," tambahnya.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, MSF berkata di bawah pindaan 2019, kuasa mahkamah untuk mengenakan hukuman yang lebih keras - seperti latihan pemulihan, tempoh penjara dan rotan - "lebih terhad daripada yang diinginkan".

Sebagai contoh, dalam kes di mana seorang belia berusia 17 tahun melakukan serangan seksual ke atas kanak-kanak di bawah umur 16 tahun dan didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi, tetapi tidak didapati tidak terkawal atau mengganggu pemulihan orang lain.

Oleh itu, dia tidak boleh dijatuhi hukuman latihan pemulihan atau penjara, dan hanya boleh diperintahkan menjalani probesen atau dihantar ke pusat pemulihan juvenil seperti Boys’ Home - yang tidak seimbang dengan tahap serius jenayah itu, kata MSF.

Latihan pemulihan dikendalikan oleh Perkhidmatan Penjara Singapura dan menekankan struktur dan disiplin. Arahan probesen pula membolehkan pesalah belia meneruskan pendidikan atau pekerjaan dalam masyarakat.

“Oleh itu, pindaan lanjut perundangan diperlukan untuk memberi kesan sepenuhnya kepada pindaan CYPA 2019 yang diluluskan oleh parlimen dan memastikan Mahkamah Negara dan Mahkamah Tinggi boleh terus menjatuhkan hukuman yang lebih tegas dalam kes yang lebih serius,” kata jurucakap MSF.

Ini akan dibuat pada lewat 2025, "tertakluk kepada pelbagai faktor termasuk tarikh parlimen bersidang", kata kementerian itu.
DASAR TIDAK BERUBAH: MSF

Berikut ini perubahan yang akan bermula sebaik sahaja pindaan perundangan selanjutnya dibuat tahun depan:

Had umur pesalah belia akan dinaikkan daripada bawah 16 tahun kepada bawah 18 tahun, dan had umur maksimum yang boleh ditahan dinaikkan kepada 21 tahun. Ini kerana perintah pemulihan juvenil boleh dikenakan sehingga tiga tahun.

Pesalah belia yang lebih tua berumur 16 tahun hingga ke bawah 18 yang didakwa dengan kesalahan serius atau kesalahan berulang akan dibicarakan di mahkamah lain yang mempunyai bidang kuasa yang sesuai, bukannya Mahkamah Belia.

Pesalah remaja yang tidak terkawal akan dihantar untuk latihan pemulihan pada awalnya, walaupun sebelum itu tidak dikenakan perintah pusat pemulihan juvenil.

“Walaupun perubahan tarikh untuk peluasan sokongan pemulihan bagi pesalah belia yang lebih tua, golongan itu akan masih menerima sokongan yang sewajarnya (termasuk sokongan yang berfokuskan pemulihan seperti perintah probesen) di bawah Mahkamah Negara dan Mahkamah Tinggi,” kata MSF.

Tambahnya lagi, pindaan perundangan selanjutnya "tidak mencerminkan perubahan dalam dasar" dan "tidak ada perubahan kepada pendirian pemerintah untuk bertindak tegas terhadap jenayah, terutamanya yang serius, walaupun kami terus membantu pesalah belia menjalani pemulihan dan berintegrasi semula ke dalam masyarakat”.

Satu pindaan pada 2019 - untuk memberi kuasa kepada Mahkamah Belia mengubah perintah pusat pemulihan juvenil bagi belia berumur bawah 16 tahun - masih akan berkuat kuasa pada 1 Jan 2025.

Pindaan ini membolehkan tempoh perintah dipendekkan, dilanjutkan atau dilepaskan, dan memberikan lebih fleksibiliti untuk pemulihan pesalah belia dengan lebih baik, kata MSF.

Kementerian itu menambah bahawa di bawah pindaan 2019, belia yang melengkapkan perintah Mahkamah Belia mereka boleh secara sah mengisytiharkan bahawa mereka tidak pernah disabitkan kesalahan atau memegang rekod jenayah.

Ia merujuk kepada perintah pusat pemulihan juvenil, probesen, khidmat masyarakat dan perintah tahanan; serta perintah membayar denda, ganti rugi atau kos.
Sumber : CNA/SU/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita