Skip to main content

Singapura

MSF sedang kaji model prasekolah inklusif; ambil masuk kanak-kanak berkeperluan khas

Sebuah model prasekolah yang bersifat inklusif sedang dikaji bagi membolehkan kanak-kanak berkeperluan khas untuk belajar bersama-sama dengan murid-murid lain.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebuah model prasekolah yang bersifat inklusif sedang dikaji bagi membolehkan kanak-kanak berkeperluan khas untuk belajar bersama-sama dengan murid-murid lain.

Model itu sedang dikaji oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) bagi mengukuhkan lagi sokongan kepada para murid berkeperluan khas di peringkat nasional.

Pada tahun lalu, sekitar 4,900 kanak-kanak yang berusia bawah tujuh tahun didapati berkeperluan khas.

Antara lain, kanak-kanak itu disahkan mengalami Sindrom Down, austime dan kecacatan pertuturan.

Bagi memaksimumkan potensi pembangunan mereka, kanak-kanak berkenaan akan dirujuk untuk menjalani Program Intervensi Awal bagi Bayi dan Kanak-Kanak (EIPIC).

FAKTOR MASA MENUNGGU & CARI PRASEKOLAH SESUAI DIHARAP BERI PERHATIAN

Tinjauan BERITAmediacorp ke atas 10 ibu bapa yang anak mereka perlu menghadiri EIPIC mendapati, terdapat dua faktor utama yang diharap dapat diberikan perhatian.

Pertama, masa menunggu untuk mendapatkan tempat di pusat EIPIC dan kedua, masa untuk mencari prasekolah yang sesuai untuk anak mereka.

Ini meskipun, terdapat 21 pusat EIPIC di merata negara berbanding 17 pada tahun 2016.

Namun, para ibu bapa yang ditemui memberitahu rata-rata mereka perlu menunggu dalam tempoh enam hingga lapan bulan untuk mendapatkan tempat untuk anak mereka.

Perkara ini, menurut mereka, melengahkan usaha campur tangan awal demi pembangunan anak-anak mereka.

PUSAT PRASEKOLAH INKLUSIF KUKUHKAN LAGI SISTEM SOKONGAN SEDIA ADA

Lantaran itu, MSF menyatakan pihaknya sedang mengkaji kemungkinan menubuhkan sebuah pusat prasekolah yang inklusif.

Ini meskipun program seperti Sokongan Pembangunan (DS), Sokongan Pembelajaran (LS) dan Program Sokongan Pembangunan (DSP) disediakan di 550 prasekolah berbanding hanya 90 hampir enam tahun lalu.

Perkembangan ini amat dialu-alukan para karyawan dalam sektor EIPIC seperti yang ditemui dari pusat EIPIC Thye Hwa Kwan Chua Chu Kang (THK @ CCK).

"Prasekolah sedang mengubah pemikiran mereka untuk memenuhi pelajar-pelajar mereka yang sentiasa berubah. Banyak prasekolah lebih bersedia untuk menyediakan program sokongan seperti program DS-LS dan DSP untuk kanak-kanak mereka," kata Penolong Pengarah THK @ CCK Audrey Jean De Cruz.

Pakar Terapi Pertuturan THK @ CCK Cik Nurul 'Ain Mohd Komari pula berkata: "Sebenarnya tidak ada usia terlalu kecil untuk menerima intervensi awal, ini kerana dengan lebih segera mereka dapat bantuan, lebih baik lagi hasil intervensi."

Langkah sebegini diharap dapat membantu kanak-kanak berkeperluan khas untuk terus mencapai kemajuan di peringkat prasekolah dan dilengkapi dengan kemahiran untuk memasuki sekolah rendah pada masa akan datang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita