MSF peruntuk S$15 juta pacu usaha SG manfaatkan teknologi baharu demi kebaikan sosial
Sebanyak S$15 juta akan dilaburkan bagi memacu usaha Singapura memanfaatkan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan A-I bagi tujuan kebaikan sosial.
- Pemerintah Singapura melabur S$15 juta untuk mempercepat penggunaan teknologi baharu seperti AI dalam sektor sosial demi kebaikan masyarakat.
- Menteri Masagos Zulkifli menekankan perlunya kerjasama antara syarikat teknologi, institusi kajian, dan Agensi Perkhidmatan Sosial untuk membangunkan penyelesaian inovatif.
- Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) ingin menggunakan data untuk mengenal pasti keluarga berisiko lebih awal dan mempercepat bantuan melalui rangkaian agensi.
- MSF menandatangani perjanjian dengan ST Engineering dan NCS untuk membangunkan teknologi baharu, sambil menekankan penggunaan AI secara bertanggungjawab dan berpusatkan manusia.
Ini memandangkan Singapura berusaha menjadi peneraju global dalam bidang itu.
Berucap di persidangan sulung untuk rakan-rakan kongsi sektor pada Khamis (2 Jul), Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli berkata pemerintah akan mengetuai usaha menghubungkan inovasi dengan kepakaran barisan hadapan.
"Singapura berada dalam kedudukan baik untuk merebut peluang ini. Saiz kita cukup kecil untuk bertindak pantas, dan kita cukup terhubung untuk berkongsi. Rakan-rakan kongsi yang diperlukan untuk melaksanakannya sudah ada dalam dewan ini.
"(Ini termasuk) syarikat teknologi yang boleh membangunkan secara bersama huraian yang boleh dikembangkan, institusi kajian yang boleh membantu kami mengesahkan dan memperhalusinya serta Agensi Perkhidmatan Sosial (SSA) dengan ilmu tidak ternilai sebagai barisan hadapan.
"Secara bersama-sama, kita ada segalanya yang diperlukan untuk memimpin. Namun ini bermakna kita perlu bergerak pantas dan secara lebih disengajakan," kata Encik Masagos.
Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) mahu memanfaatkan data secara lebih baik untuk mengenal pasti keluarga-keluarga berisiko dengan lebih awal lagi.
Pada masa yang sama, MSF juga mahu menghubungkan agensi menjadi satu rangkaian agar keluarga-keluarga boleh mendapatkan bantuan lebih segera.
Namun, Encik Masagos menekankan, membina keupayaan-keupayaan itu memerlukan kerjasama lebih kukuh lagi, termasuk dengan pihak-pihak di luar Singapura.
Maka itu, pemerintah merancang untuk memperdalam pelibatan antarabangsa, belajar daripada idea-idea yang berjaya dilaksanakan di luar negara dan menyesuaikannya bagi keperluan rakyat tempatan.
"Idea yang baik tidak mengenal sempadan. Apabila negara lain menemui cara lebih baik untuk menyokong golongan yang paling rentan, kita mahu mempelajarinya, menyesuaikannya dan menggunakannya di sini.
"Singapura sentiasa berpegang pada kaedah belajar daripada yang terbaik, di mana sahaja mereka berada," kata Encik Masagos.
Encik Masagos menambah, AI perlu digunakan secara bertanggungjawab.
Beliau menegaskan bahawa sebarang alat baharu perlu kekal berpusatkan manusia, lengkap dengan perlindungan dan pengawasan profesional.
Bagi mengorak langkah transformasi baharu itu, MSF menandatangani dua perjanjian kerjasama baharu dengan ST Engineering dan NCS untuk membangunkan dan mencuba teknologi-teknologi baharu bagi sektor khidmat sosial.
Ketua Misi Sofwe dan Perkhidmatan, Sistem Digital di ST Engineering, Percival Goh berkata: "Dalam kes karyawan jagaan sosial, kami sedang meneliti bagaimana untuk menyediakan maklumat mengikut keperluan mereka.
"Contohnya, mereka menangani beberapa kes serentak - apakah status kes-kes mereka, dan di manakah intervensi diperlukan, jadi mereka juga boleh menawarkan nasihat kepada keluarga dan penerima bantuan tepat pada masanya, yang boleh benar-benar mengurangkan beban kerja seorang karyawan jagaan sosial."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.