Skip to main content

Singapura

MSF pertingkat rangka kerja intervensi awal sokong kanak-kanak berkeperluan khas

Lebih banyak sokongan kini boleh diperolehi oleh keluarga-keluarga yang mempunyai anak berkeperluan khas.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 28 Jan 2019 08:20PM Dikemas Kini : 28 Jan 2019 11:32PM

SINGAPURA: Lebih banyak sokongan kini boleh diperolehi oleh keluarga-keluarga yang mempunyai anak berkeperluan khas.

Pemerintah mengumumkan ia akan memperuntukkan S$60 juta setiap tahun untuk membiayai dua program intervensi awal yang baru. Jumlah itu satu peningkatan 30 peratus jika dibandingkan dengan peruntukan pada masa lalu.

Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) bekerjasama dengan tiga pusat intervensi awal untuk merintiskan program-program yang dipertingkatkan itu pada Julai 2016. 700 kanak-kanak terlibat dalam program-program berkenaan.

Sebahagian daripada mereka didapati menunjukkan hasil pembangunan yang lebih baik daripada rakan-rakan mereka.

Salah satu program yang dianjurkan adalah Program Pembangunan Awal Bayi dan Kanak-Kanak atau EIPIC bagi bawah usia 2 tahun. Program itu direka untuk menyokong keperluan pembangunan bayi dan kanak-kanak dalam lingkungan usia tersebut.

EIPIC MEMERLUKAN PELIBATAN PENJAGA

Para penjaga mereka juga mesti menghadiri program itu untuk mempelajari kaedah intervensi yang boleh diamalkan di rumah. Sebelum ini, latihan sebegitu tidak diwajibkan bagi penjaga mereka.

Encik Zulfadhil Abdul Rahman dan isterinya antara mereka yang meraih manfaat daripada program seperti itu.

Anak mereka, Haziq Aryan, 23 bulan, didapati mengalami Sindrom Down sejak masih bayi. Mereka menyertai program itu semasa Haziq berusia empat bulan.

Encik Zulfadhil berkata, banyak perubahan positif yang dapat dilihat sejak Haziq menyertai program tersebut seperti kemahirannya bergerak.

"Pakar fisioterapi akan mengajar untuk latih kekuatan kakinya. Contohnya, seperti kita naik tangga hari-hari jadi kita ajarnya perlahan-lahan naik tangga jadi makin lama kakinya akan semakin kuat dan ini akan membantunya untuk berjalan," kata Encik Zulfadhil.

PROGRAM DS PLUS: SELANGKAH LAGI DALAM "PERJALANAN INKLUSIF"

Satu lagi program baru yang dipertingkatkan adalah Sokongan Pembangunan Plus atau program DS Plus. Program ini membolehkan kanak-kanak berkeperluan khas tahap rendah hingga sederhana menerima intervensi di prasekolah biasa.

Para karyawan intervensi awal juga akan bekerjasama dengan guru prasekolah kanak-kanak itu sendiri.

"Perbezaan yang sangat ketara, mereka menjadi seorang yang sangat yakin, gembira, ceria dan ingin datang ke sekolah - tidak menangis lagi. Turun dari bas, berjalan ke sekolah mereka berasa 'Saya ada teman-teman yang dapat menerima saya, yang dapat bermain-main dengan saya.'" kata Pengetua Eksekutif My First Skool, Rabeah Mohter.

MSF menyatakan lebih banyak subsidi juga akan diperkenalkan bagi program-program mulai April ini. Subsidi-subsidi itu akan mengurangkan yuran sebanyak 30 peratus hingga 70 peratus. 4,500 kanak-kanak dijangka meraih manfaat daripada peningkatan itu pada setiap tahun.  

Sumber : CNA/RU/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita