MSF lancarkan Tahun Raikan Karyawan Khidmat Sosial
Lebih banyak pengiktirafan bagi karyawan dalam khidmat sosial serta penanda aras gaji yang lebih tinggi serta wadah bagi maklum balas dan pendampingan pekerja adalah antara usaha baharu bagi mempertingkatkan sektor sosial Singapura tahun ini.

Demikian diumumkan di forum Majlis Perkhidmatan Sosial Kebangsaan (NCSS) pada Khamis (23 Jan).
"NCSS telah menyaksikan peningkatan berterusan dalam jumlah tenaga kerja dalam sektor itu, daripada sekitar 18,000 pada lima tahun lalu kepada 20,000 sekarang, dan kami sebenarnya menjangkakan pertumbuhan lagi sepanjang lima tahun akan datang.
"Kami mungkin perlukan lagi 2,000 karyawan dalam sektor itu. Jadi kami sedang berusaha untuk memikat dan mengekalkan lebih ramai karyawan dalam sektor ini dan kami mempunyai cara berbeza untuk lakukannya," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NCSS Tan Li San.
Anugerah Presiden bagi Karyawan Khidmat Sosial yang baharu turut diperkenalkan.
Ia merupakan pengiktirafan tertinggi bagi sektor itu, yang bertujuan mengiktiraf mereka yang mengambil inisiatif untuk melakukan lebih daripada tugas mereka, iaitu daripada pekerja sosial kepada kakitangan jagaan dan korporat.
Terdapat juga tiga lagi anugerah diumumkan, termasuk satu bagi usaha berkumpulan.
Pencalonan bagi ketiga-tiga anugerah tersebut dibuka pada lewat tahun ini.
Di acara yang sama, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) juga menyeru sektor sosial supaya bertindak balas dan mengikuti perkembangan trend yang menjejas landskap sosial Singapura.
Ini termasuk perkembangan digital dan bagaimana sebagai contoh, media sosial telah menjejas bagaimana para individu berinteraksi antara satu sama lain.
"Di peringkat keluarga, ini bermakna para individu meluangkan kurang masa secara fizikal bersama keluarga mereka, sekali gus ia menjejas ikatan keluarga.
"Ini menjadikan tugas karyawan khidmat sosial lebih mencabar kerana mereka perlu berurusan dengan keluarga untuk mengatasi isu-isu yang sedang mereka hadapi di samping menangani hubungan yang tidak erat serta sokongan keluarga yang lemah," kata Menteri MSF, Masagos Zulkifli.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.