Skip to main content

Singapura

MSF gubal undang-undang baharu lindungi mangsa keganasan keluarga, golongan kurang upaya mental

Melindungi masyarakat yang lemah kekal menjadi tumpuan utama Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 17 Sep 2025 07:33PM Dikemas Kini : 02 Oct 2025 01:04PM
SINGAPURA: Melindungi masyarakat yang lemah kekal menjadi tumpuan utama Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Selaras dengan itu, MSF kini sedang menggubal undang-undang baharu yang bertujuan melindungi dengan lebih baik lagi mangsa keganasan keluarga dan golongan dewasa yang kurang upaya mental.

"Secara amnya, mangsa keganasan, mereka memikul beban untuk berpindah ke tempat perlindungan dan membiasakan diri dengan persekitaran baharu.

"Kadangkala mereka tidak biasa dan oleh kerana itu, mereka sebenarnya pulang ke rumah, kembali ke suasana keganasan yang sama setelah beberapa waktu.

"Terutama sekali apabila anak-anak terbabit, mereka perlu berpindah dan pergi ke tempat baharu serta mencari laluan berbeza untuk ke sekolah dan mereka berasa tidak selamat," kata Pengarah, Khidmat Masyarakat Fei Yue, Joyz Tan.

"Jadi, membolehkan anak-anak tinggal dalam persekitaran yang mereka sudah terbiasa dengannya akan sebenarnya dapat mengurangkan kesan trauma itu," tambah beliau.

Akta Keupayaan Mental juga akan disemak semula. Matlamatnya adalah untuk menyokong keluarga orang dewasa yang kurang keupayaan mental dan menyediakan perlindungan yang lebih kukuh terhadap penyalahgunaan Surat Kuasa Berkekalan.

Seorang peguam mengalu-alukan semakan tersebut, namun berkata ia mesti dipertimbangkan berdasarkan landskap lebih luas.

"Secara berasingan, terdapat juga akta-akta lain yang diselia oleh MSF. Satu contoh ialah Akta Orang Dewasa Lemah. Mungkin baik dan tepat pada masanya bagi sedikit penggabungan untuk melihat bagaimana akta-akta berbeza boleh saling berhubung antara satu sama lain," kata Pengasas PY Legal LLC, Peggy Yee.

Selain itu, pemerintah turut berikrar bahawa keluarga akan terus diberi sokongan di setiap peringkat hidup.

Sektor pendidikan awal kanak-kanak akan dibangunkan supaya mengembangkan lagi pilihan penjagaan sambil terus melabur dalam tenaga kerja.

Golongan kurang upaya boleh memanfaatkan spektrum bantuan yang dipertingkat, iaitu daripada soal perumahan hinggalah pengambilan kerja.

Jaringan keselamatan seperti ComCare juga akan disemak dan dikemas kini secara berkala.

MSF turut memberi jaminan bahawa karyawan perkhidmatan sosial, yang menjadi tulang belakang kepada visinya membangunkan sebuah sektor yang teguh dan bersedia bagi masa hadapan, akan terus diberi sokongan.
Sumber : CNA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita