Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MSF bakal lancar wadah untuk petugas barisan hadapan kesan, lapor keganasan domestik

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 10 Jan 2024 07:15PM Dikemas Kini : 11 Jan 2024 12:09AM
SINGAPURA: Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) akan melancarkan beberapa wadah secara berperingkat untuk para petugas barisan hadapan mengenal pasti dan melaporkan dengan lebih baik kes keganasan keluarga, termasuk penderaan seksual.

Ini selepas beberapa cadangan diberikan kepada pasukan bertindak pemerintah mengenai keganasan keluarga pada 2021, kata Menteri Negara Pembangunan Sosial dan Keluarga, Sun Xueling, di parlimen pada Rabu (10 Jan).

Cik Sun menjawab soalan oleh dua Anggota Parlimen (AP) mengenai kes baharu yang dilaporkan, di mana seorang remaja perempuan diserang secara seksual hampir setiap hari, daripada September 2020 sehingga November 2020, oleh seorang penjaga yang ingin mengambilnya sebagai anak angkat.

Soalan dibangkitkan selepas kes mahkamah mengenai mengapa penderaan itu tidak dikesan selama hampir tiga bulan. Remaja perempuan itu tidak memberitahu sesiapa tentang penderaan tersebut, termasuk ketika sesi mingguan bersama petugas seperti pegawai perlindungan kanak-kanak, sehingga dia memberitahu guru sekolahnya.

AP Nadia Ahmad Samdin (PAP-Ang Mo Kio) bertanya apakah langkah-langkah perlindungan yang diambil untuk memastikan kelayakan orang dewasa yang berhasrat untuk mengambil seseorang kanak-kanak sebagai anaak angkat, terutama mereka yang mempunyai masa lalu yang traumatik.

Cik Sun memberitahu Dewan tentang pelbagai langkah yang diambil dalam proses mengambil anak angkat untuk memastikan kebajikan dan kepentingan terbaik kanak-kanak. Ia termasuk penilaian kesesuaian mengambil anak angkat yang harus dijalani bakal ibu bapa angkat.

Pekerja sosial dan profesional di rumah jagaan kanak-kanak juga menerima latihan wajib untuk mengenali tanda dan gejala penderaan, termasuk penderaan seksual, kata Cik Sun, yang juga Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri.

Beliau menarik perhatian bahawa mereka yang bekerja di rumah jagaan kanak-kanak menjalani proses saringan untuk memeriksa sebarang rekod jenayah pada masa lalu, sebelum dibenarkan bertemu kanak-kanak.

Cik Nadia kemudian meminta Cik Sun memberikan butiran lanjut tentang jumlah sukarelawan yang dinilai sesuai bagi skim "penjaga kith".

Pesalah dalam kes tersebut dan isterinya, dilantik secara rasmi sebagai penjaga kith oleh MSF semasa proses pengambilan anak angkat sedang dijalankan.

Penjaga kith adalah orang dewasa yang tiada kaitan dengan keluarga, yang dikenali oleh kanak-kanak melalui keluarga atau di dalam masyarakat, dan mereka tidak didaftarkan sebagai ibu bapa angkat.

Cik Nadia kemudian bertanya sama ada terdapat sebarang langkah yang dilaksanakan oleh rumah jagaan dan MSF untuk mengelakkan kes serupa daripada berulang.

Cik Sun mengulangi bahawa kementerian tersebut menjalankan pemeriksaan latar belakang ke atas pesalah dan isterinya. Menurut penilaian petugas, mereka mampu menjaga remaja perempuan itu dengan secukupnya.

Sukarelawan dalam program yang dibiayai MSF harus menjalani penilaian kesesuaian dan pemeriksaan latar belakang, kata Cik Sun.

Dari segi kursus latihan yang dijalani kakitangan rumah jagaan kanak-kanak, Cik Sun berkata ia termasuk pengenalan kepada panduan melaporkan penderaan kanak-kanak dan rangka kerja perlindungan kanak-kanak Singapura, antara yang lain.

Cik Sun kemudian menyebut tentang pasukan tindakan keganasan keluarga, yang dipengerusikan bersama Menteri Negara Ehwal Negeri Faishal Ibrahim. Ia ditubuhkan pada Februari 2020 dan memberi 16 cadangan untuk memperbaiki beberapa aspek bagaimana keganasan domestik ditangani di Singapura.

Salah satu cadangan adalah untuk membangunkan satu penilaian konsisten dan standard, serta alat saringan yang membolehkan petugas mengenali kes yang melibatkan keganasan keluarga, mengurus risiko pesalah dan keperluan mangsa, dan mengetahui bila untuk melaporkan kes-kes termasuk penderaan seksual.


Selain latihan bagi petugas, Cik Sun menekankan bahawa mereka yang di dalam masyarakat, termasuk jiran, rakan dan guru, harus membantu jika mereka mampu.

Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan