Skip to main content

Singapura

MSF akan tubuhkan pusat penyelaras khidmat sosial susuli kes Megan Khung

Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) akan menubuhkan sebuah pusat penyelarasan khidmat sosial serta mempertingkatkan protokol dan kerjasama dengan polis bagi menangani kes kanak-kanak hilang, menyusuli semakan terhadap kes penderaan Megan Khung sehingga menyebabkan kematiannya.
Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Nov 2025 03:31PM Dikemas Kini : 05 Nov 2025 09:58PM
SINGAPURA: Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) akan menubuhkan sebuah pusat penyelarasan khidmat sosial serta mempertingkatkan protokol dan kerjasama dengan polis bagi menangani kes kanak-kanak hilang, menyusuli semakan terhadap kes penderaan Megan Khung sehingga menyebabkan kematiannya.

Menteri Bertanggungjawab bagi Integrasi Khidmat Sosial Desmond Lee turut berikrar di Parlimen pada Rabu (5 Okt) untuk mempertingkatkan "keupayaan barisan hadapan" perlindungan kanak-kanak dan mengukuhkan sistem dan pengawasan dalam sektor itu.

Kematian kanak-kanak berusia empat tahun itu pada Februari 2020 selepas didera selama berbulan-bulan sebelum ini membawa kepada penubuhan panel semakan yang menemui pelbagai kelemahan dan kekurangan dalam agensi-agensi terlibat.

Encik Lee, yang juga Menteri Pendidikan berkata: "Terdapat banyak peluang untuk mengesan penderaan itu, yang mungkin boleh mengelakkan kematian Megan. Tindakan kami jelas tidak mencukupi."

"Bagi pihak semua agensi dan pertubuhan yang terlibat, kami sangat menyesali kejadian yang berlaku serta kelemahan yang dikenal pasti di Khidmat Perlindungan Kanak-Kanak dan Pasukan Polis Singapura (SPF) serta peluang yang terlepas di Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA).

"Kami seharusnya melakukan lebih baik lagi."

Encik Lee berkata demikian sebagai menjawab beberapa pertanyaan daripada Anggota Parlimen berhubung laporan panel semakan itu, yang mempersoalkan protokol sedia ada serta langkah penambahbaikan yang boleh dilakukan dalam ekosistem perlindungan kanak-kanak.

Dalam jawapannya, Encik Lee berkata perlindungan kanak-kanak terletak pada "prinsip asas" bahawa ibu bapa memikul tanggungjawab utama terhadap anak-anak mereka dan kementerian tidak akan dan tidak seharusnya memberi campur tangan melainkan wajar.

"Keluarga yang berurusan dengan sistem perlindungan kanak-kanak sering mendapati pengalaman itu sangat menekankan. Mereka mungkin disoal siasat oleh guru, karyawan jagaan kesihatan, pekerja khidmat sosial dan pegawai polis, yang boleh menyebabkan seseorang itu berasa terganggu dan seolah-olah dituduh, terutama sekali jika tiada penderaan ditemui."

Encik Lee berkata para pekerja khidmat sosial menyokong ibu bapa dalam penjagaan anak-anak mereka dan hanya memberi campur tangan "apabila kanak-kanak itu berada dalam keadaan bahaya".

Namun, jika terdapat "sebab munasabah" yang mencadangkan kanak-kanak itu memerlukan jagaan dan perlindungan, pegawai perlindungan kanak-kanak akan melaksanakan pelan keselamatan atau mengeluarkan kanak-kanak itu daripada rumah dan jagaan keluarganya.

Melindungi kanak-kanak memerlukan usaha bersama seluruh masyarakat dan jiran tetangga, teman-teman dan saudara mara perlu menghulurkan bantuna kepada ibu bapa yang berdepan tekanan jagaan dan melaporkan kes disyaki penderaan menerusi Talian Bantuan Kebangsaan Anti-Keganasan dan Gangguan Seksual (NAVH).

Walaupun kematian Megan lima tahun lalu mendorong pelaksanaan beberapa penambahbaikan terhadap protokol, Encik Lee menekankan "masih banyak lagi boleh dilakukan".

Pihak kementerian akan terus mendampingi dan bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan bagi mengukuhkan sistem dalaman dan komunikasi antara agensi, katanya.

"Kita mesti mengkalibrasi usaha kita dengan teliti walaupun kita melakukan lebih banyak. Protokol dan alat berstruktur adalah penting, tetapi ia harus menjadi panduan, bukan pengganti kepada pemikiran kritikal, pertimbangan dan pembinaan hubungan," katanya.

"Kita tidak boleh menganggap tugas perlindungan kanak-kanak atau golongan rentas sebagai satu sistem semakan kotak semata-mata."

PENAMBAHBAIKAN DALAM TUGAS PERLINDUNGAN KANAK-KANAK

Berhubung pusat penyelarasan khidmat sosial baharu itu, Encik Lee berkata pusat itu akan menggunakan teknologi untuk membantu kementerian "mengesan, menafsir dan menghubungkan maklumat lebih baik" antara kes-kes daripada pelbagai saluran seperti perkhidmatan sosial, pendidikan, prasekolah, masyarakat dan sektor-sektor lain.

Pusat penyelarasan khidmat sosial itu juga akan menyediakan "hubungan lebih erat" dengan operasi polis, kata Encik Lee.

Kini, agensi pengurusan kes perlindungan kanak-kanak perlu membuat laporan polis dalam masa 24 jam dan memaklumkan kes itu kepada Perkhidmatan Perlindungan.

Kes-kes juga dilaporkan kepada polis dalam masa 24 jam.

Sejak Mei 2025, perkhidmatan perlindungan kanak-kanak dan dewasa digabungkan di bawah Perkhidmatan Perlindungan MSF, yang menyediakan campur tangan berkanun bagi kanak-kanak, golongan dewasa rentan yang mengalami penderaan, pengabaian atau pengabaian diri, serta kes keganasan keluarga serius yang melibatkan bahaya segera.

"Apabila kes disyaki penderaan kanak-kanak dilaporkan kepada polis, polis akan menilai kes itu berdasarkan fakta dan keadaan," kata Encik Lee.

"Bagi kes-kes yang dinilai sebagai berisiko lebih tinggi, sebagai contoh, melibatkan bahaya fizikal lebih serius atau penderaan seksual, polis akan segera memberi campur tangan untuk memastikan keselamatan kanak-kanak."

Perkhidmatan Perlindungan juga akan memantau dengan teliti laporan kes kanak-kanak hilang yang dibuat kepada polis oleh agensi-agensi kes, serta bekerjasama rapat dengan polis.

Selain menjalankan siasatan terhadap kes disyaki penderaan, polis juga akan memaklumkan kes itu kepada MSF bagi perancangan keselamatan dan campur tangan sosial, kata Encik Lee.

Bagi mengukuhkan keupayaan petugas barisan hadapan, Encik Lee berkata pihak kementerian akan terus mengawal beban kerja para pegawai dan memastikan pekerja sosial mempunyai sumber yang mencukupi.

“Risiko keletihan kerja adalah nyata, dan sukar untuk memikat dan mengekalkan tenaga kerja dalam tugas perlindungan kanak-kanak,” kata beliau.

Sepanjang tempoh tiga tahun kebelakangan ini, purata beban kes bagi seorang pegawai adalah sekitar 18 hingga 21 kes, namun angka itu berbeza antara 12 hingga 30 kes bergantung kepada pusat masing-masing.

Perkhidmatan Perlindungan sudah menggandakan jumlah pegawai perlindungan kanak-kanak daripada kira-kira 45 orang pada 2019 kepada lebih 90 orang pada 2024, dan jumlah tersebut dijangka terus meningkat.

“Penambahan sumber ini membantu menurunkan purata beban kes setiap pegawai daripada kira-kira 40 kes kepada 35 kes kini,” kata beliau.

Selain itu, kakitangan sokongan tambahan sudah diambil dan beberapa perkhidmatan dipinjamkan kepada pihak luar untuk mengendalikan tugas sampingan dan menambah sumber bagi kerja-kerja penting.

“Ini membolehkan pegawai perlindungan memberi tumpuan kepada penyiasatan sosial serta penyeliaan,” kata Encik Lee, sambil menambah bahawa kementerian akan terus meningkatkan latihan dan pembangunan kecekapan.

MAKLUM BALAS TERHADAP CADANGAN PANEL SEMAKAN

Selain menjawab pertanyaan Anggota Parlimen, Encik Lee turut menjelaskan maklum balas kementerian terhadap cadangan lain yang dikemukakan oleh panel semakan.

Dalam laporannya, panel semakan menggariskan beberapa cadangan untuk mengukuhkan ekosistem perlindungan kanak-kanak.

Panel itu mencadangkan supaya satu mekanisme rayuan diwujudkan bagi menangani kes di mana terdapat perbezaan pandangan terhadap tahap risiko dan pengurusan kes.

Bagi perkara tersebut, Encik Lee berkata MSF akan menubuhkan Panel Penilaian Saringan menjelang suku pertama 2026, dan menentukan agensi yang paling sesuai untuk mengendalikan kes tersebut.

Panel itu juga mencadangkan supaya MSF mengkaji semula peranan ECDA dalam menilai kes perlindungan kanak-kanak berpotensi yang melibatkan ahli keluarga.

Menteri itu berkata menjelang awal 2026, prasekolah akan melaporkan kes sedemikian secara langsung kepada Talian Bantuan Kebangsaan Anti-Keganasan dan Gangguan Seksual.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita