Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MPA luluskan khidmat feri S'pura-Desaru selepas syarat keselamatan dipenuhi

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 Jun 2022 02:23PM Dikemas Kini : 21 Jun 2022 09:29PM

SINGAPURA: Khidmat feri antara Terminal Tanah Merah di Singapura dengan Terminal Desaru Coast di Johor sudah diluluskan oleh Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA). 

Pengendali feri Batamfast akan mengendalikan khidmat tersebut, tetapi tarikh mula masih belum diumumkan. 

"Permulaan khidmat feri baru bergantung kepada persiapan terakhir Batamfast untuk mengendalikan khidmat feri baru ini, termasuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan daripada pihak berkuasa lain," menurut MPA dalam kenyataan medianya pada Selasa (21 Jun). 

Dalam catatan Facebooknya pada Selasa (31 Jun), Menteri Pengangkutan S Iswaran berkata Batamfast akan mula menawarkan khidmat antara kedua-dua terminal feri itu apabila ia sudah bersedia kelak. 

"Permulaan khidmat feri antara Singapura dengan Desaru adalah satu lagi langkah ke hadapan dalam usaha memulihkan ketersambungan antara Singapura dengan Malaysia," tambah Encik Iswaran. 

Kelulusan MPA itu diumumkan selepas penguasa berkenaan mendedahkan pada April bahawa ia akan meluluskan khidmat feri tersebut hanya jika ia berpuas hati khidmat feri itu boleh dikendalikan dengan selamat. 

Laluan feri itu akan dikendalikan oleh anak syarikat Batamfast, Desaru Link Ferry Services dan perjalanannya dijangka mengambil masa kira-kira dua jam. 

MPA menerima saranan daripada Batamfast pada Mac tahun ini untuk mengendalikan khidmat baru antara Desaru dengan Tanah Merah. 

MPA sudah meminta Batamfast untuk menyerahkan penilaian keselamatan bagi laluan yang disarankan itu dan juga pelan tindak balas kecemasannya. 

Ia juga meminta pengesahan daripada pihak berkuasa yang mentauliahkan feri-feri tersebut selamat digunakan untuk perjalanan yang disarankan itu. 

"MPA sudah menyemak dan menilai saranan itu dan mendapati Batamfast memenuhi syarat-syarat keselamatan yang ditetapkan bagi khidmat feri yang diusulkan," katanya pada Selasa (21 Jun). 

Selain laluan langsung yang disarankan antara terminal Desaru Coast dengan Tanah Merah, MPA juga sudah meluluskan permohonan Batamfast bagi perjalanan alternatif antara terminal feri Tanah Merah dengan Tanjung Pengelih untuk digunakan sekiranya berlaku cuaca buruk atau keadaan laut bergelora. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan