Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MPA lancar model maya pertama pelabuhan SG

Penguasa Maritim dan Pelabuhan (MPA) melancarkan model maya pertama bagi pelabuhan Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 Mar 2025 09:10PM Dikemas Kini : 24 Mar 2025 09:16PM
SINGAPURA: Penguasa Maritim dan Pelabuhan (MPA) melancarkan model maya pertama bagi pelabuhan Singapura. Model simulasi tersebut yang digelar "Maritime Digital Twin", merangkumi pelbagai pelabuhan, jeti dan terminal feri Singapura, dan beroperasi dalam masa nyata.

Memanfaatkan kemudahan itu dari jarak jauh, para pengguna boleh melihat peta dasar laut secara tiga dimensi (3D).

Model maya itu dapat bantu pengguna merancang aktiviti di laut dengan lebih baik lagi, seperti menghapuskan tumbuh-tumbuhan marin yang melekat di kapal.

Turut tersedia adalah maklumat masa nyata mengenai kapal, seperti butiran pengenalan, destinasi dan jadual pelayaran, yang dapat membantu para penyedia khidmat untuk merancang laluan perjalanan dengan lebih baik,sekali gus meningkatkan kecekapan dan menjimatkan masa.

Bagi kapal elektrik pula, sistem tersebut boleh mengesan bila ia perlu dicaj serta mengenal pasti stesen-stesen mengecas sedia ada.

Selain itu, sistem "Digital Twin" juga mampu memantau dron udara maritim secara langsung.

Ia akan memberikan gambaran lebih jelas mengenai situasi di lapangan apabila dron digunakan untuk menghantar alat ganti atau gaji pekerja, serta kejadian seperti tumpahan minyak.

Keupayaan lain sistem tersebut termasuk keadaan cuaca masa nyata berdasarkan data meteorologi, agar penangguhan disebabkan faktor berkaitan cuaca dapat dikurangkan.

Maklumat dari darat, udara dan laut boleh ditinjau pada setiap masa dan digunakan untuk meningkatkan kecekapan dan keselamatan pelabuhan Singapura.

Menurut Menteri Kanan Pengangkutan, Murali Pillai, sistem tersebut akan dilancarkan kepada pengguna perintis pada akhir tahun ini, sebelum dikembangkan secara berperingkat kepada industri yang lebih luas.

"Pada masa akan datang, kita akan kembangkannya kepada ekosistem maritim global menerusi Koridor Perkapalan Hijau dan Digital, bersama negara dan pelabuhan lain," kata beliau.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan