Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Movement R' dilancar sempena Hari Keharmonian Kaum, bantu 750 isi rumah berbilang kaum & agama

Sempena Hari Keharmonian Kaum, satu usaha baru dilancarkan bagi menggalak dan menghidupkan semangat kerjasama dan prihatin antara satu sama lain dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sempena Hari Keharmonian Kaum, satu usaha baru dilancarkan bagi menggalak dan menghidupkan semangat kerjasama dan prihatin antara satu sama lain dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.

Dipanggil 'Movement R' - Regarding Rice and Respect; Regardless Race, Religion or Records, seramai 50 relawan berbilang kaum dan agama berkumpul untuk mengagihkan beras kepada keluarga berpendapatan rendah dan keluarga bekas pesalah.

Usaha pertubuhan silang agama tempatan Humanity Matters itu dapat dijayakan hasil sumbangan beras dari Singapore Buddhist Lodge dan PERGAS.



Ia juga dibantu para relawan dari SG CORE Network, The Kampung Bridge (TKB), dan Abam Abam Van (AAV).

Bermula dari jam 10.00 pagi lagi, para relawan membungkus semula hampir empat tan beras dalam bungkusan-bungkusan seberat lima kilogram setiap satu.

Antara sukarelawan yang menyertai inisiatif ini termasuk pengasas AAV, serta pengasas bersama TKB, Muhammad Freddie Zainal.



"Kita dapat membantu keluarga yang berbilang bangsa, tidak kira (berbangsa) Melayu, Cina, India ataupun bangsa-bangsa yang lain. Kita membantu semua agama, seperti ikrar kita iaitu tidak kira kaum, bahasa atau agama," kongsi Encik Freddie.

Selepas menggembleng tenaga, para relawan juga dijamu makan pelbagai jenis hidangan nasi yang sinonim dengan masyarakat Singapura seperti Nasi Ayam dan Nasi Lemak.

SAMBUTAN HARI KEHARMONIAN KAUM LEBIH ISTIMEWA

Menurut Timbalan Pengerusi Humanity Matters, Encik Gurmit Singh, sambutan Hari Keharmonian Kaum kali ini lebih istimewa dan berbeza daripada yang biasa dengan usaha sebegini.

"Ini sesuatu yang berlainan daripada biasa dengan berpakaian kostum dan sebagainya. Kami mendapatkan mereka dari pelbagai kaum dan agama untuk membungkus beras bagi keluarga yang memerlukan," kongsi Encik Singh.

"Jadi sesi ini membuat Hari Keharmonian Kaum lain daripada biasa. Mengapa tidak (kita) memberi bantuan kemanusiaan dengan memberi mereka (golongan memerlukan) apa yang diperlukan terutama sekali makanan asasi Singapura iaitu nasi," tambah beliau lagi.



Selain itu, Encik Singh menambah bahawa sesi sebegini merupakan satu peluang yang baik bagi masyarakat silang agama dan kaum berkumpul dan saling berkenalan.

"Sedang mereka membungkus, mereka sebenarnya berbual bersama, termasuk saya dan apabila kami sedang makan tengah hari, kami juga bertukar pendapat," ujar Encik Singh.

"Jadi ini merupakan cara bukan formal untuk mendapatkan orang ramai berbual bersama dan mengenali satu sama lain," tambah beliau.

750 ISI RUMAH DIBANTU

Turut hadir bagi memberikan sokongan bagi inisiatif murni ini ialah Anggota Tetap Majlis Presiden bagi Hak Minoriti, Encik Abdullah Tarmugi.

"Kalau dahulu kita hanya bertoleransi antara satu sama lain, iaitu bangsa, agama dan sebagainya, saya kira lebih berkesan kalau kita dapat membuat sesuatu bersama seperti mana yang dibuat hari ini," menurut Encik Abdullah.

"Kita mula dengan toleransi selepas itu untuk memahami dan selepas itu pula untuk menghargai," tambahnya lagi.



Sekitar 750 isi rumah dari merata Singapura, meraih manfaat hari ini (21 Jul).

Antara penerima bantuan termasuklah Encik Hu Zhiwei, 39 tahun, yang mempunyai tiga orang anak.

Selain dapat bantu menjimatkan perbelanjaan, Encik Hu juga melihat ini sebagai satu inisiatif yang bermakna.



"Saya rasa ini adalah satu permulaan yang baik kerana Singapura adalah negara berbilang kaum dan harmoni. Ia baik kerana anda dapat melihat ramai orang berbilang kaum berkumpul untuk membantu satu sama lain," kongsi beliau kepada BERITAmediacorp.

Bagi memastikan bantuan itu berterusan, lagi satu tan beras akan dibungkus semula dan diagihkan kepada 200 isi rumah setiap bulan.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan