MoU PCICS antara MUIS, Universiti Al-Azhar diperbaharui
Universiti Al-Azhar akan terus mengendalikan modul ‘Metodologi Pengajaran Islam dalam Masyarakat Kontemporari’ dalam program Sijil Pos Siswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS).
Timbalan Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Dr Albakri Ahmad (kiri) dan Presiden Universiti Al-Azhar Salama Gooma Dawood. (Gambar: Mediacorp)
Ini setelah Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kerjasama itu diperbaharui sempena lawatan Presiden Tharman Shanmugaratnam ke Mesir pada Isnin (22 Sep).
MoU itu dimeterai oleh Timbalan Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Dr Albakri Ahmad dan Presiden Universiti Al-Azhar Salama Gooma Dawood.
Semua lulusan dari institusi pengajian tinggi Islam luar negara perlu menjalani program selama setahun itu sebagai prasyarat sebelum diterima masuk ke dalam Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).
Kali terakhir MoU itu dimeterai adalah pada 2019.
Encik Masagos berkata: "Yang pertama, ia memberi kita peluang untuk bekerjasama dengan satu institusi, universiti Islam yang antara tertua di dunia. Ia membawa pengajian Islam yang memupuk sifat membina keamanan dan juga kepercayaan yang penting dalam konteks Singapura."
"Kita juga beruntung kerana dalam MoU tersebut, pakar dari Al-Azhar hadir di Singapura dan ini membolehkan para pelajar untuk bertukar pendapat, bertanya kalau ada rasa sangsi atau tidak jelas, tentang hal-hal yang perlu disampaikan," tambah beliau lagi.
Selain Encik Masagos, delegasi lawatan negara Presiden Tharman ke Mesir itu turut disertai Menteri Negara Kanan Tan Kiat How serta Anggota Parlimen Hazlina Abdul Halim dan Ng Shi Xuan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.