Skip to main content

Singapura

Motosikal baharu wajib dipasang sistem brek anti-kunci mulai April 2027: LTA

Mulai 1 April 2027, semua motosikal baharu berdaftar perlu dipasang dengan sistem brek anti-kunci (ABS), menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Selasa (16 Sep), menyusuli perundingan industri.

Anggaran Waktu Membaca:
Motosikal baharu wajib dipasang sistem brek anti-kunci mulai April 2027: LTA

Sebuah motosikal di jalan raya di Singapura. (Gambar fail: CNA/Marcus Mark Ramos)

SINGAPURA: Mulai 1 April 2027, semua motosikal baharu berdaftar perlu dipasang dengan sistem brek anti-kunci (ABS), menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Selasa (16 Sep), menyusuli perundingan industri.

Motosikal sedia ada yang tidak mempunyai sistem ABS tidak perlu dipasang sistem berkenaan, menurut LTA.

ABS mengurangkan risiko motosikal tergelincir dengan mengawal tekanan brek dan menghalang roda daripada terkunci, sekaligus mengekalkan kestabilan kenderaan jika berlaku brek secara mengejut.

Setakat hujung 2024, sekitar separuh daripada motosikal di Singapura sudah pun dipasang dengan sistem ABS, menurut LTA.

"Industri permotoran mempunyai tempoh peralihan selama 18 bulan untuk melepaskan bekalan sedia ada dan membawa masuk model kenderaan yang dilengkapi dengan sistem ABS," ia menambah.

"Dengan keperluan baharu ini, Singapura akan menjadi negara ASEAN pertama yang memerlukan semua motosikal baharu dipasang dengan ABS."

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2020, motosikal yang dipasang dengan sistem ABS mempunyai kadar nahas maut lebih rendah sebanyak 37 peratus berbanding dengan motosikal tanpa sistem ABS.

Menteri Negara Kanan Pengangkutan Amy Khor berkata di Parlimen pada 2023 bahawa LTA sedang mengkaji kesan mandat ABS bagi semua motosikal.

Apabila mengeluarkan mandat bagi teknologi keselamatan baharu, termasuk ABS, banyak faktor perlu dinilai, termasuk kesediaan para pemandu untuk menyesuaikan diri kepadanya, kebolehpercayaannya, keberkesanan kos serta kesan ke atas tingkah laku pemandu dengan penggunaannya, kata Dr Khor pada ketika itu.

Pada 2024, jumlah nahas jalan raya melibatkan penunggang motosikal melonjak sebanyak 20.8 peratus, manakala nahas melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal meningkat sebanyak 25 peratus pada 2024 berbanding 2023, menurut laporan Polis Trafik.

"Peraturan baharu ini bertujuan meningkatkan tahap keselamatan bagi para penunggang motosikal, pembonceng motosikal serta pengguna jalan raya yang lain," menurut LTA.
Sumber : CNA/HA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita