Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Motosikal asing usang dilarang masuk SG, kenderaan diesel komersil berdepan had pelepasan asap lebih ketat

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Motosikal asing yang kian usang tidak lama lagi tidak dibenarkan di jalan raya di Singapura, sementara kenderaan diesel komersil asing mesti mematuhi ambang pelepasan asap yang lebih rendah.

Ini sedang pihak berkuasa mengumumkan rancangan untuk mengetatkan peraturan demi melindungi mutu udara.

Mulai 1 Julai 2028, motosikal berdaftar asing yang didaftarkan di negara asal mereka sebelum 1 Julai 2003, akan dihalang daripada memasuki Singapura.

Demikian menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Isnin (1 Jul).

NEA sebelum ini mengumumkan pada 2018 mengenai satu peraturan serupa yang melarang motosikal tempatan yang kian usang daripada jalan raya di Singapura mulai Julai 2028, memandangkan motosikal yang lebih berusia biasanya menyebabkan lebih banyak pencemaran berbanding motosikal yang mematuhi piawai lebih baharu bagi pelepasan Euro.

"Syarat ini kini diperluaskan kepada motosikal berdaftar asing," jelas NEA.

"Motosikal asing yang memasuki Singapura perlu menggunakan motosikal yang berdaftar pada atau selepas 1 Julai 2003, yang juga mematuhi piawaian pelepasan dalam penggunaan Singapura."

AMBANG PELEPASAN YANG LEBIH RENDAH

Larangan ke atas motosikal asing yang lebih usang adalah sebahagian daripada langkah-langkah yang diumumkan pada Isnin untuk menghadkan pelepasan kenderaan kerana ia mengandungi bahan pencemar yang boleh menjejaskan kesihatan pernafasan.

NEA juga menyatakan bahawa mulai 1 April 2026, ambang untuk mengarahkan kenderaan diesel komersil asing berpatah balik dari memasuki Singapura akan diperketatkan kepada 50 HSU.

'Hartridge Smoke Unit' (HSU) adalah metrik bagi pelepasan asap dari kenderaan diesel.

Buat masa ini, jika pelepasan asap kenderaan diesel komersil tempatan atau asing diuji dan didapati melebihi 40 HSU, pemandu kenderaan itu akan dikenakan denda komposisi.

Jika sebuah kenderaan diesel komersil asing didapati dengan pelepasan asap sebanyak 60 HSU atau lebih, kenderaan itu akan diarahkan untuk berpatah balik di pusat pemeriksaan darat Singapura dan tidak dibenarkan memasuki negara ini.

Dalam tempoh enam bulan sebelum langkah itu diperkenalkan - iaitu dari 1 Oktober 2025 sehingga 31 Mac 2026 - NEA akan mengeluarkan makluman kepada kenderaan sedemikian yang memasuki Singapura untuk mengingati mereka mengenai ambang baharu tersebut dan tarikh penguatkuasaan langkah tersebut.

Di bawah Peraturan Perlindungan dan Pengurusan Persekitaran (Pelepasan Kenderaan), pemandu yang tidak mematuhi syarat boleh didenda sehingga S$2,000 jika sabit kesalahan pertama.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan