Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Motivasi dan pendedahan awal antara faktor yang boleh bantu kejayaan belia Muslim: Kajian MENDAKI

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Maklumat yang tidak memadai dan kurangnya pendedahan kepada kerjaya potensi antara faktor yang boleh menghambat belia Muslim daripada mencapai aspirasi kerjaya atau akademik mereka.

Demikian antara dapatan kajian 'Aspirasi Belia Islam' yang dikongsikan dengan rakan-rakan kongsi pemerintah, korporat dan masyarakat di Simposium MENDAKI 2024 hari ini (10 Jul).

Kajian itu dijalankan Yayasan MENDAKI selama dua tahun antara April 2022 hingga Julai 2024.

Ia melibatkan lebih 1,000 responden belia Melayu/Islam dan bertujuan untuk mengenal pasti faktor-faktor yang boleh membantu atau menghindari belia Muslim daripada mencapai aspirasi akademik dan kerjaya mereka.

Ini juga akan membolehkan MENDAKI dan rakan-rakan kerja badan itu untuk memikirkan intervensi yang boleh dilaksanakan bagi bantu dengan lebih baik lagi belia-belia Muslim merealisasikan impian mereka dalam pendidikan dan pekerjaan masing-masing.

DAPATAN KAJIAN 'ASPIRASI BELIA ISLAM' MENDAKI

Kajian tersebut juga mendapati lebih 90 peratus belia Melayu/Islam merasakan adalah penting untuk mendapatkan pekerjaan yang baik, mempunyai kerjaya serta meraih kemahiran dan ilmu baharu di luar sistem pendidikan formal.

Namun usaha untuk mencapai aspirasi tersebut boleh terjejas dengan faktor lain seperti motivasi, perancangan dan kepercayaan diri untuk mampu melakukannya atau 'self-efficacy'.

Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa program pementoran boleh memberi kesan positif kepada keyakinan diri belia untuk mencapai kejayaan dalam bidang yang mereka minati.

"Di MENDAKI kami ada program pementoran untuk remaja-remaja seawal usia 15 tahun dan juga untuk remaja-remaja yang lebih dewasa kami akan padankan mereka dengan para mentor dalam rangkaian profesional.

"Ini akan membantu mereka mempunyai minda yang lebih luas untuk apa yang mereka boleh harapkan untuk kerjaya mereka yang akan datang," kongsi Penolong Pengarah, Penyelidikan dan Reka Bentuk, Yayasan MENDAKI, Sabrena Abdullah kepada wartawan Nurfazirah Azman.
Menurut kajian itu, bantuan kewangan boleh bantu belia Muslim jadi lebih berdaya tahan.

92 peratus belia yang dapat pinjaman pendidikan MENDAKI merasakan bahawa mereka lebih berdaya tahan dalam mengatasi cabaran merealisasikan aspirasi kerjaya mereka.

Lebih 90 peratus belia pula beranggapan bahawa keluarga dan peluang pada masa hadapan adalah motivasi yang penting untuk mencapai aspirasi kerjaya dan akademik mereka.

"Di antara tinjauan yang kami dapati adalah peranan penting ayah dan ibu dalam sebuah keluarga untuk memupuk aspirasi dan inspirasi anak-anak mereka.

"Terutama sekali untuk ayah iaitu untuk anak-anak lelaki mereka dan juga ibu bagaimana mereka memberangsangkan anak-anak mereka dengan memberi pujian dan sebagainya dan ini dapat membantu remaja-remaja itu untuk lebih bermotivasi untuk mencapai aspirasi-aspirasi mereka," kata Cik Sabrena.

Lantaran itu kata beliau, MENDAKI akan tingkatkan lagi usaha-usahanya untuk membantu dan menyokong para ibu bapa berlandaskan dapatan-dapatan kajian berkenaan.

SESI PERBINCANGAN BERSAMA PANEL

Di simposium itu juga, para peserta dapat mengikuti dua sesi perbincangan panel yang bertemakan 'Aspirasi Belia' dan 'Kesejahteraan Mental Belia'.

Mereka dapat mengajukan soalan menerusi kod QR yang disediakan.

Tetamu terhormat, Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Grace Fu juga berkongsi pandangannya dalam sesi pertama.

Beliau juga menekankan betapa pentingnya peranan belia dalam memerangi isu perubahan iklim dan kelestarian alam.

Cik Fu yang juga Menteri bertanggungjawab bagi Perhubungan Perdagangan juga mengalu-alukan para belia yang berminat untuk laksanakan inisiatif dalam bidang itu dan disokong Dana Eko SG.

"Salah satu projek oleh Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) yang memulakan projek 'Youth Eco Action' untuk menyebarkan kesedaran mengenai kemampanan persekitaran di kalangan belia melalui aktiviti interaktif seperti memadankan pembersihan dengan acara berbasikal, kayak, berkebun, bengkel mengitar semula dan sesi lawatan ke ladang," kata Cik Fu.

Di samping itu, beliau juga berkongsi pelbagai usaha pemerintah untuk mendekati belia melalui program-program seperti Program Pembangunan Iklim Belia (CYDP) dan Pemimpin Kemampanan Sekitaran Belia (YES).

SIMPOSIUM MENDAKI KE-8 DAPAT SAMBUTAN BAIK

Simposium MENDAKI itu dihadiri lebih 400 individu. Jumlah itu lebih tinggi berbanding 300 hadirin tahun lepas.

"Ini menunjukkan bahawa ada semacam satu kematangan di masyarakat Melayu/Islam Singapura kita untuk lebih mengetahui tentang isu-isu sains kemasyarakatan yang berlaku di negara ini.

"Ini juga memberi kita semangat untuk sama-sama memanggil masyarakat-masyarakat kita di luar sana untuk sama-sama membantu MENDAKI menghuraikan isu-isu sebegini supaya kami sama-sama dapat membangunkan sebuah masyarakat yang lebih progresif," kongsi Cik Sabrena.

Yayasan MENDAKI akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan kerja pemerintah, korporat dan masyarakat untuk memperkasa dan menaik taraf kehidupan para belia serta keluarga mereka dengan dapatan-dapatan daripada kajian yang dijalankan.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan