Moov Technology diberi lesen penuh kendalikan sehingga 10,000 basikal sewa
Syarikat pemula khidmat perkongsian basikal, Moov Technology, diberi kelulusan prinsip untuk memperoleh lesen penuh bagi mengendalikan sehingga 10,000 basikal. Demikian diumumkan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Isnin (14 Okt).
Basikal-basikal sewa oleh Moov Technology.
SINGAPURA: Syarikat pemula khidmat perkongsian basikal, Moov Technology,
diberi kelulusan prinsip untuk memperoleh lesen penuh bagi mengendalikan sehingga 10,000 basikal. Demikian diumumkan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Isnin (14 Okt).
Syarikat tersebut sebelum ini diberikan lesen 'sandbox' atau terkawal yang membolehkannya mengendalikan sehingga 1,000 basikal setahun.
Syarikat basikal sewa yang diberi lesen penuh boleh mengendalikan khidmat mereka di tempat awam selama dua tahun.
Ia juga harus memenuhi syarat seperti melaksanakan sistem meletak basikal menggunakan kod QR untuk memastikan para pengguna meletakkan basikal dalam kawasan yang ditetapkan.
Menurut LTA, sejak sistem meletak basikal menggunakan kod QR itu bermula Januari lalu, jumlah basikal yang diletakkan secara sembarangan merosot kepada 13 peratus daripada 44 peratus.
Para pengguna yang gagal untuk meletakkan basikal dengan betul dan mengimbas kod QR untuk tiga kali atau lebih dalam setahun akan dilarang daripada menggunakan semua khidmat kongsi basikal selama sebulan. Tempoh larangan tersebut dilanjutkan lagi bagi setiap kegagalan berikutnya.
Kini, terdapat tiga pengendali basikal sewa di Singapura.
Selain Moov, Anywheel juga mempunyai lesen untuk mengendalikan 10,000 basikal sewa. Syarikat SG Bike dengan jumlah basikal sewa sebanyak 25,000 adalah yang terbesar di Singapura setelah ia mengambil alih lesen Mobike.
"LTA sentiasa menyemak semula jumlah basikal sewa untuk memastikan bilangannya boleh memenuhi permintaan pengguna tanpa menyebabkan gangguan awam," jelas penguasa tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.