Skip to main content

Singapura

Monyet berkeliaran di Punggol: 50 dijerat NParks pada 2024, kebanyakan sudah dikembiri

Sebanyak 50 ekor monyet di Punggol berjaya dijerat oleh Lembaga Taman Negara (NParks) pada 2024 dan kebanyakan yang ditangkap telah dikembiri sebagai sebahagian daripada usaha menguruskan jumlah monyet di kawasan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Monyet berkeliaran di Punggol: 50 dijerat NParks pada 2024, kebanyakan sudah dikembiri

Seekor beruk ditemui pada 10 November 2017. (Gambar fail: AP/John Raoux)

Diterbitkan : 05 Mar 2025 09:56AM Dikemas Kini : 05 Mar 2025 09:58AM
SINGAPURA: Sebanyak 50 ekor monyet di Punggol berjaya dijerat oleh Lembaga Taman Negara (NParks) pada 2024 dan kebanyakan yang ditangkap telah dikembiri sebagai sebahagian daripada usaha menguruskan jumlah monyet di kawasan itu.

Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee berkata demikian dalam jawapan bertulisnya kepada soalan Parlimen pada Selasa (4 Mac) bahawa NParks telah menerima beberapa aduan mengenai konflik manusia-monyet dan di kawasan-kawasan dengan kes yang lebih tinggi dilaporkan, agensi itu campur tangan untuk melindungi keselamatan awam.

Ini termasuk langkah-langkah mengawal jumlah jangka panjang monyet seperti kembiri dan menakai monyet yang menunjukkan tingkah laku yang lebih agresif atau mengganggu orang awam, tambah Encik Lee.

Encik Lee berkata demikian semasa menjawab soalan Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP) Prof Madya Jamus Lim (WP-Sengkang). Beliau bertanya sama ada program kembiri, berhubung monyet di Punggol, hanya dijalankan di lokasi-lokasi tertentu yang disahkan terdapat jumlah monyet yang tinggi, seperti yang disokong oleh kajian dan anggaran yang diunjurkan.

Prof Madya Lim juga ingin mengetahui jumlah monyet yang dijerat oleh NParks pada 2024 dan daripada jumlah yang dijerat, berapa banyak yang kemudiannya dikembirikan dan ditakai.

"Untuk menguruskan jumlah monyet, NParks menjalankan penyelidikan dan penilaian menyeluruh terhadap jumlah monyet sebelum melaksanakan program kembiri di Punggol," kata Encik Lee.

"Pada 2024, NParks menjerat 50 ekor monyet di sekitar Punggol, yang sebahagian besarnya kemudiannya dikembiri. Untuk menjaga keselamatan awam, sesetengah monyet yang menunjukkan tingkah laku yang lebih agresif atau mengganggu orang awam telah ditakai."

Ini adalah sebahagian daripada pendekatan berasaskan sains dan masyarakat NParks untuk menguruskan jumlah monyet di Singapura, yang juga termasuk meminimumkan sumber makanan manusia dengan memastikan pengurusan sampah yang betul, penguatkuasaan makan dan langkah-langkah untuk menghalang monyet daripada menceroboh kawasan bandar.

Encik Lee berkata bahawa agensi itu juga telah bekerjasama rapat dengan pihak-pihak berkepentingan, seperti penasihat akar umbi dan majlis bandaran, untuk melibatkan penduduk Punggol mengenai langkah-langkah mitigasi dan apa yang perlu mereka lakukan apabila berdepan dengan monyet.

“Kita semua boleh memainkan peranan kita untuk meminimumkan pencerobohan hidupan liar dengan mengelak daripada memberi makan kepada hidupan liar, menjaga kebersihan kawasan kediaman kita dan menghargai hidupan liar dari jarak yang selamat,” tambahnya.

ISU MONYET TIMBUL BEBERAPA TAHUN KEBELAKANGAN INI

Jumlah monyet di Punggol telah menimbulkan beberapa isu kepada penduduk sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada 2022, Mediacorp melaporkan bahawa monyet akan keluar dari kawasan hutan di belakang Punggol Waterway dan Coney Island (Pulau Serangoon) untuk mencari makanan.

Haiwan itu akan menyelongkar tong sampah dan merosakkan harta benda, menurut penduduk dan pemilik kedai di kawasan itu.

Monyet-monyet itu juga akan berkeliaran di kedai dan pasar raya untuk mencuri makanan, menurut beberapa pekerja yang memberitahu Mediacorp.

Menurut catatan di Reddit pada bulan lalu, beruk ekor panjang juga ditemui terjerat dalam sangkar di Punggol Northshore, dengan seorang pengguna mendedahkan bahawa kumpulan sembang di Telegram telah melaporkan banyak kemunculan monyet sejak kebelakangan ini.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita