Skip to main content

Singapura

Monyet berkeliaran biasa dilihat di estet HDB Clementi; NParks jalankan langkah pengawalan

Anggaran Waktu Membaca:
Monyet berkeliaran biasa dilihat di estet HDB Clementi; NParks jalankan langkah pengawalan

(Gambar: Tangkapan skrin video @SingaporeRoadAccident/Facebook)

SINGAPURA: Pengawalan monyet akan dijalankan untuk mengembala monyet yang dilihat berkeliaran di sebuah estet Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Clementi ke kawasan berhutan. 

Demikian menurut Lembaga Taman Negara (NParks) pada Rabu (20 Jul). 

Pengawalan monyet merujuk kepada langkah menghalang monyet daripada menghampiri dan mengembala haiwan itu ke kawasan berhutan, kata Pengarah Pengurusan Haiwan Liar NParks, Dr Adrian Loo. 

Pihak berkuasa sedia maklum tentang kehadiran sekumpulan monyet berekor panjang di kawasan tersebut, tambah Dr Loo semasa menjawab pertanyaan mengenai video tular yang menunjukkan sekumpulan monyet meninggalkan sebuah unit flat HDB melalui tingkap di estet berkenaan. 

"Kami juga mengadakan lawatan ke kawasan tersebut untuk memantau pergerakan kumpulan monyet itu dan memberi nasihat kepada penduduk tentang cara bagaimana untuk bertindak jika mereka bersemuka dengan monyet," kata Dr Loo. 

"Kamera litar tertutup (CCTV) sudahpun dipasang di kawasan berkenaan untuk membantu penguatkuasaan terhadap perbuatan memberi makanan kepada monyet yang menyumbang kepada haiwan itu berkeliaran di kawasan bandar untuk mencari makanan."

Beliau menambah isu-isu antara monyet dengan manusia sering timbul apabila haiwan itu tertarik dengan akses yang mudah kepada makanan manusia ataupun diberi makanan oleh orang awam.

"Dalam kes-kes sedemikian, monyet akan menjadi terbiasa dengan manusia disebabkan pemberian makanan dan justeru, meluangkan lebih banyak masa di kawasan-kawasan ini." 

Ini akan mengubah tingkah laku semula jadi monyet dan membuatkan haiwan itu mengaitkan manusia dengan makanan. Ini akhirnya boleh membawa kepada tingkah laku yang tegas oleh monyet seperti merampas beg plastik dan bekas makanan daripada orang ramai, jelas Dr Loo. 

Beliau menasihatkan orang awam supaya menyembunyikan beg plastik atau makanan dan minuman daripada pandangan monyet apabila ternampak kelibat haiwan itu. 

Orang awam juga boleh menghubungi Pusat Respons Haiwan 24 jam di talian 1800-476-1600 untuk isu-isu berkaitan haiwan liar. 

NParks juga sedang memerhatikan orang awam yang memberi makanan kepada monyet, kata Dr Loo.

Di bawah Akta Haiwan Liar, sesiapa yang didapati memberi makanan kepada monyet boleh dikenakan denda tidak melebihi S$5,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga S$10,000 untuk kesalahan kedua dan seterusnya. 

Para penduduk Blok 118 Clementi St 13, iaitu blok HDB yang dipaparkan dalam video yang tersebar luas secara online, berkata monyet-monyet itu biasa dilihat di sekitar estet tersebut pada waktu pagi dan petang hari. 

Chia Shen, seorang penduduk berusia 34 tahun yang menetap di tingkat empat blok berkenaan bersama ibu bapanya, berkata monyet mula melawat kawasan tersebut sejak beberapa tahun lalu. 

"Saya rasa hanya baru-baru ini, beberapa minggu lalu, ia menjadi semakin berani. Ia akan memasuki unit-unit di sini kerana ia sedar bahawa terdapat banyak makanan," kata Encik Chia. 

"Sebelum ini, ia memasuki sesetengah unit sahaja dan satu monyet akan duduk di luar unit tersebut, manakala yang lain akan memasuki unit itu untuk mencuri atau menggeledah makanan tetapi ia menyebabkan keadaan yang amat berselerak."

Insiden sedemikian sebelum ini jarang sekali berlaku, tambah beliau. Namun masalah itu menjadi semakin teruk baru-baru ini, dengan terdapat monyet-monyet yang memanjat blok HDB sekitar lima kali seminggu.

"Kami tidak menganggap perkara itu sebagai sesuatu yang luar biasa," ujar Encik Chia. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita