Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Momen NDP 2022 paling menarik perhatian, jadi bualan ramai

NDP 2022 sudah berlalu namun, beberapa momen terus terpahat di ingatan.

Anggaran Waktu Membaca:
 Momen NDP 2022 paling menarik perhatian, jadi bualan ramai

(Gambar: CNA/media sosial)

Diterbitkan : 10 Aug 2022 11:48PM Dikemas Kini : 11 Aug 2022 02:01PM
SINGAPURA: Semasa sambutan Hari Kebangsaan yang ke-57 Singapura, bersiara secara langsung di Pentas Terapung Marina Bay pada Selasa (9 Ogos), beberapa insiden terakam meraih perhatian orang ramai.

Antaranya, apabila Pegawai Waran Ketiga (3WO) Jeffrey Heng jatuh selepas membuat terjunan dan tidak dapat mendarat dengan betul semasa segmen Red Lions di permulaan perbarisan.

Ramai warga Singapura yang menyaksikan insiden itu membanjiri ruang media sosial dengan menitipkan doa dan ucapan agar 3WO Heng pulih.

Momen kedua yang menjadi bualan hangat warga net di media sosial adalah ketika seorang penonton NDP 2022 di Pentas Terapung Marina Bay, Encik Azuan Tan, dirakam menitiskan air mata di kamera televisyen ketika menyanyikan lagu kebangsaan.

Gambar tersebut bahkan disifatkan sebagai antara gambar ikonik NDP tahun ini oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Lawrence Wong.
Namun selain daripada detik-detik tersebut, berikut adalah beberapa adegan lain yang bukan saja mewarnai NDP tahun ini, bahkan menjadi buah mulut di ruang maya ketika perbarisan sedang diadakan.

1. REMAJA PEGANG PAPAN TANDA BERTULIS 'HI MOM'
Setiap tahun, apabila segmen persembahan NDP melabuhkan tirainya, para peserta akan dilihat berkumpul sambil berdansa dan bernyanyi di akhir rancangan.

Seorang pembimbing pelajar mengambil kesempatan itu untuk menarik perhatian ibunya semasa siaran langsung tersebut. Dia dilihat duduk di atas bahu seorang rakan sambil mengangkat papan tanda yang bertulis "Hi Mom".

Ramai netizen memuji keberanian peserta itu dan berharap ibu beliau perasan papan tanda tersebut. Ada pula yang bergurau bahawa bapa remaja itu berkemungkinan akan rasa dipinggirkan.

2. PENONTON UCAP TERIMA KASIH KEPADA HDB ATAS NOMBOR GILIRAN BTO
Apabila ditanya pengacara NDP Rishi Budhrani perkara yang membuatnya berasa bersyukur serta berterima kasih, personaliti media sosial tempatan Nicole Liel memberi jawapan yang difahami dan bergema dengan ramai rakyat Singapura.

"Saya amat berterima kasih kepada HDB kerana memberi saya nombor giliran BTO (Flat Bina Ikut Tempahan)," jawabnya.

Responsnya itu disambut dengan deraian tawa dan sorakan daripada para penonton lain. Kemudian, Cik Liel menambah lagi: "Dan Ya Kun Kaya Toast".

3. 'MAKCIK' BUKA LANGKAH IKUT RENTAK LAGU BLACKPINK
Sebelum persembahan pada Selasa (9 Ogos), klip video menampilkan sekumpulan wanita yang berdansa mengikut rentak lagu Blackpink, Boombayah, sebagai sebahagian daripada raptai NDP sudahpun mendapat perhatian di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya.

Perbualan mengenai persembahan itu menarik minat ramai sekaligus membuktikan segmen tersebut sebagai antara bahagian persembahan yang dinanti-nanti serta mendapat sambutan baik para penonton.

4. PEGAWAI DALAM SUT HAZMAT
Beberapa pengguna sosial media menyamakan para pegawai Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), yang berpakaian sut bahan berbahaya (Hazmat) sebagai sebahagian daripada Pertunjukan Pertahanan Awam di NDP 2022, dengan watak-watak dari filem Minions atau permainan online, Among Us.

Seorang pengguna Twitter menciap: "Orang berpakaian hazmat nampak kelakar apabila mereka melambai-lambaikan tangan mereka, ia ibarat minion melambai kepada anda".

NDP tahun ini kembali diadakan secara skala penuh, dengan jumlah penonton seramai 25,000 orang, selepas dua tahun disambut secara kecil-kecilan. Ia juga merupakan kali terakhir perbarisan itu diadakan di Pentas Terapung Marina Bay sebelum kerja-kerja pembangunan semula dimulakan bagi Dataran NS.
Sumber : CNA/SS/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan