Skip to main content

Singapura

MOM tubuhkan jawatankuasa kaji keperluan undang-undang tangani diskriminasi di tempat kerja

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan menubuhkan sebuah jawatankuasa tiga pihak untuk mengkaji sama ada undang-undang adalah "pilihan dasar terbaik" bagi menangani diskriminasi di tempat kerja, kata Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng di Parlimen pada Isnin (26 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
MOM tubuhkan jawatankuasa kaji keperluan undang-undang tangani diskriminasi di tempat kerja

(கோப்புப்படம்: TODAY)

Diterbitkan : 26 Jul 2021 11:02PM Dikemas Kini : 26 Jul 2021 11:03PM

SINGAPURA: Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan menubuhkan sebuah jawatankuasa tiga pihak untuk mengkaji sama ada undang-undang adalah "pilihan dasar terbaik" bagi menangani diskriminasi di tempat kerja, kata Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng di Parlimen pada Isnin (26 Jul).

Dr Tan berkata demikian sebagai membalas usul bagi penangguhan perbahasan mengenai mengekalkan teras Singapura yang kukuh dalam tenaga kerja oleh Anggota Parlimen Patrick Tay (PAP-Pioneer).
Encik Tay yang merupakan penolong setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) memfailkan usulan tersebut menyusuli perbahasan baru-baru ini di Dewan Parlimen mengenai dasar pekerja hijrahan Singapura.

Meskipun Singapura telah melaksanakan beberapa perubahan terhadap dasar tenaga kerja asing sepanjang beberapa tahun lalu, Dr Tay berkata ramai golongan profesional, pengurus dan eksekutif (PME)Singapura merasakan penyesuaian dasar itu tidak mencukupi.

"Saya dapat merasakan kebimbangan dan kegelisahan yang dialami golongan PME tempatan, terutama sekali terhadap jaminan pekerjaan. Selain daripada sentimen orang ramai terhadap persaingan sengit dari kemasukan PME warga asing, saya mempunyai ringkasaan anekdot amalan pekerjaan yang tidak adil oleh majikan yang lebih cenderung menggajikan pekerja warga asing dan mengamalkan diskriminasi terhadap warga tempatan," katanya.

Di bawah Rangka Kerja Pertimbangan Adil, majikan perlu menawarkan kerja kosong kepada penduduk tempatan sebelum mempertimbangkan untuk mengambil pekerja warga asing, namun Encik Tay berkata sesetengah PME merasakan ini "sekadar paparan luar" untuk menenangkan keadaan kerana syarikat-syarikat itu sudah pun membuat pilihan calon warga asing apabila mereka meletakkan iklan kerja.

Ramai PME juga berkata buat masa ini, tidak ada rangka kerja yang baik bagi pemindahan pengetahuan untuk peranan pekerjaan di mana majikan mendakwa terdapat kekurangan kemahiran, kata Encik Tay.

AP USUL CARA TANGANI DISKRIMINASI

Encik Tay menyarankan MOM menyemak semula rangka kerja berhubung dasar dan undang-undang sedia ada dan memberikan lebih kuasa melalui perundangan kepada Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adi (TAFEP), memperluaskan kuasa siasatan, penguatkuasaan dan hukuman bagi mereka yang melakukan diskriminasi di tempat kerja.

Menurutnya lagi, proses menyemak semula permohonan pas pekerjaan (PAS) harus tidak dihadkan kepada kelayakan pendidikan dan gaji pemohon untuk mengambil kira amalan pengambilan pekerja sesebuah itu.

"SEBAB TIDAK DIINGINI"

Menjawab, Dr Tan berkata MOM akan memastikan bahawa rakyat Singapura akan dipertimbangkan secara adil bagi peluang-peluang pekerjaan, sambil menarik perhatian bahawa hukuman lebih ketat diperkenalkan bagi semua bentuk diskriminasi di tempat kerja baru-baru ini.

Beliau menambah: "Namun, saya juga ingin menekankan pentingnya kita terus bersikap terbuka. Gabungan warga tempatan yang berkemahiran dan kepakaran bakat asing adalah satu kelebihan daya saing utama bagi kita dalam menarik lebih banyak syarikat antarabangsa, mewujudkan lebih banyak pekerjaan baik bagi rakyat Singapura."

Menteri Tenaga Manusia itu berkata selain tumpuan pada diskriminasi berasaskan kaum, Singapura juga harus memberi perhatian pada usaha mengatasi pelbagai bentuk diskriminasi yang lain termasuk dari segi jantina, usia, kaum, agama dan ketidakupayaan.

MOM tidak menolak cadangan untuk memperkenalkan undang-undang terhadap amalan diskriminasi, katanya sambil menekankan bahawa undang-undang sahaja tidak dapat menjamin hasil pekerjaan yang baik. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita