MOM tidak 'terburu-buru' gubal undang-undang aturan bekerja dari rumah
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) tidak akan "terburu-buru" untuk menggubal undang-undang bagi aturan bekerja dari rumah kerana ia mungkin menghambat pemulihan ekonomi.

(Gambar: AFP)
SINGAPURA: Kementerian Tenaga Manusia (MOM) tidak akan "terburu-buru" untuk menggubal undang-undang bagi aturan bekerja dari rumah kerana ia mungkin menghambat pemulihan ekonomi.
Demikian kata Menteri Negara bagi Tenaga Manusia Gan Siow Huang di Parlimen hari ini (11 Jan).
"Kita tidak harus terburu-buru untuk menggubal undang-undang yang secara tidak sengaja boleh menimbulkan keadaan tidak fleksibel di tempat kerja, yang mungkin akan menjejas pemulihan ekonomi kita pada ketika ini," kata Cik Gan.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada beberapa Anggota Parlimen iaitu Yip Hon Weng (PAP-Yio Chu Kang) dan Louis Ng (PAP-Nee Soon) berhubung dasar-dasar tenaga manusia bagi aturan bekerja dari rumah.
Dalam menjawab soalan oleh Encik Yip tentang sama ada MOM memantau jumlah pekerja di bawah aturan bekerja dari luar pejabat dan jumlah waktu yang diluangkan bekerja dari luar pejabat, Cik Gan berkata bahawa pada 2020, tiga daripada empat kakitangan bekerja di syarikat yang menawarkan aturan bekerja dari luar pejabat.
"Jumlah masa yang diluangkan bekerja dari luar pejabat berbeza bergantung kepada jenis perniagaan dan keperluan kakitangan dan MOM tidak memantau data ini," katanya.
Encik Ng turut bertanya sama ada di luar piawai atau garis panduan perikatan tiga pihak, MOM berhasrat untuk mengekalkan undang-undang sedia ada COVID-19 bagi aturan bekerja dari rumah dan menjadikan hak untuk bekerja dari rumah sebagai "norma baru".
Buat masa ini, langkah pengurusan selamat menetapkan sehingga 50 peratus kakitangan dibenarkan untuk kembali ke pejabat.
Cik Gan berkata pihak berkuasa menjangkakan aturan bekerja dari rumah akan menjadi pilihan lebih biasa dan diterima.
Sebahagian besar majikan menyatakan mereka akan membenarkan pekerja mereka untuk terus bekerja dari rumah selama sekurang-kurangnya suku daripada keseluruhan tempoh bekerja, katanya.
Namun pendekatan kepada fleksibiliti di tempat kerja haruslah inklusif dan tidak hanya mengenai aturan bekerja dari rumah, katanya.
Misalnya, keperluan para pekerja barisan hadapan berbeza secara ketara berbanding dengan para pekerja pejabat. Lantas, aturan bekerja dari rumah tidak praktikal untuk sebahagian besar daripada mereka. Justeru, satu pendekatan "holistik" untuk mencapai "fleksibiliti dalam beban kerja, masa bekerja atau tempat bekerja" adalah lebih bermanfaat, katanya.
Terdapat usaha yang dijalankan oleh rakan-rakan perikatan tiga pihak untuk mendampingi para majikan dan kesatuan bagi menggalak piawaian tentang aturan bekerja yang fleksibel, kata beliau.
"Kami akan meneruskan usaha akar umbi ini dengan mewujudkan sekumpulan masyarakat Duta Keseimbangan Kerja dan Hidup untuk memperjuangkan dan menyokong usaha-usaha ini di tempat kerja," kata Cik Gan.
KOMUNIKASI SELEPAS WAKTU PEJABAT
Encik Yip juga bertanya sama ada MOM akan mempertimbangkan untuk memperkenalkan undang-undang baru bagi mempertingkatkan kesejahteraan para kakitangan yang bekerja dari rumah, termasuk melarang para majikan daripada menghubungi para pekerja tentang hal-hal kerja yang tidak penting di luar waktu bekerja.
Bagi menjawab soalan ini, Cik Gan berkata bahawa MOM "maklum terhadap risiko yang timbul daripada batas yang semakin kabur antara pekerjaan dengan kehidupan".
Salah satu saranan utama daripada Penasihat Perikatan Tiga Pihak bagi Kesejahteraan Mental yang diperkenalkan pada 2020, adalah supaya para majikan menetapkan jangkaan yang munasabah berhubung komunikasi tentang pekerjaan di luar waktu pejabat.
Ini termasuk tidak memerlukan para pekerja untuk menjawab kiriman mesej dan emel berkaitan pekerjaan yang tidak mustahak selepas waktu-waktu tertentu, katanya.
Syarikat-syarikat juga boleh merujuk kepada rangka dasar komunikasi selepas waktu pejabat, yang dihasilkan oleh sebuah perikatan karyawan HR, untuk membantu melakarkan dan berkongsi amalan 'progresif' komunikasi di luar waktu pejabat, kata Cik Gan.
"Pemerintah akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan perikatan tiga pihak kami untuk meluaskan tawaran aturan fleksibel kerja secara mampan," kata Cik Gan.
Dalam soalan seterusnya, Encik Ng bertanya apa yang menghalang MOM daripada menggubal undang-undang bagi hak bekerja dari rumah, di samping memberikan hak kepada majikan untuk menolak permintaan sedemikian atas sebab-sebab berkaitan pekerjaan, memandangkan COVID-19 menunjukkan bahawa aturan sedemikian boleh dilaksanakan.
Cik Gan berkata bahawa jumlah pekerja yang mempunyai akses kepada aturan bekerja secara fleksibel meningkat dengan stabil sepanjang beberapa tahun lalu. Dari 2014 hingga 2019, jumlah pekerja yang ditawarkan sekurang-kurangnya satu bentuk aturan bekerja secara fleksibel naik dari 47 peratus kepada 53 peratus.
"Sedang kita melihat negara-negara lain yang sudah... memperkenalkan undang-undang bagi membolehkan para pekerja untuk memohon kebenaran bekerja dari rumah...keputusan sebenarnya bercampur-campur tentang sama ada undang-undang itu memberi peningkatan ketara kepada keseimbangan antara pekerjaan dengan kehidupan dan juga kepada fleksibiliti yang dimiliki oleh para pekerja," katanya.
"Saya fikir apa yang harus kita tumpukan adalah untuk melengkapkan para majikan dan pekerja dengan sumber dan panduan untuk membantu mereka melaksanakan aturan bekerja dari rumah dan secara fleksibel bentuk yang praktikal dan berkekalan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.