Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOM tidak 'sewenangnya' ubah jumlah EP, Pas S semasa pasang surut pasaran kerja

Anggaran Waktu Membaca:
MOM tidak 'sewenangnya' ubah jumlah EP, Pas S semasa pasang surut pasaran kerja

(Gambar: CNA/Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 22 Feb 2023 11:18PM Dikemas Kini : 23 Feb 2023 06:39AM
SINGAPURA: Kementerian Tenaga Manusia (MOM) tidak campur tangan dalam pasaran pekerjaan dengan "melakukan penyesuaian secara langsung dan dengan sewenang-wenangnya" terhadap jumlah Pas Pekerjaan (EPs) atau Pas S yang dikeluarkan apabila terdapat pasang surut dalam perniagaan.

Demikian menurut Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng pada Rabu (22 Feb).

Dalam respons bertulisnya kepada soalan parlimen yang diajukan Anggota Parlimen (AP) Gerald Giam (WP-Aljunied), Dr Tan mengatakan bahawa kementerian itu tidak seharusnya mengawal pasaran buruh secara terperinci.

"Mengambil langkah perlindungan sedemikian akan menyebabkan ketidaktentuan perniagaan yang ketara dan menjejaskan reputasi Singapura sebagai sebuah lokasi yang telus, berdaya saing dan dipercayai bagi tujuan perniagaan," ulas menteri itu.

Encik Giam bertanya sama ada pasaran pekerjaan dalam sektor penerangan dan perhubungan sedang menguncup serta jika MOM telah mengurangkan jumlah EP dan Pas S yang dikeluarkan kepada warga asing yang sedang mencari pekerjaan di dalam sektor berkenaan.

Pertanyaannya itu dikemukan sedang syarikat-syarikat teknologi sejagat termasuk Meta dan Alphabet mengumumkan pemberhentian pekerja, dengan sebilangan pekerja di Singapura terjejas menyusuli langkah yang dilaksanakan itu.
Menyesuaikan jumlah pas pekerjaan yang dikeluarkan kepada warga asing "bertentangan dengan bagaimana kami telah berkembang maju sepanjang berdekad-dekad lalu dengan menjadi sebuah ekonomi yang terbuka dan berperanan sebagai hab perniagaan," kata Dr Tan dalam satu jawapan bertulis.

"Sebaliknya, kami mempunyai rangkaian langkah yang menyeluruh bagi membolehkan kami untuk menarik lebih banyak pelaburan dan mengembangkan ekonomi bagi mencipta lebih banyak pekerjaan serta pilihan kerjaya yang baik buat warga Singapura."

MENGALAK SYARIKAT UNTUK AMBIL WARGA TEMPATAN BEKERJA

Dr Tan menambah bahawa firma-firma diberi insentif untuk mengambil warga tempatan bekerja dan mengekalkan bakat-bakat itu menerusi pelbagai dasar.

Misalnya, Rangka Kerja Penilaian Pelengkap (COMPASS), sebuah sistem mata baru bagi para pemohon EP yang mula berkuat kuasa 1 September lalu, memberikan kurang mata kepada syarikat-syarikat yang mempunyai jumlah karyawan, pengurus, eksekutif dan juruteknik (PMET) tempatan yang rendah berbanding rakan-rakan industri mereka.

Dengan mata yang lebih sedikit, ia akan menjadi lebih sukar bagi syarikat sedemikian untuk memenuhi syarat-syarat bagi permohonan EP mereka.

EP adalah bagi karyawan, pengurus dan eksekutif asing yang menerima gaji sekurang-kurangnya S$5,000 sebulan.

BERSIKAP OPTIMISTIK MENGENAI SEKTOR PERHUBUNGAN & PENERANGAN DENGAN BERHATI-HATI

Rintangan global mungkin meninggalkan kesan kepada permintaan buruh dalam jangka terdekat, jelas Dr Tan, sambil menambah bahawa Singapura boleh menjangkakan kemerosotan pada permintaan pengambilan perkerja dan kenaikan yang lebih perlahan pada jumlah pengambilan pekerja secara keseluruhan dalam suku keempat 2022.

"Kami tetap bersikap optimistik namun dengan berhati-hati mengenai prospek jangka panjang sektor (perhubungan dan penerangan) itu sedang firma-firma teknologi terus merebut peluang dalam ekonomi digital Asia Tenggara yang kian berkembang maju dari Singapura," tekan Dr Tan.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan