Skip to main content

Singapura

MOM siasat kematian pekerja berusia 24 tahun di limbungan kapal Tuas

Anggaran Waktu Membaca:
MOM siasat kematian pekerja berusia 24 tahun di limbungan kapal Tuas

Kapal-kapal yang berlabuh di Tuas Boulevard Yard milik Seatrium. (Gambar fail: Seatrium)

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 24 tahun meninggal dunia di sebuah limbungan kapal di Tuas pada Isnin (6 Apr) selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam paip keluli tahan karat, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Khamis (9 Apr).

Menjawab pertanyaan Mediacorp, MOM menyatakan bahawa pihaknya sedang menyiasat insiden itu dan mengesahkan kematian tersebut berlaku di tapak kerja yang diduduki oleh Seatrium, di Tuas South Boulevard.

Lelaki itu adalah seorang tukang kimpalan dan "ditemui terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam paip keluli tahan karat berukuran 28 inci (71cm) di atas modul proses yang baru difabrikasi bagi sebuah kapal", menurut MOM.

Lelaki itu kemudian dibawa keluar dari paip tersebut dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik.

Lelaki tersebut bekerja untuk Hwa Leong Offshore Engineering, menurut MOM.

Semua ruang terbatas mesti dikenal pasti dengan jelas dan dilabelkan sebagai langkah keselamatan am, menurut jurucakap MOM.

"Sebelum sebarang kerja dimulakan, langkah-langkah kawalan risiko yang relevan, termasuk ujian atmosfera, pengudaraan yang mencukupi dan permit kerja yang diluluskan mesti dipatuhi bagi menangani dan mengurangkan bahaya yang dikaitkan dengan ruang terbatas."

Singapura mencatatkan 36 kematian di tempat kerja pada 2025, dengan kematian di tempat kerja merosot ke paras rekod terendah iaitu 0.96 bagi setiap 100,000 pekerja.

Tiga punca utama kematian di tempat kerja tahun lalu ialah insiden melibatkan kenderaan, jatuh dari tempat tinggi, dan runtuhan atau kegagalan struktur dan peralatan.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita