Skip to main content

Singapura

MOM siasat dakwaan tuntutan palsu pampasan kecederaan di tempat kerja terhadap Sumo Salad

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyatakan pada Isnin (21 Jul) ia sedang menyiasat dakwaan tuntutan palsu pampasan kecederaan di tempat kerja terhadap EatGreen, iaitu pengendali kedai makan Sumo Salad.

Anggaran Waktu Membaca:
MOM siasat dakwaan tuntutan palsu pampasan kecederaan di tempat kerja terhadap Sumo Salad

Sumo Well di Holland Village pada 21 Julai 2025. (Gambar: CNA/Davina Tham)

Diterbitkan : 21 Jul 2025 10:55PM Dikemas Kini : 21 Jul 2025 10:56PM
SINGAPURA: Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyatakan pada Isnin (21 Jul) ia sedang menyiasat dakwaan tuntutan palsu pampasan kecederaan di tempat kerja terhadap EatGreen, iaitu pengendali kedai makan Sumo Salad.

Pasukan Polis Singapura (SPF) juga menyatakan siasatan sedang dijalankan berhubung kematian luar biasa Cik Jane Lee, iaitu pemilik Sumo Salad.

Cik Lee yang berada dalam lingkungan usia 40-an tahun, meninggal dunia pada Sabtu (19 Jul) selepas menulis dua catatan di Facebook mengenai seorang pekerja yang dipercayai memalsukan kecederaan di tempat kerja untuk memohon pampasan dari syarikat.

"Hanya dua hari sebelum kontraknya berakhir, dia mendakwa bahawa dia tergelincir dan terjatuh ketika menaiki tangga bergerak untuk membuang sampah," kata Cik Lee dalam salah satu catatan tersebut pada Jumaat (18 Jul).

"Pada hari itu, dia sepatutnya pulang awal, tetapi dia sengaja berada di tempat kerja untuk tempoh lebih lama.

"Ia jelas kepada saya bahawa kejadian itu sudah dirancang, berkemungkinan satu percubaan untuk membuat tuntutan palsu pampasan kecederaan di tempat kerja."

Cik Lee, yang merupakan ibu kepada dua orang anak, menambah beliau percaya "ia adalah skim yang dirancang dengan teliti" oleh kakitangan itu dengan suami pekerja tersebut.

"Saya berasa sangat malang kerana terjerat dalam situasi ini. Saya sangat sedih - untuk diri saya, suami saya dan para kakitangan kami yang cukup komited - kerana disebabkan jurang dalam perlindungan insurans kami, kami kini menjadi sasaran apa yang saya percaya adalah skim penipuan," katanya dalam catatan tersebut.

MOM menyatakan ia sudah pun berurusan dengan Cik Lee dan siasatannya terhadap tuntutan pampasan itu sedang dijalankan.

Pekerja berkenaan dilindungi di bawah Akta Pampasan Kecederaan di Tempat Kerja (WIC) dan MOM sedang bekerjasama dengan syarikat insurans pekerja itu bagi "menilai kesahihan kes tersebut", tambahnya.

"MOM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang didapati menyalahgunakan sistem WIC.

"Para majikan boleh menghubungi MOM untuk mendapatkan bantuan jika mereka mempunyai sebarang keprihatinan terhadap tuntutan palsu oleh pekerja mereka," menurut MOM.

MOM juga mengutuskan takziah kepada keluarga mendiang Cik Lee.

Sumo Salad, sebuah rangkaian salad yang kini dikenali sebagai Sumo Well, mempunyai beberapa cawangan di Holland Village dan Marina One.

Apabila Mediacorp mengunjungi cawangannya di Holland Village pada lewat petang Isnin, kakitangan kedai itu berkata ia masih beroperasi seperti biasa pada hari itu.

TALIAN BANTUAN:
  • Talian bantuan kesihatan mental kebangsaan: 1771
  • Talian hotline Samaritans of Singapore: 1767
  • Talian bantuan Persatuan Kesihatan Mental Singapura: 1800 283 7019
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita