Skip to main content

Singapura

MOM siasat dakwaan gaji pembantu kerusi roda dipotong S$5 gara-gara lewat 11 saat

Anggaran Waktu Membaca:
MOM siasat dakwaan gaji pembantu kerusi roda dipotong S$5 gara-gara lewat 11 saat

Pelancong di dalam terminal Lapangan Terbang Changi pada 11 Sep 2020. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 21 Aug 2026 07:40PM
  • Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sedang menyiasat dakwaan pemotongan gaji S$5 terhadap pembantu kerusi roda di Lapangan Terbang Changi kerana lewat 11 saat ke tempat kerja.
  • Majikan pekerja, Aventa Services, telah dihubungi untuk memberi penjelasan, manakala SATS turut menjalankan siasatan dalaman.
  • Kes ini mendapat perhatian selepas Cik Juliet Low dari Maid Without Borders berkongsi pengalaman dan bukti penyata gaji pekerja tersebut di LinkedIn pada awal Ogos.
  • MOM menegaskan pemotongan gaji mesti mematuhi Akta Pekerjaan dan tindakan akan diambil jika didapati berlaku pelanggaran, termasuk membantu pekerja membuat tuntutan jika perlu.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sedang menyiasat dakwaan bahawa gaji seorang pembantu kerusi roda di Lapangan Terbang Changi dipotong S$5 kerana lewat 11 saat ke tempat kerja.

“Kami sedia maklum mengenai kes ini dan telah menghubungi Aventa Services, majikan pekerja yang terjejas, untuk menentukan sebab dan jumlah potongan tersebut,” menurut kementerian itu pada Jumaat (21 Ogos) semasa menjawab pertanyaan Mediacorp.

“Jika didapati pemotongan itu tidak dibenarkan atau berlebihan, MOM akan mengambil tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya.”

Minggu lalu, syarikat pengendali SATS menyatakan ia sedang menyiasat dakwaan bahawa "rakan khidmatnya" memotong gaji pembantu kerusi roda itu kerana lewat 11 saat.

SATS menyatakan ia sudah mendapatkan penjelasan daripada Aventa Services, yang memberi respons secara langsung kepada pertanyaan daripada MOM.

Perkara itu mendapat perhatian selepas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat Maid Without Borders, Cik Juliet Low, berkongsi menerusi catatan LinkedIn mengenai perbualannya dengan pekerja khidmat kerusi roda warga emas yang membantu suaminya pada 7 Ogos.

Cik Low memberitahu Mediacorp bahawa beliau meminta untuk melihat penyata gaji (payslip) pekerja tersebut, yang kemudian ditunjukkan kepadanya menerusi telefon bimbit.

“Penyata gajinya benar-benar tertulis ‘lewat 11 saat’,” katanya sambil menjelaskan bahawa penyata gaji itu menyatakan sesuatu yang merujuk kepada “pemotongan dan denda”.

Mediacorp sudah menghubungi Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Menurut peraturan tenaga kerja, majikan boleh membuat pemotongan gaji bagi tempoh seseorang pekerja tidak hadir bekerja. Pemotongan gaji yang dibenarkan disenaraikan di bawah Akta Pekerjaan.

Jumlah pemotongan tidak boleh melebihi gaji pekerja bagi tempoh ketidakhadiran tersebut. Sebagai contoh, jika seseorang pekerja lewat 30 minit, hanya gaji bagi tempoh 30 minit itu boleh dipotong.

Dalam kes ini, jika 11 saat bersamaan dengan S$5, ini bermakna pekerja tersebut memperoleh sekitar S$1,636 sejam atau S$13,091 bagi lapan jam bekerja sehari.

“Semua majikan mempunyai tanggungjawab untuk menjaga kebajikan pekerja mereka. Majikan hanya boleh membuat pemotongan gaji atas sebab-sebab yang dibenarkan di bawah Akta Pekerjaan,” menurut MOM pada Jumaat.

Kementerian itu menambah bahawa majikan tidak boleh membuat pemotongan gaji yang lebih besar daripada tempoh ketidakhadiran dengan menyifatkannya sebagai denda.

Jika majikan membuat pemotongan gaji yang tidak dibenarkan atau berlebihan, ia boleh dianggap sebagai kegagalan membayar gaji mengikut Akta Pekerjaan, yang merupakan satu kesalahan.

“Jika didapati berlaku kesalahan, MOM akan mengambil tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya dengan mengambil kira langkah pembetulan yang dilakukan majikan, tahap keseriusan kesalahan dan sebagainya. Ini boleh termasuk mengeluarkan amaran keras dan, bagi kes serius, mendakwa majikan atas kesalahan tersebut,” menurut kementerian itu.

MOM menambah bahawa pekerja yang mengalami pemotongan gaji yang tidak dibenarkan atau berlebihan boleh memfailkan tuntutan dengan Perikatan Tiga Pihak bagi Penyelesaian Pertikaian (TADM), yang akan membantu mereka mendapatkan semula gaji sekiranya pelanggaran berlaku.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita