Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOM siasat 15 pemegang pas kerja dikaitkan dengan universiti swasta di India yang jual ijazah palsu

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sedang menjalankan siasatan terhadap 15 pemegang pas kerja yang mengisytiharkan mempunyai kelulusan dari sebuah universiti swasta di India.

Anggaran Waktu Membaca:
MOM siasat 15 pemegang pas kerja dikaitkan dengan universiti swasta di India yang jual ijazah palsu

Petikan dari Youtube/Manav Bharti University.

Diterbitkan : 17 Feb 2021 11:47PM Dikemas Kini : 18 Feb 2021 12:11AM

SINGAPURA: Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sedang menjalankan siasatan terhadap 15 pemegang pas kerja yang mengisytiharkan mempunyai kelulusan dari sebuah universiti swasta di India.

15 individu itu kini bekerja di Singapura dan mengisytiharkan mempunyai ijazah dari Universiti Manav Bharti dalam permohonan pas kerja mereka, menurut MOM.

Baru-baru ini, universiti swasta itu didedahkan telah menjual ijazah palsu.

"Jika didapati pekerja itu membuat perisytiharan palsu berhubung kelayakan akademik mereka, pas kerja mereka akan dibatalkan serta-merta dan mereka dilarang bekerja di Singapura buat selama-lamanya," menurut seorang jurucakap MOM dalam satu kenyataan pada Rabu (17 Feb).

Menurut laporan, Universiti Manav Bharti di wilayah Himachal Pradesh, itu didedahkan oleh pihak berkuasa tempatan, awal bulan ini kerana menjual sekitar 36,000 ijazah palsu di merata India sejak 11 tahun lalu.

Daripada 41,000 ijazah yang dikeluarkan universiti tersebut sejauh ini, hanya 5,000 didapati tulen, menurut satu laporan oleh akhbar Times of India.

Universiti itu dikendalikan sebuah badan amanah kebajikan, dengan pengerusi dan keluarganya berada di Australia.

Menurut MOM, para majikan mempunyai tanggungjawab utama dalam memastikan "ketulenan dan mutu" kelayakan akademik warga asing yang mereka gajikan.

Sebelum membuat permohonan pas kerja, para majikan harus sudah menilai calon itu, termasuk kelayakannya bagi memastikan pemohon mempunyai kemahiran dan kelayakan yang sesuai dengan jawatan yang dimohon.

"Sebahagian besar majikan memandang serius peranan itu kerana ia adalah bagi kepentingan mereka sendiri untuk melaksanakan proses pemilihan dan pengambilan pekerja yang teliti bagi memastikan calon-calon yang berkelayakan," menurut MOM.

Sebagai langkah perlindungan tambahan bagi memastikan keutuhan rangka kerja pas kerja, MOM melakukan pemeriksaan dan pengesahannya sendiri setelah para majikan menghantar dokumen akademik para pemohon.

"Kami meneliti rapi institusi-institusi pengajian tinggi, syarikat dan individu yang berisiko tinggi, melakukan pemeriksaan tambahan dan memerlukan bukti pengesahan kelayakan seperti yang dinyatakan dalam permohonan tertentu," tambahnya.

MOM juga mengesahkan ketulenan permohonan yang dihantar menerusi institusi-institusi yang mengeluarkan sijil akademik atau agensi-agensi pemeriksaan pihak ketiga.

"Selain itu, MOM menerima dan mengambil tindakan berdasarkan aduan daripada para majikan yang mendapat tahu bahawa mereka sudah diperdaya selepas pemegang pas kerja itu tiba di sini," menurut MOM lagi.

MOM akan membatalkan pas kerja kakitangan asing yang didapati memberi dokumen palsu dalam permohonan pas kerja mereka. Mereka juga akan dilarang bekerja di Singapura buat selama-lamanya.

Individu sedemikian juga boleh didakwa di bawah Akta Pengambilan Kerja Tenaga Kerja Asing (EFMA).

Jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman denda sehingga S$20,000, hukuman penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

MOM menyatakan secara purata, 660 warga asing setiap tahun dilarang bekerja di Singapura buat selama-lamanya, sepanjang lima tahun lalu, kerana memberi sijil kelayakan akademik yang palsu dalam permohonan pas kerja mereka.

Sepanjang tempoh yang sama, purata lapan warga asing setiap tahun didakwa dan dijatuhi hukuman oleh mahkamah kerana membuat perisytiharan palsu berhubung kelayakan pendidikan mereka. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan