Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOM sangkal laporan media M'sia pemegang pas kerja merempat di jalanan

Pihak berkuasa tidak menemui mana-mana pemegang pas kerja yang merempat di jalanan apabila para pegawai menjalankan pemeriksaan rutin di pelusuk negara, kata Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Anggaran Waktu Membaca:
MOM sangkal laporan media M'sia pemegang pas kerja merempat di jalanan

Bangunan Kementerian Tenaga Manusia.

Diterbitkan : 04 Dec 2020 12:06AM Dikemas Kini : 04 Dec 2020 12:08AM

SINGAPURA: Pihak berkuasa tidak menemui mana-mana pemegang pas kerja yang merempat di jalanan apabila para pegawai menjalankan pemeriksaan rutin di pelusuk negara, kata Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Khamis (3 Dis).

Kenyataan itu dibuat berikutan laporan yang disiarkan akhbar Malaysia, New Straits Times (NST) bertajuk 'Homeless Malaysians in Singapore’ (Warga Malaysia Gelandangan di Singapura).

Laporan itu, diterbitkan pada 22 Nov, dan menampilkan temu bual dengan seorang rakyat Malaysia bernama Shahruddin Hael Helmy Mohd Noh. Beliau mendakwa ada lebih 100 pemegang pas kerja Malaysia di Singapura yang merempat kerana tidak mampu untuk menyewa bilik mahupun katil.

"Menyusuli laporan itu, MOM bertemu Encik Shahruddin pada 23 Nov dan 27 Nov untuk mendapatkan maklumat berkaitan dakwaannya supaya pihak kami dapat memberikan bantuan yang diperlu kepada pekerja terbabit," menurut MOM.

"Bagaimanapun, beliau tidak dapat memberikan nama dan maklumat hubungan pekerja yang beliau dakwa sedang merempat, " tambah MOM.

"Beliau mengaku tidak pernah bercakap secara langsung dengan mana-mana pekerja itu dan tidak dapat mengesahkan yang mereka benar-benar tidak mempunyai tempat tinggal.

"Beliau tidak kenal mana-mana pekerja Malaysia yang tidak mempunyai tempat tinggal dan juga berkata bahawa beliau tidak memberitahu wartawan dari NST yang 'lebih 100 rakyat Malaysia di sini menjadi gelandangan."

Pada 26 Nov, satu pasukan bertindak antara agensi terdiri daripada pegawai dari MOM, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) serta polis menjalankan pemeriksaan di pelbagai lokasi merata negara, termasuk tempat-tempat yang disenaraikan oleh Encik Shahruddin.

"Bagaimanapun, kami tidak menemui mana-mana pemegang pas kerja yang tidur di tepi jalan," menurut MOM.

Gerakan itu adalah sebahagian daripada pemeriksaan rutin oleh pasukan bertindak, menurut MOM, sambil menambah bahawa mereka yang ditemui tidur di jalanan akan dirujuk kepada agensi relevan untuk diberikan bantuan.

"Mereka yang ditemui tidur di tempat terbuka, termasuk pemegang pas kerja akan diberi bantuan," kata MOH.

"Majikan mereka akan diminta menyediakan tempat penginapan dengan segera atau Pusat Pekerja Asing (MWC) akan menyediakan tempat berteduh sementara jika majikan tidak dapat berbuat demikian."

MOM juga sudah berhubung dengan badan-badan bukan pemerintah (NGO) untuk merujuk mana-mana kes pemegang pas kerja yang merempat kepada pihak kementerian.

"Dalam beberapa bulan lepas, MOM tidak menerima sebarang rujukan daripada NGO,"katanya.

MOM juga mengingatkanmajikan tanggungjawab mereka terhadap pekerja asing mereka dan perlu memastikan yang mereka mempunyai penginapan yang sesuai ketika tinggal di Singapura.

Ia juga menggalak orang ramai yang tahu tentang mana-mana pemegang pas kerja yang menghadapi masalah penginapan agar merujuk mereka kepada MOM atau MWC bagi bantuan selanjutnya.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan