MOM pertimbang ambil tindakan terhadap syarikat binaan susuli kematian pengarah di tapak binaan
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mempertimbangkan untuk mengambil tindakan terhadap syarikat binaan JMS Construction selepas kematian pengarah syarikat itu di tapak binaan di sebuah rumah sebandung di Dunearn Road pada Februari lalu.
(Gambar: TODAY)
SINGAPURA: Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mempertimbangkan untuk mengambil tindakan terhadap syarikat binaan JMS Construction selepas kematian pengarah syarikat itu di tapak binaan di sebuah rumah sebandung di Dunearn Road pada Februari lalu.
Seorang pegawai penyiasat MOM tidak mendedahkan perincian tentang tindakan yang sedang dipertimbangkan MOM terhadap JMS Construction, semasa siasatan koroner pada Isnin (4 Okt) berhubung kematian Koh Kok Heng.
Koh, salah seorang daripada dua pengarah syarikat itu, jatuh 4.7 meter menerusi lubang di lantai semasa melawat tapak binaan tersebut.
Pegawai penyiasat kanan MOM Ng Chee Hwee memberi keterangan di mahkamah bahawa JMS Construction mengenalpasti kejatuhan daripada tingkat tinggi sebagai satu potensi bahaya, namun Koh dan pekerjanya tidak memakai abah-abah keselamatan.
Syarikat binaan itu juga tidak mempunyai permit untuk melakukan kerja pada hari kejadian, kata Encik Ng.
Koh, seorang penduduk tetap Singapura yang berasal dari Malaysia, disahkan meninggal dunia pada 12.45 tengah hari, 10 Februari di Hospital Tan Tock Seng di Novena, sekitar sejam setelah kejadian itu berlaku.
Syarikat itu sedang melakukan kerja-kerja ubah suai di rumah itu di 38 University Walk.
Ini termasuk menambah sebuah loteng baru di unit perumahan itu.
Mahkamah diberitahu bahawa satu bedah siasat mengesahkan bahawa punca kematian Koh adalah kecederaan di kepala iaitu konsisten dengan kecederaan yang dialami daripada kejatuhan dari tingkat tinggi.
Isteri dan anak lelaki Koh berada di bilik mahkamah pada Isnin.
Koroner Negara Adam Nakhoda menangguhkan sesi pembentangan dapatan itu kepada bulan depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.