MOM perkenal langkah kekalkan pemegang permit kerja bagi sektor binaan, limbungan kapal, proses
Para pemegang permit kerja dalam sektor-sektor tertentu yang permit mereka akan luput tahun ini, dibenarkan untuk memperbaharui permit mereka sehingga tempoh dua tahun meskipun mereka tidak memenuhi syarat pembaharuan.
SINGAPURA: Para pemegang permit kerja dalam sektor-sektor tertentu yang permit mereka akan luput tahun ini, dibenarkan untuk memperbaharui permit mereka sehingga tempoh dua tahun meskipun mereka tidak memenuhi syarat pembaharuan.
Demikian menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) hari ini (13 Ogos).
Ini termasuk para pemegang permit kerja yang mencecah tempoh kerja maksimum, atau hampir mencecah usia maksimum kerja. Syarikat-syarikat juga tidak perlu mengekalkan sekurang-kurangnya 10 peratus pemegang permit kerja sebagai pekerja berkemahiran tinggi.
Ini antara langkah-langkah yang diperkenalkan oleh Pemerintah untuk membantu syarikat-syarikat mengekalkan para pekerja dalam sektor binaan, limbungan kapal marin dan proses (CMP), yang berdepan kekangan tenaga kerja disebabkan oleh sekatan sempadan COVID-19.
Pada tahun lalu, jumlah pemegang permit kerja dalam sektor-sektor berkenaan merosot sekitar 60,000, menurut Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng. Ini adalah sekitar 16 peratus daripada bilangan pemegang permit kerja.
"Dengan langkah-langkah itu dilaksanakan, kami berharap dapat menyokong syarikat-syarikat dalam sektor CMP untuk mengurangkan keprihatinan tenaga kerja yang segera disebabkan oleh sekatan sempadan yang lebih ketat," kata Dr Tan.
"Sekalipun demikian, dalam jangka panjang, saya menyeru kepada semua syarikat dan benar-benar berharap mereka dapat terus mengubah perniagaan mereka untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja, untuk memanfaatkan teknologi dan mereka semula pekerjaan bagi menarik lebih banyak pekerja tempatan."
Beliau menambah bahawa langkah-langkah itu adalah bagi jangka pendek dan bermaksud untuk memenuhi jurang dalam industri-industri tertentu untuk buat sementara waktu.
LANGKAH-LANGKAH LAIN
Mulai Julai, kesahihan kelulusan secara prinsip bagi semua pemegang pas kerja, termasuk para pemegang Pas Pekerjaan, Pas S dan Permit Kerja, yang tidak boleh memasuki Singapura kerana langkah kawalan sempadan akan dilanjutkan sehingga setahun.
Ini sedang perniagaan terjejas oleh gelombang berlarutan jangkitan COVID-19 di seluruh dunia dan sekatan sempadan yang berubah-ubah. Ini bermakna sebahagian pekerja yang pas kerja mereka sudah diberi kelulusan tidak boleh memasuki Singapura.
Pemerintah juga akan menjalin kerjasama dengan Persatuan Kontraktor Singapura (SCAL) untuk memperkenalkan skim pengekalan selama enam bulan mulai 1 September 2021 hingga 28 Februari 2022, bagi para pemegang permit kerja berpengalaman dalam sektor binaan yang pekerjaan mereka sebelum ini dibatalkan.
Para pekerja hijrahan yang permit pekerjaan mereka dibatalkan atau sudah tamat tempoh dan ingin terus bekerja di Singapura, layak bagi skim itu.
Para pekerja yang ingin terus bekerja di Singapura akan diberikan tempoh penginapan selama 30 hari, di mana SCAL akan menyediakan tempat tinggal, makanan dan keperluan lain sementara mereka mencari pekerjaan.
Para pekerja akan mula bekerja jika mereka mendapat padanan pekerjaan. Jika tidak, mereka akan pulang ke negara asal. SCAL akan mengatur perjalanan pulang pekerja itu dan akan menanggung kos penghantaran pulang, menurutnya.
Presiden SCAL Ng Yek Meng berkata beliau yakin bahawa persatuan itu boleh memadankan para pekerja dengan syarikat-syarikat di sini kerana pasaran ini "benar-benar kekurangan pekerja".
Memberi kemas kini tentang skim sebelum ini untuk membawa masuk para pekerja dari India menerusi cara yang tertukur, beliau berkata lebih 540 pekerja masuk melalui program itu setelah menjalani tempoh pengasingan di sebuah hotel di India dan diuji bagi koronavirus.
"Kami membawa lebih ramai pekerja secara berperingkat, bukan hanya (dari) India (tetapi) juga negara-negara lain di rantau ini," kata Encik Ng.
MOM akan menilai keberkesanan skim itu bersama dengan pertubuhan-pertubuhan industri dan pihak berkepentingan yang lain, sebelum menentukan jika ia akan diperkenalkan ke sektor-sektor lain.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.