Skip to main content

Singapura

MOM: 'Kelemahan semua pihak' terlibat dalam insiden dormitori Jalan Tukang

Terdapat "kelemahan dari semua pihak" berhubung insiden di dormitori pekerja hijrahan Westlite Jalan Tukang pada 13 Oktober, kata Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Koh Poh Koon di Parlimen pada Isnin (1 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
MOM: 'Kelemahan semua pihak' terlibat dalam insiden dormitori Jalan Tukang

Beberapa kakitangan dilihat berdiri di luar dormitori Westlite Jalan Tukang pada 13 Okt 2021. (Gambar: Calvin Oh)

Diterbitkan : 01 Nov 2021 07:58PM Dikemas Kini : 01 Nov 2021 08:09PM

SINGAPURA: Terdapat "kelemahan dari semua pihak" berhubung insiden di dormitori pekerja hijrahan Westlite Jalan Tukang pada 13 Oktober, kata Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Koh Poh Koon di Parlimen pada Isnin (1 Nov).

Dapatan itu susulan siasatan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mengenai dakwaan berlaku pelanggaran protokol kesihatan COVID-19, kurangnya akses kepada bantuan perubatan dan mutu makanan yang teruk di dormitori tersebut.

Pekerja yang tidak puas hati turut mengongsi gambar yang menunjukkan serangga dan rambut ditemui dalam makanan mereka melalui artikel online di Weixin, iaitu versi domestik WeChat yang digunakan di China.

Sebilangan pekerja yang dinukil dalam artikel itu juga berkata mereka tidur di atas lantai di luar bilik mereka untuk mengelak daripada menjangkiti orang lain yang berkongsi bilik dengan mereka dan terpaksa menunggu lama sebelum menerima rawatan perubatan.

Pada petang 13 Okt, ramai anggota keselamatan dikerahkan ke dormitori tersebut, dengan kenderaan Markas Operasi Khas (SOC) dan beberapa kenderaan berperisai yang diletakkan di sepanjang jalan di luar dormitori tersebut.

Berpuluh-puluh pegawai polis dilihat memakai alat pelindung, bersama dengan pegawai lain yang memakai beret merah.

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Desmond Tan, yang juga bercakap di Parlimen pada Isnin, berkata polis dikerahkan ke dormitori berkenaan setelah menerima maklumat mengenai sekumpulan pekerja "berkelakuan agresif yang berpotensi mencetuskan keganasan".

Dr Koh menerangkan rentetan peristiwa yang mencetuskan siasatan MOM ke atas dakwaan pelanggaran peraturan kesihatan COVID-19 di dormitori pada hari tersebut.

"Secara ringkas, terdapat kelemahan di semua pihak. Dari pihak majikan, pekerja tidak berpuas hati dan membangkitkan isu mengenai mutu dan kebersihan makanan," kata Dr Koh sebagai menjawab pertanyaan lapan Anggota Parlimen yang mengemukakan soalan mengenai isu tersebut.

"Bagi pihak pengendali dormitori, mereka tidak dapat menangani bilangan kes yang besar. Bagi Kumpulan Jaminan, Jagaan dan Pendampingan (ACE), kami tampil ke hadapan tetapi tidak memperuntukkan sumber yang mencukupi pada masanya untuk menghuraikan masalah."

Terdapat sekitar 3,000 penghuni di dormitori tersebut - sekitar separuh daripada mereka bekerja untuk Sembcorp Marine dan hampir kesemuanya pekerja dari China yang tiba tiga atau empat bulan lalu, tambah Dr Koh.

Mereka divaksinasi di negara asal sebelum datang ke Singapura, dan status vaksinasi mereka perlu disahkan sebelum didaftarkan sebagai sudah divaksin di Singapura, jelas beliau lagi.

"MOM bekerja dengan pihak majikan untuk mempercepatkan proses pengesahan, dan ada kemajuan," kata beliau sambil menambah bahawa sekitar 60 peratus pekerja Sembcorp Marine sudahpun disahkan menerima vaksin dari senarai Penggunaan Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Sebilangan" pekerja tidak menerima vaksin dari senarai tersebut, dan digalakkan mendapatkan vaksin di Singapura "demi perlindungan diri", kata Dr Koh.

Setelah MOM melaksanakan Program Pemulihan Dormitori sejak 2 Okt, pengendali dormitori Centurion Corporation "mula menyesuaikan kepada protokol-protokol baru".

Di bawah program baru itu, pekerja yang positif COVID-19 tetapi sudah divaksin dan tidak mengalami gejala atau hanya mengalami gejala ringan boleh dipantau di kemudahan pemulihan diasingkan dalam pekarangan dormitori itu sendiri. 45 dormitori yang lebih besar sudahpun menyediakan blok atau bilik bagi tujuan itu.

Terdapat juga tiga kemudahan pemulihan pusat di dormitori-dormitori yang lebih besar bagi penggunaan pekerja yang tidak mempunyai akses kepada kemudahan di 45 dormitori tersebut.

Ini membawa kepada 11,000 katil pemulihan dan MOM akan menambah kapasiti pemulihan ini jika perlu, kata Dr Koh.

Pada 10 Okt, 174 kes baru COVID-19 dikesan melalui ujian rantaian tindak balas polimerase (PCR) dan ujian pantas antigen (ART) di dormitori.

"Bagaimanapun, pengendali dormitori menghadapi kesukaran memproses tambahan mendadak bilangan pekerja yang perlu dialihkan."

Keesokan hari, beberapa "anggota utama" staf dormitori tidak masuk kerja kerana mereka juga disahkan positif virus tersebut, kata Dr Koh, sambil menambah bahawa pegawai ACE di landasan tampil untuk membantu pihak pengendali.

Berikutan kenaikan jumlah kes yang mendadak, SembCorp Marine dan ACE menjalankan ujian secara besar-besaran pada 12 Okt di tapak pekerjaan dan dormitori, dan mengesan 278 lagi kes.

Pekerja tersebut perlu dipindahkan dari dormitori ke sebuah kemudahan pemulihan berpusat jika mereka sudah divaksin, atau ke sebuah kemudahan pengasingan jika mereka belum divaksin.

"Ini berlaku sedang pasukan masih cuba memproses (kes) kenaikan sebelumnya, dan pengendali dormitori menghadapi kesukaran untuk memproses bilangan yang sangat tinggi," kata Dr Tan.

"Sementara pegawai ACE cuba membantu pengendali antara 11 dan 12 Okt, ia juga tidak memperuntukkan sumber yang mencukupi pada masa itu untuk menilai, memproses dan memindahkan pekerja yang positif COVID-19 sebelum gelombang kedua pada 13 Okt."

Menyusuli insiden 13 Okt, ACE mengambil "tindakan pantas" untuk menstabilkan keadaan, kata beliau.

"Kami menggandakan bilangan pegawai yang menguruskan pemindahan semua pekerja yang terjangkit dari dormitori," kata Menteri Negara Kanan itu.

"Pada petang 13 Okt, sekitar 70 peratus pekerja yang perlu dipindahkan berjaya dihantar ke kemudahan pemulihan atau pengasingan yang sesuai. Pada keesokan harinya 14 Okt, semua yang tertunggak diselesaikan."

Pegawai ACE, pihak majikan dan pengendali dormitori juga mendampingi pekerja dan meyakinkan mereka bahawa maklum balas mereka akan dipertimbangkan dan mereka yang dijangkiti COVID-19 akan dipindahkan dengan cekap, kata Dr Koh.

"Para pekerja kembali tenang dan pulang ke bilik-bilik mereka".

Sebuah pasukan perubatan bergerak dikerahkan ke dormitori itu, dan semua pekerja yang ingin mendapatkan bantuan perubatan dibantu oleh pasukan tersebut pada hari yang sama, tambah Dr Koh lagi.

"Ini membantu mengurangkan masa menunggu dan meredakan rasa takut dan gusar yang dialami pekerja. Situasi di dormitori tenang sejak 13 Okt."

MAJIKAN, PENGENDALI DORMITORI PERLU BANTU PEKERJA BARU SESUAIKAN DIRI

Sepanjang dua minggu lalu, ACE telah pun memperkenalkan lebih banyak video dan infografik untuk "menerangkan dengan lebih baik" strategi COVID-19 Singapura dan proses pemulihan di dormitori, menurut Dr Koh.

Pekerja yang baru tiba di dormitori tersebut "sudah terbiasa dengan strategi pengurusan COVID-19 yang lain" di tanah air mereka, tambah beliau.

"Saya menggesa para majikan dan pengendali dormitori untuk lakukan lebih banyak untuk bantu pekerja kami menyesuaikan diri kepada norma baru, menyampaikan perubahan yang akan menjejas kebajikan pekerja dan secara aktif menangani potensi kekurangan pengetahuan pekerja dan penghuni mereka," kata Dr Koh.

Beliau juga menggalak pekerja yang belum divaksin atau tidak disahkan setelah menerima vaksin di luar negeri untuk melakukannya secepat mungkin.

Berikutan peristiwa tersebut, semua pihak yang terlibat "menangani isu-isu dengan tekun" dan mengembalikan ketenangan di dormitori dan dalam kalangan pekerja, kata Dr Koh.

"Kami juga telah menyemak semula dan melicinkan proses, terutama sekali bagi membangkitkan dan meminta lebih banyak sumber untuk menangani kenaikan kes yang perlu dipindahkan".

"ACE juga melancarkan koordinasi dan komunikasi dengan pengendali dormitori serta majikan ketika menangani gerakan ujian secara besar-besaran. Siasatan ke atas kegagalan untuk memenuhi kewajiban peraturan, seperti keselamatan makanan dan isu kebersihan sedang dijalankan."

"Kami belajar daripada peristiwa ini, terus perkukuhkan kerjasama dengan semua pemegang kepentingan dan rakan masyarakat bagi memelihara kebajikan pekerja-pekerja hijrahan sedang kami beralih ke fasa endemik."

Sumber : CNA/IH/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita