Skip to main content

Singapura

MOM gesa tempoh henti kerja, perketat penguatkuasaan susuli 7 kematian di tempat kerja

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menggesa syarikat-syarikat dalam sektor binaan serta pengangkutan dan penyimpanan supaya mengadakan tempoh henti kerja secara sukarela bagi tujuan keselamatan dari 5 hingga 18 Oktober, menyusuli tujuh kematian di tempat kerja sejak bulan lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
MOM gesa tempoh henti kerja, perketat penguatkuasaan susuli 7 kematian di tempat kerja

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) gesa tempoh henti kerja keselamatan, perketat penguatkuasaan menyusuli tujuh kematian di tempat kerja. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 05 Oct 2026 07:26PM
MOM urges stop-work period, tightens enforcement following 7 workplace deaths
  • MOM has urged construction, transport and storage companies in Singapore to carry out a voluntary safety time-out from Oct 5 to 18 after seven deaths since September.
  • Companies have been asked to review procedures, strengthen risk controls, ensure the safe use of concrete pumps, and prevent vehicles from moving on their own by using handbrakes and wheel chocks.
  • From Oct 5 to Nov 4, MOM is stepping up enforcement with first-time fines of S$3,000, heavier penalties, and stop-work orders of at least eight weeks.
  • Dinesh Vasu Dash said the deaths were worrying, and called on the industry, labour movement, employers, workers and supervisors to strengthen safety practices together.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menggesa syarikat-syarikat dalam sektor binaan serta pengangkutan dan penyimpanan supaya mengadakan tempoh henti kerja secara sukarela bagi tujuan keselamatan dari 5 hingga 18 Oktober, menyusuli tujuh kematian di tempat kerja sejak bulan lalu.

Dalam satu catatan Facebook pada Isnin (5 Okt), MOM menyatakan kematian baru-baru ini dalam kedua-dua sektor tersebut menjadi "peringatan serius bahawa keselamatan dan kesihatan di tempat kerja tidak boleh dipandang ringan".

MOM menggesa syarikat-syarikat supaya menyemak prosedur keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, memperkukuh kawalan risiko serta menangani sebarang kelemahan keselamatan.

Ia menambah bahawa perhatian khusus perlu diberikan kepada penggunaan pam konkrit secara selamat serta langkah untuk mencegah kenderaan daripada bergerak dengan sendirinya, termasuk memastikan brek tangan ditarik sebelum pemandu meninggalkan kenderaan dan menggunakan pengadang roda apabila sesuai.

Seiring tempoh henti kerja keselamatan secara sukarela itu, MOM menyatakan, ia akan melaksanakan langkah penguatkuasaan yang dipertingkatkan dalam kedua-dua sektor dari 5 Oktober hingga 4 November, "bagi memperkukuh pencegahan dan kebertanggungjawaban".

Denda komposisi bagi kesalahan kali pertama akan dinaikkan daripada S$2,000 kepada S$3,000, dengan denda lebih tinggi bagi kesalahan berulang atau lebih serius.

Bagi kesalahan kali pertama melibatkan keselamatan di tempat kerja yang dikesan semasa pemeriksaan, denda komposisi akan dinaikkan kepada S$3,000, berbanding S$2,000 sebelum ini.

Denda lebih tinggi akan dikenakan bagi kesalahan berulang atau lebih serius.

Tempoh minimum perintah henti kerja juga akan dilanjutkan daripada lima minggu kepada lapan minggu. Syarikat-syarikat juga mungkin dilarang daripada mengambil pekerja hijrahan baharu selama tiga bulan dalam "kes yang sangat serius" melibatkan kelemahan keselamatan di tempat kerja yang menyebabkan kemalangan maut atau serius.

Langkah dipertingkat yang sama dilaksanakan di seluruh negara pada Jun, menyusuli beberapa kematian di tempat kerja ketika itu. Langkah tersebut berkuat kuasa dari 26 Jun hingga 31 Julai.

Menteri Negara Tenaga Manusia Dinesh Vasu Dash berkata pada Isnin bahawa kematian baru-baru ini tertumpu dalam kedua-dua sektor tersebut. Justeru, MOM menggesa syarikat-syarikat dalam sektor berkenaan untuk mengadakan tempoh henti kerja bagi tujuan keselamatan secara sukarela, selain mempertingkatkan penguatkuasaan.

"Tujuh kematian di tempat kerja sejak September amat membimbangkan dan kita mesti bertindak tegas untuk mencegah lebih banyak kehilangan nyawa," tambah beliau.

Seorang pekerja berusia 22 tahun meninggal dunia pada 28 September selepas terjatuh dari tempat tinggi di sebuah tapak binaan BTO (Bina Ikut Tempahan) di Tanjong Rhu Road, manakala dua pekerja maut selepas platform yang dinaiki mereka terjatuh ke laut di Pelabuhan Tuas pada 22 September.

Perangkaan MOM menunjukkan 21 kematian di tempat kerja dicatatkan pada separuh pertama 2026, dengan kadar kecederaan maut tahunan Singapura sebanyak 1.1 bagi setiap 100,000 pekerja.

Kejadian melibatkan kenderaan merupakan punca utama, dengan sembilan kematian dicatatkan. Daripada tujuh kematian akibat kemalangan jalan raya berkaitan kerja, empat melibatkan pekerja platform.

Encik Dinesh berkata: "Saya juga menyeru rakan industri dan pihak berkepentingan, termasuk gerakan buruh, supaya memperkukuh usaha ini dalam rangkaian masing-masing.

"Kewaspadaan berterusan dan usaha bersama akan membantu kita memperkukuh amalan keselamatan serta mewujudkan tempat kerja yang lebih selamat," tambah beliau.

Menurut MOM, majikan harus menggunakan peluang ini untuk melibatkan para pekerja dan penyelia dalam perbincangan berhubung risiko di tempat kerja serta memperkukuh amalan kerja selamat di semua peringkat.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita