Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOM gesa kontraktor, pekerja binaan sentiasa waspada jelang tempoh sibuk Tahun Baharu Cina selepas kematian di tempat kerja

Anggaran Waktu Membaca:
MOM gesa kontraktor, pekerja binaan sentiasa waspada jelang tempoh sibuk Tahun Baharu Cina selepas kematian di tempat kerja

(Gambar: HDB)

Diterbitkan : 08 Jan 2025 12:09AM Dikemas Kini : 08 Jan 2025 12:10AM
SINGAPURA: Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berkata "tidak boleh ada tolak ansur terhadap keselamatan" menjelang tempoh Tahun Baharu Cina, berikutan kematian seorang pekerja binaan minggu lalu.

Warga India berusia 29 tahun itu bekerja di tapak pembinaan projek Bina Ikut Tempahan (BTO) Plantation Edge I & II di Tengah. Pada kira-kira 8.40 malam, 2 Jan lalu dia dihempap hos sebuah lori pam konkrit.

Salah satu daripada empat perancah (outrigger) lori itu menusuk tanah konkrit, menyebabkan kenderaan itu senget dan hos terkena lelaki tersebut.

MOM dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) berkata mangsa sedang menjalankan kerja-kerja tuangan ketika kejadian.

Pekerja itu dibawa ke Hospital Gleneagles, di mana dia meninggal dunia. Beliau bekerja dengan syarikat Keong Hong Construction, yang diberi tender S$293.7 juta untuk kerja-kerja kontrak utama di Tengah Plantation pada Januari 2024.

Projek itu dijadual siap pada 2027.

MOM menggesa kontraktor dan pekerja supaya berwaspada menjelang Tahun Baharu Cina yang semakin hampir, sambil menyatakan bahawa tempoh itu "biasanya menyaksikan syarikat menghadapi tekanan masa untuk menyiapkan projek".

"MOM akan meneruskan usaha penguatkuasaan yang dipertingkatkan dalam tempoh ini. Tidak boleh ada tolak ansur terhadap keselamatan tempat kerja pada bila-bila masa."

Insiden itu sedang disiasat, katanya.

"Sebagai langkah keselamatan am, majikan dan kontraktor mesti memastikan bahawa struktur jentera dipanjangkan sepenuhnya dan terletak pada asas yang stabil, aras atau plat asas dengan kekuatan yang mencukupi untuk memastikan kestabilan semasa operasi," tambah kementerian itu.

HDB, yang merupakan pemaju projek, memberitahu Mediacorp pada Selasa bahawa ia juga memandang serius kejadian maut itu, dan akan memberikan sokongan dan bantuan kepada keluarga mangsa.

"Keselamatan di tapak kerja kami adalah keutamaan, dan kami sedang bekerjasama dengan kontraktor bangunan untuk membantu pihak berkuasa dengan siasatan mereka mengenai perkara ini", katanya, sambil menambah bahawa ia sedih dengan berita kematian pekerja itu.

"Kami akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi industri kami untuk mengukuhkan keselamatan di tempat kerja di tapak binaan kami."
Sumber : CNA/SU/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan