Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOM edar kenyataan nasihat tentang 'aktiviti berkaitan pengganasan' kepada majikan amah

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) meminta para majikan pembantu rumah hijrahan supaya mengingatkan mereka untuk tidak melibatkan diri dalam aktiviti berkaitan pengganasan menyusuli 'perkembangan di Afghanistan'.

Anggaran Waktu Membaca:
MOM edar kenyataan nasihat tentang 'aktiviti berkaitan pengganasan' kepada majikan amah

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 06 Oct 2021 03:58PM Dikemas Kini : 06 Oct 2021 04:04PM

SINGAPURA: Kementerian Tenaga Manusia (MOM) meminta para majikan pembantu rumah hijrahan supaya mengingatkan mereka untuk tidak melibatkan diri dalam aktiviti berkaitan pengganasan menyusuli 'perkembangan di Afghanistan'.

Dalam satu kenyataan nasihat yang dikeluarkan hari ini (6 Okt), MOM menyatakan situasi di Afghanistan mungkin menimbulkan ancaman keselamatan terhadap negara-negara sekeliling dan di seluruh dunia.

"Individu-individu yang menjadi radikal mungkin berhasrat melakukan perjalanan ke Afghanistan untuk menyertai kumpulan militan di sana," menurut kenyataan nasihat itu.

Ia turut menggesa para majikan supaya mengingatkan para pembantu rumah hijrahan agar tidak "menyokong atau mengimport politik dari luar negara" atau "membuat sebarang komen yang boleh mencetuskan keganasan atau rasa tidak puas hati dalam kalangan pelbagai masyarakat terutama sekali di Internet".

MOM memberi amaran bahawa Pemerintah "tidak bertolak ansur terhadap sebarang bentuk sokongan kepada ekstremisme, keganasan dan pengganasan" dan akan mengambil tindakan "tegas" terhadap mereka yang didapati berbuat demikian.

Kenyataan nasihat itu menambah bahawa para pembantu rumah hijrahan harus maklumkan kepada pihak berkuasa jika mereka mengenali sesiapa yang "terjejas oleh krisis di Afghanistan". Ia turut menggesa mereka agar "berhati-hati apabila membuat derma atas tujuan kemanusiaan dan supaya menyalurkan dana menerusi wadah sah".

MOM juga menyediakan bahan-bahan dalam beberapa bahasa iaitu Bahasa Indonesia, Burma, Inggeris, Tagalog dan Tamil.

"Jika anda atau (pembantu rumah hijrahan anda) mengenali sesiapa yang mungkin terlibat dalam aktiviti berkaitan pengganasan, maklumkan kepada pihak berkuasa dengan segera. Sila hubungi Polis di talian 1800 255 000 atau Jabatan Keselamatan Dalam Negeri di talian 1800 2626 473," menurut kenyataan nasihat itu.

Mediacorp sudah pun menghubungi MOM bagi mendapatkan maklumat lanjut, termasuk sama ada kenyataan nasihat serupa dihantar kepada syarikat-syarikat yang menggajikan para pekerja hijrahan.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan