Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOM ambil tindakan terhadap 100 majikan kutip wang sogok dari pekerja hijrahan

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap purata 102 majikan yang ingkar kerana mengambil wang sogokan daripada pekerja hijrahan pada setiap tahun antara 2016 hingga 2020.

Anggaran Waktu Membaca:
MOM ambil tindakan terhadap 100 majikan kutip wang sogok dari pekerja hijrahan

Seorang pekerja hijrahan menunggu untuk menyeberangi jalan raya di Singapura. (Gambar: CNA)

SINGAPURA: Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap purata 102 majikan yang ingkar kerana mengambil wang sogokan daripada pekerja hijrahan pada setiap tahun antara 2016 hingga 2020.

Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Koh Poh Koon memberitahu demikian di Parlimen pada Selasa (1 Mac).

Secara purata, terdapat sekitar lima pekerja hijrahan yang terjejas bagi setiap majikan.

Jumlah biasa sogokan yang dibayar - bayaran haram yang diperas daripada pekerja hijrahan sebagai syarat atau jaminan pekerjaan - bernilai dari S$1,000 hingga S$3,000.

Dr Koh memberi respons kepada soalan parlimen yang diajukan oleh Anggota Parlimen (AP) Louis Ng (PAP-Nee Soon).

Sebaik sahaja sogokan disiasat, majikan tidak dibenarkan untuk menghantar pulang pekerja terjejas, tambah Dr Koh.

Bagi mangsa yang mahu terus bekerja di Singapura, MOM akan merujuk mereka kepada rakan kongsi agensi pekerjaan yang komited untuk tidak mengenakan sebarang bayaran ke atas pekerja berkenaan.

“Ini akan memberi jaminan kepada pekerja bahawa mereka boleh terus tinggal di sini untuk meraih pendapatan apabila mereka melaporkan mengenai majikan mereka tentang pengambilan wang sogokan. MOM juga akan menghendaki tertuduh untuk mengembalikan wang sogokan yang dikutip kepada pekerja-pekerja terjejas," kata Dr Koh.

Antara 2016 dengan 2020, sekitar 20 peratus pekerja hijrahan yang terjejas sudahpun mendapatkan pekerjaan baru.

Sekitar 30 peratus daripada mereka memilih untuk terus bekerja dengan majikan sedia ada mereka selepas isu sogokan itu selesai dihuraikan.

Baki pekerja yang lain pula memilih untuk pulang ke tanah air, Dr Koh memberitahu Dewan Parlimen.

Dr Koh menarik perhatian pihak berkuasa menggunakan data analitik sejak beberapa tahun kebelakangan ini untuk mengesan kes-kes dengan lebih baik. Namun, ia adalah lebih berkesan sekiranya pekerja tampil ke hadapan untuk melaporkan amalan penyelewengan itu.

Keupayaan perlombongan data juga dimanfaatkan bagi mengukuhkan pengumpulan bahan bukti dan membolehkan MOM untuk mengambil tindakan penguatkuasaan lebih baik terhadap majikan yang ingkar.

Selain itu, MOM juga meningkatkan usaha untuk mendidik serta mendampingi pekerja hijrahan.

Sebagai contoh, topik mengenai sogokan disentuh dalam program menyesuaikan diri, yang wajib dijalani pemegang permit kerja kali pertama.

“Pekerja hijrahan yang diminta untuk membayar wang sogokan harus segera menghubungi MOM untuk bantuan. MOM akan menyiasat kes dan mengambil serius semua aduan serta pemberian maklumat," kata Dr Koh.
 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan