Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOM akan permudah permohonan dapatkan amah bagi isi rumah dengan pekerja kesihatan

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan memudahkan kemasukan pembantu rumah hijrahan bagi isi rumah yang mempunyai pekerja penjagaan kesihatan, sedang kementerian itu menambah bilangan kelulusan bagi kemasukan pekerja sedemikian.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 02 Nov 2021 04:33PM Dikemas Kini : 02 Nov 2021 09:12PM

SINGAPURA: Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan memudahkan kemasukan pembantu rumah hijrahan bagi isi rumah yang mempunyai pekerja penjagaan kesihatan, sedang kementerian itu menambah bilangan kelulusan bagi kemasukan pekerja sedemikian.

Menteri Negara Tenaga Manusia Gan Siow Huang berkata demikian di Parlimen pada Selasa (2 Nov), sebagai menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) Wan Rizal (PAP-Jalan Besar), mengenai sama ada MOM akan mempertimbangkan untuk mengutamakan kelulusan pembantu rumah bagi isi rumah yang mempunyai pekerja penjagaan kesihatan.

Jumlah pembantu rumah hijrahan yang tiba di Singapura turun hampir empat kali ganda sejak Mei tahun ini ekoran peraturan yang lebih ketat untuk mengekang penularan COVID-19.

Dari Mei hingga Oktober, purata 900 pembantu rumah memasuki Singapura setiap bulan, berbanding purata bulanan 3,400 dari Januari hingga April, kata Cik Gan.

Dengan keadaan COVID-19 serantau bertambah baik, MOM dapat memberikan lebih banyak kelulusan kemasukan, tambahnya. Lebih ramai amah akan dapat memasuki Singapura dalam beberapa bulan akan datang jika situasi COVID-19 terus stabil di peringkat tempatan dan serantau, katanya.

MOM membuka permohonan baru untuk kemasukan pembantu rumah hijrahan yang lengkap divaksin sejak 15 Oktober.
Disebabkan permintaan yang tinggi, MOM akan terus mengutamakan keluarga dengan keperluan penjagaan yang lebih mendesak, jelas Cik Gan.

“Kami juga akan memudahkan kemasukan MDW (pembantu rumah hijrahan) bagi keluarga dengan pekerja penjagaan kesihatan agar pekerja penjagaan kesihatan dapat lebih fokus pada kerja barisan hadapan mereka,” tambahnya.

Majikan yang tidak berjaya mungkin boleh cuba mengakses portal permohonan pada minggu-minggu akan datang kerana slot disediakan secara berkala, katanya.

Selain soalan Dr Wan Rizal, AP Ang Wei Neng (West Coast), Cik Mariam Jaafar (PAP-Sembawang) dan Encik Dennis Tan (WP-Hougang) turut mengemukakan soalan mengenai isu pembantu rumah.

Terdapat "beberapa ribu" pembantu rumah yang sedang menunggu untuk memasuki Singapura dalam tiga bulan akan datang, kata Cik Gan sebagai menjawab soalan susulan daripada Encik Ang.

“Perkara yang lebih penting ialah bagaimana kita dapat meningkatkan kemasukan MDW secara beransur-ansur sambil melindungi kesihatan awam di Singapura,” katanya.

PROGRAM KOMERSIL OLEH BADAN INDUSTRI

Isi rumah yang memerlukan pembantu rumah dengan segera mungkin ingin mempertimbangkan program komersil oleh Persatuan Agensi Pekerjaan (Singapura) atau AEAS, katanya.

Pembantu rumah yang sudah memiliki dokumentasi boleh menyertai program itu dalam masa seminggu, dan terdapat slot yang sedia ada, tambahnya.

Sehingga hujung Oktober, inisiatif AEAS sudah memudahkan kemasukan lebih 1,000 pembantu rumah dari Filipina, Indonesia dan Myanmar, kata Cik Gan.

“Berdasarkan maklum balas daripada agensi pekerjaan, AEAS juga akan memperluaskan skim itu ke India. Yuran yang dikenakan berbeza mengikut agensi pekerjaan, penyedia perkhidmatan dan negara asal MDW,” katanya.

Beliau menambah bahawa isi rumah yang mengalami masalah kewangan boleh memohon pengecualian kos ujian COVID-19 tempatan dan penginapan notis jangan keluar rumah (SHN) untuk pekerja yang baru tiba.

Dengan lebih banyak kelulusan kemasukan dalam beberapa bulan akan datang, permintaan untuk pembantu rumah yang dipindahkan dijangka berkurangan, katanya, sambil menambah bahawa bilangan tersebut kekal "stabil" sejak beberapa bulan lalu.

Purata gaji bulanan pekerja rumah yang dipindahkan ialah S$630 tahun lalu, meningkat kepada S$660 setakat September 2021, katanya.

Sumber : CNA/TQ/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan