Skip to main content

Singapura

Mohd Sairi antara 'Butler' pertama dapat suntikan vaksin COVID-19

Encik Mohd Sairi Abdullah Sani adalah salah seorang pekerja khidmat penting yang mendapat suntikan vaksin COVID-19 pada Sabtu (9 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Encik Mohd Sairi Abdullah Sani adalah salah seorang pekerja khidmat penting yang mendapat suntikan vaksin COVID-19 pada Sabtu (9 Jan).

Kakitangan Hospital Farrer Park berusia 57 tahun itu bertugas sebagai seorang pelayan atau 'butler' yang bertanggungjawab mengendalikan segala keperluan pesakit di bawah jagaannya.

Sejak pandemik COVID-19 melanda, risiko yang dihadapinya bertambah kerana dia bertugas di wad Notis Jalan Keluar Rumah (SHN).

Related article image

"Baru-baru itu ada rasa takut juga kerana kita tidak tahu penyakit ini, kan. Di wad SHN, saya hidangkan makanan untuk mereka (pesakit), ambil pesanan untuk mereka untuk esok harinya. Jadi saya berinteraksi bersama mereka juga.

"Bagi saya, itu satu tugas mencabar kerana kita tidak tahu walaupun ujian swabnya negatif, tapi tak tahu akan datang macam mana untuk dua tiga hari mereka tinggal di sana kan," cerita Encik Sairi kepada BERITAmediacorp. Dia sudah bekerja di hospital itu selama dua tahun.

SABAR MELAYAN RAGAM PESAKIT KERANA PRIHATIN KEADAAN MEREKA

Buat masa ini, terdapat 11 pesakit yang masih dirawat di wad SHN. Tanggungjawab menjaga mereka dipikul Encik Sairi bersama seorang lagi rakan sekerja.

Selain terpaksa berdepan dengan risiko dijangkiti COVID-19, tugas Encik Sairi lebih berat lagi kerana perlu menghadapi ragam sesetengah pesakit yang beremosi.

"Kadang-kadang saya dimarahilah. Kita pun terpaksalah kerana kita tahu dia yang sakitkan. Jadi terpaksa ikutkan kehendak mereka, kerenah mereka. Jadi itu yang kita harus buat... sabar sahajalah."

Related article image
(Gambar: Syawal Yusoff/BERITAmediacorp)

(Gambar: BERITAmediacorp/Syawal Yusoff)

Namun begitu, bapa dua orang anak ini tetap bersikap profesional dan sikap itu ternyata memberi kepuasan kepada dirinya.

Encik Sairi menambah: "Ada yang kadang-kadang memberi kata-kata penghargaan untuk kita kerana mereka tulis kata-kata itu kepada Jabatan Tenaga Sumber Manusia (HR) dan dia memberi maklum balas khidmat kami bagus. Itu yang nikmatnyalah."

Hospital Farrer Park mempunyai seramai 14 pelayan seperti Encik Sairi.

SEGERA AMBIL VAKSIN DEMI KESELAMATAN KELUARGA

Kesemuanya 55 kakitangan hospital tersebut termasuk Encik Sairi merupakan kumpulan pertama kakitangan hospital itu mendapatkan vaksin COVID-19.

Yang pasti, suntikan vaksin COVID-19 itu cukup disambut baik Encik Sairi atas pelbagai sebab.

"Saya hendak ambil vaksin ini untuk keselamatan anak saya dan juga ibu saya. Ibu saya sudah 88 tahun dan anak saya berumur 7 dan 13 tahun. Mereka pun belum boleh ambil vaksin lagi sebab bawah 16 tahun. Jadi harus untuk saya ambil vaksin secepat mungkin," katanya. Isterinya juga bekerja sebagai seorang 'butler' di salah sebuah hospital privet di sini.

Bagi Encik Sairi, dia sangat yakin dengan vaksin yang diterimanya dan akan menggunakan pengalamannya untuk dikongsi dengan saudara mara dan rakan-rakan.

"Bagi sesiapa yang ragu-ragu itu, tidak perlu bimbang. Vaksin ini sudah diluluskan oleh Penguasa Sains Singapura (HSA) dan juga dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Jadi vaksin ini selamat bagi saya," jelas Encik Sairi.

Pakar Penyakit Berjangkit di Hospital Farrer Park, Dr Nicholas Chew turut memberi dorongan: "Vaksin penting untuk melindungi diri dan keluarga. Dan ada kebaikan untuk masyarakat keseluruhan supaya Singapura boleh membuka semula.

"Tetapi kalau ada apa sejarah alahan, kebanyakan orang mesti bincang dengan doktor sendiri untuk tanya sama ada sejarah alahan itu penting atau tidak."

Hospital Farrer Park akan terus menjalankan pemvaksinan secara sukarela untuk kakitangannya setiap hari Sabtu dan Rabu sehingga 27 Januari ini.

Bagi Encik Sairi sendiri, dia kini lebih bersemangat untuk menjalankan tugasnya dan ghairah menanti mendapatkan dos keduanya tiga minggu lagi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita