Mohd Razif Radi nafi dakwaan sebar ajaran sesat, benarkan judi dan punya kuasa luar biasa
Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Mohd Razif Radi, 67 tahun, menolak semua dakwaan terhadapnya apabila perbicaraan diteruskan di Mahkamah Negara hari ini (Isnin, 4 Nov).
Razif, yang diwakili oleh peguam Encik Simon Tan, berhadapan dengan beberapa tuduhan, termasuk menganjurkan kelas agama, membenarkan judi, dan mengaku dirinya sebagai Nabi.
Sebelum soal balas pihak pendakwa, dia berkata, “Saya seorang Muslim. Saya mengikut ajaran Islam. Saya solat lima waktu, saya pergi solat Jumaat, saya berpuasa, dan saya membayar Zakat.”
“SAYA PEGANG KEPADA PEGANGAN ISLAM,” KATA RAZIF ATAS DAKWAAN DAPAT MENDER ROH ‘MBAH’
Semasa soal balas, Encik Tan meminta Razif memberikan keterangan mengenai beberapa perkara, termasuk dakwaan saksi pendakwa bahawa Razif menganjurkan kelas-kelas agama.
Razif berkata: “Saya tidak mengadakan kelas-kelas. Kalau saya bertemu dengan mereka, ia dalam konteks terbuka, di mana kami mengadakan perbincangan terbuka juga. Kami berbincang sebagai rakan, sebagai umat Islam, tentang keluarga, perniagaan.”
Dia juga menolak dakwaan saksi pendakwa bahawa dia memberikan nota-nota semasa sesi-sesi tersebut.
“Saya tidak ada pendidikan tinggi. Saya tidak tahu bagaimana untuk menaip, jadi saya tidak setuju mereka katakan saya memberikan nota-nota,” jelas Razif.
Razif menjelaskan kepada Encik Tan bahawa dia gagal peperiksaan PSLE sebanyak tiga kali berturut-turut sebelum menjadi pelajar di Sekolah Vokasional Mountbatten.
Semasa di sana, beliau berkata dia mempelajari kemahiran seperti pertukangan kayu dan kemudian melakukan pelbagai pekerjaan, termasuk sebagai pemandu di Jurong Country Club pada tahun 1995 sebelum diberhentikan selepas tujuh tahun.
Selepas itu, beliau bekerja sebagai tukang urut.
Encik Tan kemudian meneruskan perbicaraan dengan memetik nama beberapa saksi pendakwa yang mendakwa Razif boleh menyeru roh ‘Mbah,’ yang kononnya merupakan keturunan Nabi, semasa kelas-kelas yang dihadiri mereka.
Saksi mendakwa bahawa apabila roh ‘Mbah’ memasuki dirinya, Razif akan berbual dalam logat Jawa. Menjawab dakwaan tersebut, Razif, yang sudah berkahwin selama 42 tahun dan mempunyai tiga orang anak berusia antara 33 hingga 40 tahun, berkata: “Ini tidak benar. Saya berketurunan Jawa, jadi kadangkala apabila saya berbual, memang ada loghat Jawa. Sebenarnya, saya berbual dengan mereka sebagai seorang kawan sahaja. ‘Mbah’ ini merujuk kepada panggilan orang lelaki yang lebih tua daripada kita; contohnya, saya juga memanggil arwah datuk atau pakcik saya ‘Mbah.’”
Razif menolak dakwaan bahawa dia dapat menyeru roh ‘Mbah.’
“Saya memegang kepada pegangan Islam. Saya masih boleh berfikir, mendengar, dan melihat. Saya tidak akan melakukan itu atau membiarkan perkara itu berlaku kepada saya,” tambah Razif.
Dakwaan juga menyebut bahawa semasa berperanan sebagai ‘Mbah,’ Razif memberitahu pengikutnya bahawa mereka akan dijamin tempat di syurga.
Razif menafikan tuduhan itu.
“Saya hanya orang biasa. Siapa saya untuk mengatakan perkara itu? Saya tidak ada pendidikan tinggi, mahupun seorang ustaz atau kiayi. Saya tahu batasan saya sebagai seorang Muslim,” kata Razif di hadapan Hakim Daerah Shaiffudin Saruwan.
TIDAK SETUJU DENGAN DAKWAAN BENARKAN NIKAH BATIN
Razif juga dituduh membenarkan nikah batin dalam kalangan “pengikutnya”, namun dia sekali lagi menolak dakwaan tersebut.
Dia menafikan telah memberitahu “pengikutnya” bahawa sumber nikah batin itu adalah dari cahaya.
“Saya tidak pernah mendengar atau tahu tentang nikah batin ini. Kali pertama saya mendengarnya adalah ketika ia dibangkitkan di mahkamah,” jelas Razif.
Walau bagaimanapun, Razif mengaku dia bersalaman dengan beberapa wanita, meskipun mereka bukan mahram.
Tuduhan itu timbul apabila beberapa saksi pendakwa memberi keterangan bahawa mereka melihat wanita-wanita itu mencium tangan Razif semasa bersalaman.
“Saya memang melakukannya secara terbuka. Ini adalah perkara kecil yang diperbesar-besarkan. Kita tinggal di negara sekular, bukan negara Islam,” tegas Razif.
BENARKAN JUDI DALAM ISLAM
Seorang saksi pendakwa telah memberi keterangan pada bulan Jun bahawa, Razif mendakwa boleh 'membersihkan' hasil kemenangan judi daripada permainan 4-D dan Toto.
Duit kemenangan akan dikongsikan antara mereka.
Pada 4 November, Razif menafikan membuat kenyataan tersebut.
“Ini tidak berlaku. Kami berjumpa untuk makan sebagai rakan. Pada masa itu, saya tidak berjudi atau bermain 4D.”
Beliau juga menambah bahawa dia mula berjudi selepas itu, tetapi ia tidak ada kaitan dengan keterangan saksi pendakwa, dan adalah keputusan peribadinya sendiri.
“Saya pernah berjudi, tetapi tidak pernah menang. Saya tidak pernah berkata bahawa mereka boleh berjudi di Singapore Pools dan Allah akan memaafkan mereka,” tegasnya.
PUNYA KUASA LUAR BIASA
Razif menolak dakwaan bahawa dia memiliki kuasa untuk menggerakkan langit, memberikan makanan kepada burung, serta melakukan ritual di makam, seperti yang dinyatakan oleh saksi pendakwa.
Pihak pembela juga merancang untuk memanggil sekitar lima lagi saksi untuk memberi keterangan di mahkamah.
Namun, dalam perbicaraan pagi tadi (4 Nov), peguam bela Simon Tan memohon agar nama empat daripada saksi tersebut tidak didedahkan bagi melindungi identiti mereka.
Permohonan itu diterima oleh Hakim Daerah Encik Shaiffudin.
Jika sabit kesalahan atas ajaran yang melanggar hukum Islam, Razif berhadapan dengan hukuman penjara sehingga 12 bulan, denda S$2,000, atau kedua-duanya.
Perbicaraan diteruskan pada pagi Selasa (5 Nov).

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.