Mohd Razif Radi didakwa cuba rawat masalah kerisauan anak perempuan saksi dengan 'ritual mandi'
SINGAPURA: Mahkamah pada Rabu (9 Okt) mendengar keterangan seorang lagi saksi dalam kes melibatkan Mohd Razif Radi, yang didakwa cuba merawat masalah kerisauan anak perempuan mereka melalui satu ritual mandi.
Saksi berusia 52 tahun itu adalah saksi pendakwa raya yang ke-10, dan namanya tidak boleh didedahkan atas perintah mahkamah bagi melindungi identitinya.
Beliau memberitahu Hakim Daerah Shaiffudin Saruwan bahawa beliau mengenali Mohd Razif sejak 2002 selepas diperkenalkan oleh abangnya, yang menyatakan bahawa Mohd Razif mahir dalam urutan tradisional.
Menurutnya, hubungan mereka semakin akrab sehingga Mohd Razif dianggap sebagai rakan keluarga.
Saksi juga menyatakan bahawa Mohd Razif sering bekerja sama dengan bekas isterinya dalam projek makanan beku.
Pada awalnya, beliau tidak mengesyaki apa-apa; namun, bekas isterinya kerap memuji Mohd Razif dan meminta nasihat daripadanya.
Apa yang mengejutkan saksi adalah ketika bekas isterinya meminta beliau membeli tiket judi 4D sekitar tahun 2004 atau 2005, dengan alasan untuk mencuba ramalan yang diberikan oleh Mohd Razif.
Saksi-saksi sebelum ini juga pernah memberi keterangan tentang pembelian tiket judi.
"Saya rasa agak marah ketika itu kerana saya tidak menyangka ia akan datang daripadanya kerana saya fikir dia lebih arif dalam Islam daripada saya. Saya fikir untuk sekali sahaja dan tidak akan berulang," menurut saksi itu.
BEKAS ISTERI SAKSI SECARA TERBUKA PEGANG DAN CIUM TANGAN MOHD RAZIF
Dalam pada itu, saksi berkata pada 2015, beliau menyedari perubahan perwatakan bekas isterinya yang menurutnya "semakin berani dan tegas apabila berkomunikasi."
Beliau memberitahu mahkamah tentang satu insiden sewaktu menghantar bekas isterinya dan Mohd Razif ke Batam untuk satu projek korban.
Saksi menyaksikan bekas isterinya secara terbuka memegang dan mencium tangan Mohd Razif.
"Saya terkejut kerana saya percaya beliau tidak sepatutnya melakukan demikian kerana dia bukan sebahagian daripada keluarga," katanya kepada mahkamah.
Apabila beliau menyoal tindakan itu, bekas isterinya menyuruhnya untuk 'diam jika tidak faham situasi'.
Saksi itu juga memberitahu abang iparnya, dan dalam satu pertemuan keluarga, bekas isterinya secara terbuka menyatakan hasrat untuk berpisah dengannya.
"Semasa pertemuan itu, beliau (bekas isteri) menjelaskan bahawa saya tidak memberi sokongan terhadap misi-misi dan cara beliau lakukan perkara dan beliau ingin mengakhiri perkahwinan kami secepat mungkin," menurut saksi.
Pada September 2015, beliau juga terjumpa catatan dalam iPad bekas isterinya yang menunjukkan Mohd Razif sedang mencari 13 isteri, dan bekas isterinya perlu 'melepaskan' beliau untuk menjadi isteri Mohd Razif.
Beliau bagaimanapun tidak bertanya isterinya tentang nota-nota itu.
"Saya tidak berhadapan dengan isteri saya kerana saya mempunyai perasaan yang kuat beliau akan bertanya kenapa saya memeriksa nota-nota beliau.. dan saya tidak akan memahami apa-apa tentangnya," menurut saksi.
Saksi melaporkan Mohd Razif kepada MUIS pada 7 Oktober 2015, tetapi tidak mendapat banyak bantuan.
Lantaran itu, beliau memutuskan untuk menghubungi pihak media..
MOHD RAZIF CUBA RAWAT ANAK PEREMPUAN DENGAN MASALAH KERISAUAN MENERUSI 'RITUAL MANDI'
Saksi memberitahu mahkamah bahawa sebelum mereka bercerai pada 2017, Mohd Razif cuba merawat masalah kerisauan anak perempuan mereka melalui satu ritual mandi.
Pasangan itu mempunyai dua anak perempuan, dan salah seorang daripadanya mempunyai sejarah kerisauan serta telah menerima rawatan perubatan sebelum ini.
Saksi menjelaskan bahawa anaknya diminta memakai kain sarung dan diberitahu oleh ibunya bahawa Mohd Razif akan memandikannya.
Namun, anaknya menolak dan bertegas untuk mandi sendiri.
Beliau juga menambah bahawa Mohd Razif kemudiannya membaca doa di kedua telinga dan atas kepala anaknya sambil memegang bahu dan tangannya.
Saksi hanya mengetahui tentang ritual tersebut melalui bekas abang iparnya.
"Saya sebenarnya tidak mendapat tahu tentang ini daripada anak saya sendiri. Saya cuma mendapat tahu menerusi Abang ipar saya. Anak saya tidak ingin memberitahu saya kerana dia dapat arahan daripada ibunya untuk tidak memberitahu saya langsung," menurut saksi.
SAMAN FITNAH DITALIK BALIK
Dalam perkembangan lain, peguam Mohd Razif, Encik Simon Tan mengesahkan kepada wartawan Nazirah Jamzuri bahawa kes saman fitnah oleh para kliennya sudah ditarik balik.
Keempat-empat plaintif yang mengemukakan saman itu ialah Mohd Razif, Cik Maznah Masop, Cik Marlinah Ahmad dan Cik Shafarina Sujak.
Tuntutan saman itu terhadap Encik Azman Mohamed, Encik Ahmad Zainuddin Mohd Rashaid @ Ahmad Zainuddin Md Yusof dan Encik Damanhuri Abas.
"Kami telah menyelesaikannya. Keputusan ini dibuat ketika klien berhadapan dengan kesukaran kewangan, tidak mampu meneruskan litigasi yang berpanjangan ini.
Encik Tan berkata kes tersebut telah sampai ke tahap di mana beberapa klien mempertimbangkan untuk menjual harta mereka bagi membiayai pertikaian undang-undang.
"Oleh kerana ini adalah tindakan fitnah di mahkamah tinggi, kosnya sangat tinggi, jadi lebih baik kami menyelesaikan perkara ini secara baik."
Tambahnya, klien, terutamanya wanita yang terlibat, merasa teraniaya dan bertekad untuk membersihkan nama mereka.
"Mereka, termasuk wanita yang merupakan sebahagian daripada kumpulan (terbabit), adalah yang telah difitnah. Bergantung kepada hasil prosiding jenayah, kami berharap melalui prosiding ini, kami dapat membela nama mereka dan mengesahkan bahawa mereka tidak bersalah atas sebarang kesalahan," jelas beliau.
Beliau mengesahkan bahawa kedua-dua tindakan yang berkaitan dengan kes tersebut telah diselesaikan.
"Kami tidak dapat mendedahkan sebarang isu pembayaran, tetapi kami pasti telah menyelesaikannya kerana terdapat dua tindakan dan kedua-dua tindakan telah diselesaikan atas syarat yang sulit," kata beliau.
Penyelesaian itu, jelas beliau, bertujuan untuk meringankan beban klien sambil membolehkan mereka memberi tumpuan kepada pemulihan reputasi mereka melalui prosiding jenayah yang akan datang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.