Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mohd Faisal Jamain antara 6 guru menang Anugerah Belia Cemerlang dalam Pendidikan

Enam guru muda menerima pengiktirafan Anugerah Belia Cemerlang dalam Pendidikan (OYEA) 2021 pada Rabu (7 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Enam guru muda menerima pengiktirafan Anugerah Belia Cemerlang dalam Pendidikan (OYEA) 2021 pada Rabu (7 Jul).

Mereka menerima anugerah berkenaan daripada Menteri Kedua Pendidikan Dr Mohamad Maliki Osman dalam Upacara Pelantikan Guru Institut Pendidikan Nasional (NIE) yang diadakan secara maya.

Para penerima OYEA itu terpilih daripada 1,654 guru yang dicalonkan tahun ini. Menurut kenyataan MOE, enam guru muda itu mempamerkan kepercayaan kukuh bahawa pendidikan itu adalah untuk membangunkan para pelajar secara menyeluruh termasuk mengasah kemahiran pelajar yang siap sedia untuk masa depan bagi menghuraikan masalah, memupuk para pelajar dengan daya bingkas dan berfikiran kritis yang juga dapat memahami orang lain. Ini di samping membantu mereka sedar akan nikmat dalam menuntut ilmu.

INTERAKSI BERSAMA PELAJAR BERKEPERLUAN KHAS MEMBUKA MATA

Antara penerima OYEA tahun ini termasuklah Encik Mohd Faisal Jamain dari Sekolah Rendah Qifa.

Beliau yang merupakan seorang Ketua Jabatan Kepimpinan, Pelibatan, Sokongan & Kerjasama sekolah itu berkongsi kepada BERITAmediacorp bahawa perjalanannya sebagai seorang guru mungkin berbeza jika tidak berpeluang untuk berinteraksi dan mengajar dua murid berkeperluan khas.

"Seorang pelajar itu adalah murid saya dan di dalam kelas dia merupakan seorang murid yang baik dan pendiam. Jadi saya terkejut apabila mendapat tahu daripada pekerja bas sekolah bahawa murid itu sangat nakal dan bising di dalam bas.

"Saya berbual dengannya dan mengingatkannya tentang rutin dan peraturan yang ada di dalam kelas. Selepas menerima maklum balas sebanyak tiga kali bahawa tidak ada perbezaan dalam tingkah lakunya, saya sendiri menaiki bas sekolah itu dan pulang bersama murid berkenaan sambil menasihatinya tentang rutin dan peraturan kelas perlu juga diamalkan di mana saja," ujar beliau.

Langkah tambahan yang diambil Encik Faisal itu ternyata berkesan apabila kakitangan bas sekolah mula memberi maklum balas bahawa ada perubahan dalam tingkah laku murid tersebut.

Malah beliau menambah bahawa semasa beliau baru mula-mula menjadi seorang guru 11 tahun lalu, beliau hampir berputus asa mengajar seorang murid berkeperluan khas.

Atas dorongan seorang guru lebih berpengalaman, Encik Faisal menguatkan dirinya dan mempertingkatkan kemahiran beliau untuk menjadi guru yang terbaik buat murid itu.

Beliau menjelaskan: "Murid berkeperluan khas itu ada bermacam-macam dan setiap daripada mereka memerlukan sokongan yang berbeza-beza.

"Jadi saya belajar dengan para pakar psikologi, meningkatkan kemahiran saya dan terus cuba dan uji cara-cara yang terbaik bagi menyokong pembangunan murid-murid saya."

INGIN BINA RANGKAIAN SOKONGAN DI LUAR PERSEKITARAN SEKOLAH

Pengalaman itu menyedarkan guru berusia 33 tahun itu untuk menyediakan rangkaian sokongan yang teguh bagi setiap murid beliau di luar persekitaran sekolah juga.

Lantaran itu, beliau mula berkongsi beberapa tip mudah dengan pemandu bas dan pegawai lain yang berinteraksi dengan murid berkenaan.

Antara tip tersebut adalah untuk memberi waktu rehat bagi muridnya itu "melepaskan tenaga" dan bergerak bebas.

Bak kata pepatah "ia memerlukan satu kampung untuk membesarkan seorang anak" tetapi bagi Encik Faisal, beliau ingin memastikan "masyarakat di sekeliling murid-muridnya itu teguh dan bersatu dalam proses pembangunan mereka".

"Bagi para pelajar sedemikian, saya tidak melihat mereka sebagai kekurangan sesuatu. Saya rasa tanggapan yang mereka ada kekurangan sesuatu adalah pemikiran yang salah.

"Sebaliknya, mereka hanya mempunyai cara belajar dan keperluan yang berbeza. Jadi kerja saya sebagai guru adalah untuk membantu mereka mencapai potensi sepenuhnya dan ini termasuklah menyediakan sokongan menyeluruh," ujar beliau.

Selain menerima trofi dan sijil pengiktirafan, Encik Faisal dan lima lagi penerima OYEA kali ini juga akan mendapat tajaan penuh untuk mengikuti program pembangunan profesional di luar negara.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1999, OYEA sudah mengiktiraf 90 pendidik muda.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan