Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mohammad AbdurRahman Ali Khan, Ahmad Nawfal Azman antara pelajar cemerlang Madrasah Irsyad untuk PSLE

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Keputusan yang tidak dijangkakan.

Itulah reaksi Mohammad AbdurRahman Ali Khan Mohammad Akbar Ali Khan apabila meraih skor sempurna 4 mata dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tahun ini.

AbdurRahman memperoleh AL 1 untuk semua subjek, dengan markah melebihi 90 untuk setiap kertas yang didudukinya.
 

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Beliau muncul sebagai murid cemerlang Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah tahun ini.

"Memang tidak dijangkakan. Kalau saya jangkakan pun, saya akan jangka (skor) enam atau tujuh. Tetapi hari-hari saya berdoa, berdoa dan berdoa, dan selepas itu, saya solat. Akhirnya Allah swt kabulkan doa saya Alhamdulillah," kongsi AbdurRahman kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

Anak sulung daripada lima beradik itu mengakui bahawa kejayaannya tidak datang begitu sahaja, tetapi berkat usaha gigih dan sokongan daripada keluarga serta guru-guru.

"Saya memang rasa sangat, sangat gembira. Saya syukur kepada Allah SWT dan saya juga bersyukur kerana ibu bapa saya telah membimbing saya sepanjang perjalanan ini dan saya juga bersyukur kerana mendapat cikgu-cikgu yang boleh membimbing saya selama enam tahun ini.

"Sebenarnya saya ulang kaji sahaja. Tidak ada apa-apa yang istimewa (yang saya lakukan). Setiap hari, saya mengulangkaji selama satu jam. Tetapi yang penting, jangan ulang kaji sehingga 'burnout' atau keletihan. Kalau 'burnout', nanti semua (yang diulangkaji) kita lupa dah tidak boleh buat apa-apakan? Jadi yang penting, belajar dan ulangkaji dan pelajaran itu perlu meresap di jiwa," ujar AbdurRahman.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Namun, kejayaan ini juga tidak datang tanpa cabaran.

Salah satu subjek yang paling sukar baginya adalah Sains.

"Saya menghadapi cabaran besar ketika saya sedang membuat persiapan untuk mata pelajaran Sains kerana itu mata pelajaran yang paling saya paling tidak suka dan tidak begitu kuat dalam subjek itu. Jadi saya memberikan tumpuan lebih kepada pelajaran itu dan akhirnya, saya mendapat keputusan cemerlang, Alhamdulillah," tambahnya.

INGIN LANJUTKAN PENGAJIAN DI MADRASAH ALJUNIED AL-ISLAMIAH

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Melangkah ke hadapan, AbdurRahman berharap dapat melanjutkan pengajian dalam bidang ukhrawi di Madrasah Aljunied Al-Islamiah.

"Saya ingin melanjutkan pelajaran saya ke Madrasah Aljunied Al-Islamiah kerana madrasah itu memberi lebih tumpuan kepada subjek-subjek Islam. Jadi itu macam hasrat saya untuk pergi ke saya," menurut AbdurRahman.

"Saya ingin menjadi Ustaz kerana saya ingin berdakwah kepada orang lain dan membimbing masyarakat Islam di Singapura kepada arah yang lebih baik," tambahnya.

AbdurRahman turut berkongsi keghairahannya berhubung Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) yang bakal ditubuhkan itu.

"Saya rasa itu dapat memberi (kita) lebih banyak peluang untuk menceburi pelajaran Islam di Singapura dan ia membuatkan kehidupan kita lebih senang.

"Saya dengar Mufti pergi ke tempat-tempat lain untuk membuat kurikulum untuk kolej itu, jadi senang kata, ia menarik," tambahnya.

MULAKAN PERSIAPAN SEJAK DARJAH 5

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Seorang lagi murid cemerlang Madrasah Irsyad, Ahmad Nawfal Azman, meraih skor 7 mata dalam Peperiksaan PSLE.

Meskipun jatuh sakit semasa persiapan, semangatnya untuk berusaha tidak luntur.

"Semasa membuat persiapan, saya terjatuh sakit beberapa kali akibat tekanan dan sering hilang tumpuan ketika membuat kertas-kertas di rumah," kongsi Nawfal kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

Nawfal, anak tunggal, telah memulakan persiapan untuk PSLE sejak tahun lalu.

"Saya memulakan persiapan saya sejak darjah lima lagi. Saya akan membuat kertas-kertas ujian yang lalu dan akan bertanya kepada guru saya jika saya mempunyai sebarang soalan," katanya.

BERHASRAT JADI GURU BAHASA MELAYU ATAU ARAB KERANA CINTA KEPADA BAHASA

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Nawfal, yang juga seorang pemimpin pelajar, aktif dalam pelbagai pertandingan, di mana bakatnya dalam Bahasa Melayu amat menyerlah.

Beliau pernah meraih Anugerah Perak dalam Pertandingan Karya Minda Kreatif 2023 serta tempat kedua dalam Pertandingan Penterjemah Pintar 2023.

Karya esei pendeknya juga diterbitkan dalam buku Nur Kalam 2023.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

"Pada masa hadapan, saya ingin jadi seorang guru bahasa Melayu atau bahasa Arab kerana saya sangat gemar kedua-dua bahasa ini. Namun, saya juga bercita-cita untuk menjadi seorang doktor jika saya tidak dapat melanjutkan pelajaran saya di dalam bahasa Melayu atau Arab," menurut Nawfal.

"Selepas ini, saya ingin melanjutkan pelajaran saya di Madrasah Aljunied kerana Madrasah Aljunied mementingkan ukhrawi dan juga akademik. Saya juga gemar akan bahasa Arab dan mungkin Madrasah Aljunied akan memberikan saya peluang untuk belajar kedua-duanya dengan seimbang," tambahnya.

Beliau juga berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) pada masa hadapan.

"Kolej ini dapat memberikan saya laluan untuk melanjutkan pelajaran saya dalam bahasa Arab di dalam negeri dan saya tidak perlu ke luar negara dan tidak perlu bimbang tentang kos kapal terbang dan makanan di sana," jelas Nawfal.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan