Mohamed Faizal gunakan pengalaman di Pejabat Peguam Negara untuk jadi Pesuruhjaya Kehakiman lebih cemerlang

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Agung, Mohamed Faizal Mohamed Abdul Kadir. (Gambar: Nurfazirah Azman)
Menurut beliau, pengalaman selama kira-kira 17 tahun di AGC itu akan membantunya menjalankan peranan baharunya itu dengan lebih berkesan dan cemerlang.
"Sebagai seorang Ketua Pendakwa Raya, saya mengawasi dan mendakwa kes-kes jenayah di mahkamah-mahkamah Singapura. Sebagai seorang Pesuruhjaya Kehakiman, saya mengadili kes-kes di Mahkamah Agung.
"Ini merupakan satu peralihan peranan saya dari peranan yang 'advocative' kepada peranan yang 'adjudicative'. Walaupun begitu, saya berasa bahawa pengalaman saya sebagai Pendakwa Raya amat penting untuk kerja saya sebagai seorang Pesuruhjaya Kehakiman," kongsi Encik Faizal, 43 tahun, kepada wartawan Nurfazirah Azman.
Tambah beliau, tugasnya sebelum ini memberinya peluang untuk memahami betapa pentingnya bahan bukti serta sistem perundangan dan keadilan berwibawa.
"Saya juga mendapat peluang untuk mempertajamkan kemahiran saya seperti kemahiran mempertimbangkan bukti, kemahiran analitik dan juga untuk memahami isu-isu yang penting di mahkamah kami, " kata Encik Faizal.

Sepanjang kerjayanya dalam bidang guaman selama hampir dua dekad, Encik Faizal sudah menulis secara meluas dalam pelbagai bidang undang-undang dengan tumpuan khas kepada undang-undang jenayah, prosedur dan syariah.
Ditanya jika beliau akan terus menulis buku undang-undang dengan tanggungjawab baharu ini, Encik Faizal berkata beliau sebaliknya akan menyumbang kepada pembangunan undang-undang dari segi akademik dengan cara yang berbeza.
"Walaupun matlamat utama saya adalah untuk memastikan saya menjalankan tugas saya sebagai seorang Pesuruhjaya Kehakiman dengan lancar, dengan efektif dan dengan integriti, saya yakin bahawa saya akan terus menyumbang untuk pembangunan undang-undang di Singapura melalui penghakiman saya dan juga melalui ucapan-ucapan di pelbagai platform," ujar Encik Faizal.
Dalam pada itu, beliau berharap dapat mempertahankan prinsipnya iaitu untuk memberi kesaksamaan dan keadilan untuk semua.
"Sebagai seorang Hakim di Mahkamah Agung, saya berharap bahawa sesiapa juga yang datang ke Mahkamah Agung untuk menerima bantuan, akan mendapat keadilan daripada saya (hakim) yang jujur, berintegriti dan berprinsip.
Pelantikan untuk tempoh dua tahun ini menjadikan beliau antara 34 Hakim di Mahkamah Agung.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.