Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mohamad Fadhil Abdul Jalil antara pelukis terpilih hasilkan 20 corak beg cenderamata NDP

Bagi anda yang sudah mendapatkan beg cenderamata Singapura Bersama, anda pasti tertarik dengan corak menarik yang terpapar pada beg tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Mohamad Fadhil Abdul Jalil antara pelukis terpilih hasilkan 20 corak beg cenderamata NDP

Mohamad Fadhil Abdul Jalil pelukis bagi corak 'My Home' bagi beg cenderamata NDP tahun ini. (Gambar: MSF Singapore/Facebook)

SINGAPURA: Bagi anda yang sudah mendapatkan beg cenderamata Singapura Bersama, anda pasti tertarik dengan corak menarik yang terpapar pada beg tersebut.

Malah, sehingga 20 reka bentuk dihasilkan sempena Hari Kebangsaan, 9 Ogos ini -
10 oleh pelukis kurang upaya daripada tujuh pertubuhan dan 10 lagi oleh murid darjah lima.

(Gambar: Ong Ye Kung/Facebook)

Jika anda dapat beg yang memaparkan blok flat HDB yang dihiasi bendera Singapura, desain itu adalah hasil daya kreatif pelukis 24 tahun dari Seni@Metta di Persatuan Kebajikan Metta, Mohamad Fadhil Abdul Jalil!

FADHIL: GANTUNG BENDERA LAMBANG RASA BANGGA TERHADAP S'PURA

Fadhil juga seorang pelukis autistik yang menghasilkan karya itu sebagai sebahagian daripada inisiatif "i'mable" SG Enable, yang bertujuan meraikan keupayaan orang-orang berkeperluan khas.

Dinukil dari laman Facebook Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), Fadhil berkata: "Dalam hasil seni saya, saya melukis blok-blok HDB bertentangan blok saya sendiri, dengan bendera-bendera negara yang digantung di luar setiap flat.

Mohamad Fadhil Abdul Jalil pelukis bagi corak 'My Home' bagi beg cenderamata NDP tahun ini. (Gambar: MSF Singapore/Facebook)

(Gambar: MSF Singapore/Facebook)

"Saya rasa bendera yang digantung itu membolehkan kita meluahkan rasa bangga kita terhadap Singapura. Apabila kita semua menggantung bendera, ia menjadi sesuatu yang memberi inspirasi."

Fadhil menambah, walaupun beliau kurang mengenali jiran-jirannya, beliau juga berhasrat dapat lebih beramah mesra dengan mereka.

"Saya selalu ingin berkawan dengan mereka, dan saya harap saya dapat melakukan itu suatu hari nanti," ujar beliau.

Para pelukis Melayu lain bagi beg cenderamata NDP termasuk murid Darjah 5 dari Sekolah Perempuan Haig, Anisah Mohamed Faisal, bagi corak 'We Are Stronger Together'.

Minah Mohd, 51 tahun, dari Cerebral Palsy Alliance Singapore turut menghasilkan corak 'The Little Red Dot' manakala Qays Naushad Hambril dan Rizq Nawfal Hambril, 7 tahun, melukis corak 'Eat, Play, Repeat'.

PRESIDEN HALIMAH GEMBIRA WUJUD PELUANG PAMER BAKAT

Presiden Halimah Yacob pula berkongsi rasa gembira beliau di laman Facebook pada Ahad (19 Jul) melihat golongan kurang upaya berpeluang mempamerkan bakat mereka sempena Hari Kebangsaan tahun ini.

(Gambar: MINDEF Singapore/Facebook)

(Gambar: MINDEF Singapore/Facebook)

Puan Halimah menulis: "Perbarisan Hari Kebangsaan lazimnya menjadi platform untuk mempamerkan bakat golongan kurang upaya dan aspirasi anak-anak muda kita.

"Walaupun adanya COVID-19, saya berbesar hati golongan kurang upaya mempunyai wadah untuk mempamerkan bakat mereka pada NDP tahun ini.

"Saya menggesa rakyat Singapura supaya terus menyokong golongan kurang upaya melalui Cabaran Presiden 2020."

BEG CENDERAMATA MASIH BOLEH DIAMBIL SEHINGGA 2 OGOS

Setiap beg cenderamata yang dinamakan Beg Singapura Bersama itu antara lain diisikan dengan salah satu daripada 55 hasil lukisan beberapa pelukis kurang upaya dan murid-murid darjah 5.

Bendera Singapura saiz kecil, kad ikrar, baucar e-diskaun serta snek juga disediakan.

(Gambar: Cheque Lai/Facebook)

(Gambar: Cheque Lai/Facebook)

Beg-beg itu turut diisikan dengan pelitup, cecair pembasmi kuman dan termometer dalam usaha memerangi COVID-19.

Lebih 296,000 beg sudah diambil keluarga dan penduduk tetap Singapura pada hari pertama pengagihannya pada Isnin (20 Jul).

Beg-beg tersebut boleh diambil di 109 kelab masyarakat (CC) sehingga 2 Ogos dan di 661 pejabat jawatankuasa penduduk (RC) sehingga minggu depan (26 Jul) di serata negara. 

Butiran pengambilan beg boleh didapati di sgtogetherpack.gowhere.gov.sg

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan