MOH tubuh jawatankuasa teliti isu berkaitan Pelan Perlindungan Insurans Bersepadu
Kementerian Kesihatan (MOH) menubuhkan sebuah jawatankuasa yang ditugaskan untuk mengkaji isu-isu yang berkaitan dengan Pelan Perlindungan Insurans Bersepadu (IP) - yang menjadi tajuk perbahasan antara syarikat-syarikat insurans jagaan kesihatan dengan doktor-doktor dari sektor swasta.

(Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) menubuhkan sebuah jawatankuasa yang ditugaskan untuk mengkaji isu-isu yang berkaitan dengan Pelan Perlindungan Insurans Bersepadu (IP) - yang menjadi tajuk perbahasan antara syarikat-syarikat insurans jagaan kesihatan dengan doktor-doktor dari sektor swasta.
Perdebatan itu timbul setelah syarikat-syarikat insurans mengecualikan ramai doktor pakar daripada panel doktor IP, yang membimbing para pemegang polisi memilih penyedia khidmat perubatan.
Jawatankuasa Insurans Jagaan Kesihatan Berbilang Bidang (MHIC) seramai 12 anggota itu akan mula bertugas secara rasmi pada 27 April, menurut MOH dalam kenyataan medianya pada Rabu (14 Apr).
Ia akan menjadi wadah utama untuk pemerintah, doktor, syarikat insurans dan hospital untuk bekerjasama dalam isu-isu yang berkaitan dengan insurans kesihatan.
Ia terdiri daripada para wakil dari Akademi Perubatan Singapura (AMS), Persatuan Pengguna Singapura (CASE), Jawatankuasa Penasihat Penanda Aras Yuran (FBAC), Persatuan Insurans Hayat (LIA), Persatuan Perubatan Singapura (SMA) dan hospital-hospital swasta seperti Hospital Mount Alvernia dan IHH Healthcare Singapore.
Jawatankuasa itu dipengerusikan secara bersama oleh Timbalan Setiausaha Dasar MOH Ngiam Siew Ying dan Timbalan Pengarah Khidmat Perubatan Health Performance Group Daphne Khoo.
MHIC ditubuhkan dari jawatankuasa sementara sebelum ini - yang ditubuhkan pada Oktober lalu antara AMS, LIA dan SMA - yang memudahkan rundingan berkaitan dengan IP, menurut MOH.
"Jawatankuasa sementara itu mencatat kemajuan berhubung isu-isu seperti pindaan pada klausa pengecualian kontrak IP bagi merangkumi prosedur diagnostik secara perubatan, meningkatkan pengetahuan pengguna tentang IP, mempertingkatkan saiz panel dan memudahkan penetapan yuran panel di bawah Penanda Aras Yuran MOH," menurut kementerian itu lagi.
Ia menambah bahawa MHIC akan memanfaatkan kerja-kerja yang dijalankan oleh jawatankuasa sementara sebelum ini.
Butiran lanjut mengenai saranan MHIC akan diumumkan apabila siap kelak, tambah MOH.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.