MOH tolak dakwaan palsu & tuduhan berat PPP terhadap keselamatan vaksin COVID-19
SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) pada Isnin (3 Jun) menolak "dakwaan palsu dan tuduhan berat" Parti Kuasa Rakyat (PPP) yang menggesa agar vaksinasi COVID-19 digantung buat sementara waktu.
Catatan yang dimuat naik parti tersebut pada 29 Mei menukil "kajian dan analisis para pakar perubatan terkenal" yang mendakwa seolah-olah vaksin COVID-19 menyebabkan kesan sampingan yang teruk, dedah MOH.
Menurut kenyataan media MOH pada Isnin (3 Jun), parti itu juga cuba mengaitkan kadar vaksinasi yang tinggi dengan kematian yang berlaku secara berlebihan.
Parti Kuasa Rakyat (PPP) mendakwa Singapura mengalami "kadar kematian yang tinggi dan luar biasa" sejak 2021 apabila vaksinasi COVID-19 diperkenalkan berbanding tahun-tahun sebelum vaksinasi sedemikian diperkenalkan.
MOH menolak dengan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan menambah bahawa orang ramai mesti "membuat kesimpulan yang betul dan berdasarkan bukti saintifik tentang keselamatan dan keberkesanan vaksin COVID-19".
"Sebab utama mengapa Singapura berhasil mencatatkan salah satu kadar kematian paling rendah di dunia ketika pandemik adalah kerana rakyat Singapura mengambil vaksin," tegas MOH.
MOH juga menegaskan bahawa bertentangan dengan dakwaan PPP bahawa vaksinasi telah menyebabkan kematian yang berlebihan, pelbagai kajian telah menunjukkan bahawa vaksinasi COVID-19 berhasil mengurangkan risiko berlaku kematian berbanding dengan yang tidak divaksin sepanjang tempoh pandemik.
Ini termasuk banyak negara yang menggunakan vaksin mRNA, tambah kementarian itu.
MOH menambah bahawa lebihan kematian di Singapura semasa pandemik berpunca daripada kematian individu yang dijangkiti COVID-19 atau mereka yang terjangkit baru-baru ini. Daripada mereka yang meninggal dunia, terdapat "jumlah yang tinggi" individu yang tidak divaksin sepenuhnya.
Kadar perlindungan vaksin yang tinggi dalam masyarakat berhasil mencegah banyak kematian akibat jangkitan COVID-19, di samping melindungi sistem jagaan kesihatan dan membolehkan kita menyelamatkan nyawa dan mata pencarian, tambah MOH.
Ketika gelombang JN.1 di Singapura sebelum ini, MOH menyatakan kadar pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke hospital dan Unit Jagaan Rapi (ICU) dalam kalangan warga emas berusia 60 tahun dan ke atas yang tidak divaksin naik hampir dua kali ganda berbanding mereka yang disuntik dengan dos baharu.
Pelbagai kajian antarabangsa dan tempatan yang dijalankan berkaitan gelombang lain pada masa lalu juga menunjukkan keberkesanan vaksinasi secara konsisten dalam mencegah kesan jangkitan COVID-19, terutamanya dalam kalangan warga emas, tambah MOH.
Menurut MOH, pengambilan dos penggalak juga "mengurangkan kesan sampingan jangka panjang selepas dijangkiti COVID-19".
Ini termasuk komplikasi kardiovaskular, serebrovaskular dan trombotik.
Menurut MOH, saranan-saranannya mengenai vaksinasi COVID-19 adalah berdasarkan bukti dan ia akan terus memantau keselamatan dan keberkesanan vaksin COVID-19, di samping menyesuaikan saranan-saranannya dengan sewajarnya.
MOH menegaskan bahawa Singapura bersikap telus semasa melaporkan sebarang kejadian kesan sampingan berkaitan vaksin COVID-19.
MOH menambah bahawa terdapat kesan sampingan daripada mana-mana vaksin.
Namun, manfaat vaksin menjangkaui risiko bagi semua peringkat usia, tegas MOH.
MOH turut menarik perhatian bahawa sebahagian besar senarai artikel saintifik yang dinukil oleh parti pembangkang itu adalah daripada kumpulan penulis yang sama, termasuk mereka yang dilaporkan mempromosi mesej yang menentang vaksinasi COVID-19.
"Kami menggalakkan orang awam untuk mengesahkan maklumat yang ditemui di Internet dengan sumber-sumber yang sahih," tambah MOH.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.