Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOH tidak saran vaksinasi besar-besaran terhadap cacar monyet selepas WHO isytiharkannya darurat kesihatan global

Encik Ong Ye Kung mengulangi kenyataan itu selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Sabtu (23 Jul) mengisytiharkan penularan cacar monyet sebagai keprihatinan darurat kesihatan awam antarabangsa.
 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 25 Jul 2022 11:41AM Dikemas Kini : 25 Jul 2022 09:27PM

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) tidak menyarankan vaksinasi besar-besaran bagi penduduk negara ini terhadap cacar monyet, menurut Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Isnin (25 Jul), sambil menekankan lagi pendirian kementerian itu berhubung penyakit tersebut.

Encik Ong mengulangi kenyataan itu selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Sabtu (23 Jul) mengisytiharkan penularan cacar monyet sebagai keprihatinan darurat kesihatan awam antarabangsa.

"Setakat ini, melihat kepada ciri penyakit itu, MOH tidak menyarankan vaksinasi secara besar-besaran bagi seluruh penduduk terhadap cacar monyet, kerana manfaatnya tidak mengatasi risiko," jelas Encik Ong dalam catatannya di Facebook.

"Kami akan terus memantau keadaan dengan teliti."

Empat kes import dan empat kes tempatan cacar monyet sudahpun dikesan di negara ini.

MOH menyatakan pesakit ke tujuh dan ke lapan disahkan semalam (24 Jul).

Mereka kini dirawat di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit dan keadaan mereka, stabil.

Seorang daripada mereka, lelaki Estonia berusia 48 tahun yang tiba di Singapura dari London pada Khamis lalu.

Seorang lagi pesakit adalah lelaki Singapura berusia 26 tahun.

Kes itu adalah jangkitan tempatan.

MOH menyatakan usaha mengesan kontak rapat dua pesakit itu sedang dilakukan.

"Tidak ada bukti bahawa mereka menjangkiti orang lain dalam masyarakat," kata beliau.

"MOH juga memastikan kontak rapat mereka dikuarantin sehingga 21 hari sejak pendedahan kali terakhir, manakala kontak berisiko rendah dipantau menerusi telefon.

Setiap kes cacar monyet biasanya mempunyai tiga hingga empat kontak rapat yang perlu menjalani kuarantin. Ini tidak seperti COVID-19, di mana ia sehingga 20 arahan kuarantin perlu dikeluarkan, jelas Encik Ong.

Kenaikan mendadak kes jangkitan cacar monyet dilaporkan di merata dunia sejak awal Mei di luar negara-negara bahagian Barat dan Tengah Afrika di mana penyakit tersebut sudah lama menjadi endemik.

Keprihatinan darurat kecemasan kesihatan awam antarabangsa adalah amaran tertinggi yang dikeluarkan WHO bagi menangani penularan penyakit global.

Ia disifatkan sebagai "kejadian luar biasa yang ditetapkan sebagai menimbulkan risiko kesihatan awam kepada negara lain menerusi penularan antarabangsa penyakit dan mungkin memerlukan respons antarabangsa".

Dalam satu jawapan bertulis kepada Parlimen pada 4 Jul, Encik Ong menjelaskan pendirian kementerian itu mengenai vaksinasi terhadap cacar monyet.

"Tidak seperti vaksinasi COVID-19, vaksinasi besar-besaran bagi seluruh penduduk menggunakan vaksin cacar tidak disarankan sebagai strategi pencegahan untuk mencegah dijangkiti cacar monyet. Ini selaras dengan saranan antarabangsa dan respons global sejauh ini," tulis beliau.

"Meskipun vaksin cacar berkesan sehingga 85 peratus bagi mencegah cacar monyet, ia mungkin mempunyai kesan sampingan teruk.

"Bagi penduduk biasa, risiko komplikasi mengatasi manfaatnya kerana mereka berisiko rendah dijangkiti.

"Menjalankan tanggungjawab peribadi seperti mengelakkan kegiatan berisiko tinggi, terutama sekali apabila bergejala, dan mengamalkan kebersihan peribadi yang baik kekal berkesan bagi mengurangkan risiko penularan dalam masyarakat."

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan